KUALA TERENGGANU - Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan Pas dan rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR), Parti Keadilan Rakyat berhadapan dengan masalah dalam soal pembahagian kerusi di beberapa negeri termasuk Terengganu.
Sebaliknya Presiden Pas itu menegaskan, perbincangan sudah menghampiri peringkat akhir dan hanya tinggal kira-kira 10 peratus belum selesai.
Beliau berkata, sama ada Pas atau PKR, masing-masing akur dengan keputusan yang dicapai di peringkat kepimpinan pusat.
"Kita mendapat maklumat lebih 90 peratus sudah selesai. Terlalu sedikit belum selesai di peringkat negeri, bahagian dan mereka patuh kepada keputusan pimpinan Pusat," katanya kepada ketika ditemui pada  Majlis Makan Malam Bersama Masyarakat Cina, di sini.

Beliau bagaimanapun menegaskan, tidak kira siapa calon pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang, yang penting calon tersebut boleh memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat (PR).
Bagi Pas, pihaknya melalui Majlis Syura Ulama akan memutuskan seseorang calon itu bertanding selepas 'lulus ujian' berdasarkan syarat dan kriteria yang ditetapkan.
"Majlis Syura Ulama perlu meluluskan calon berdasarkan ketokohan dan konsisten dengan parti, serta moral dia. Ini syarat jadi calon Pas," katanya.
Beliau juga yakin dengan perkembangan politik ketika ini termasuk di Terengganu apabila sokongan Cina dilihat semakin meningkat kepada Pas dan beliau turut mengakui mendapat undi besar daripada masyarakat Cina di Wakaf Tapai bagi kerusi Parlimen Marang dalam pilihan raya umum lepas.
Ditanya sama ada Pas mengehadkan kuota calon ulama dan profesional, beliau menolak perkara itu.
Jelasnya, Pas memperjuangkan satu konsep, satu dasar dan satu matlamat melalui kepimpinan secara kolektif, bukan bersifat individu.
Beliau juga turut menolak ulama dalam Pas semakin berkurangan ekoran beberapa isu yang berlaku sebelum ini, sebaliknya menyifatkan Pas masih mempunyai bilangan ulama yang ramai.
"Kita ada ramai ulama muda bahkan majoriti ulama bersama dengan kita dan segelintir sahaja bersama dengan Umno," katanya.