Sudah lama Nur Hazwani Ain Alisham, 11, ingin memiliki e-Book dan semalam, murid istimewa yang sudah berada di tahun lima itu menerimanya daripada Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, bersama 663 murid sekitar Dewan Undangan Negeri Kijal.
Mur Hazwani, murid Sekolah Kebangsaan Meraga Beris yang lumpuh sejak berusia dua tahun, menyedari buku elektronik itu cukup berguna baginya yang memuatkan bukan sahaja kandungan buku teks, tetapi juga bacaan al-Quran, panduan ibadat, tulisan jawi di samping doa dan kamus.
Dia yang bercita-cita menjadi guru, tahu alat itu akan lebih memudahkannya belajar dan dalam suasana lebih menyeronokkan, justeru semalam dia menerimanya dengan rasa cukup gembira di samping terharu dengan perhatian yang diberikan oleh Menteri Besar.
''Menteri Besar kata kecacatan tidak bermakna kita tak boleh berjaya dalam pelajaran dan minta saya belajar bersungguh-sungguh," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pembahagian e-Book Peringkat DUN Kijal 2014 yang diadakan di Kolej Universiti Tati (Tatiuc) dekat sini, semalam.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2009, seramai 118,688 murid di negeri ini telah dibekal dengan e-Book secara percuma oleh kerajaan negeri sebagai salah satu pelaburan bagi meningkatkan kecemerlangan akademik dan membudayakan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan anak negeri.
Komputer mini itu yang dilengkapi perisian akademik mengikut sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan bertujuan memudahkan proses pembelajaran dalam kelas, sekali gus mengurangkan beban murid untuk membawa buku ke sekolah.
Sementara itu, Menteri Besar berkata, kandungan e-Book terus dipertingkatkan seiring dengan langkah menambah baik proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah-sekolah.
Menurut Ahmad, kerajaan negeri akan terus memantau penggunaan alat bantu itu bagi memastikan kemudahan itu dimanfaatkan di sekolah dan murid-murid dirangsang untuk sering menggunakannya.
Beliau mengakui masih terdapat aduan yang kononnya sesetengah pentadbir sekolah tidak menggalakkan penggunaan e-Book yang jika benar merupakan langkah kebelakang.
Ahmad berkata, untuk pengagihan e-Book pada lalu dan tahun ini, kerajaan Negeri memperuntukkan RM57 juta dan pelaburan besar itu untuk memastikan anak negeri tidak ketinggalan dalam perkembangan ICT yang penting dalam kehidupan masa kini dan akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan