Jumaat, 6 Disember 2013

di negeri terengganu - Google Blog Search

di negeri terengganu - Google Blog Search


Memajukan Industri Perkhidmatan Teksi <b>di Negeri Terengganu</b>

Posted: 02 Dec 2013 09:11 PM PST


Pada 28 November 2013, saya bersama 2 orang rakan dari Koperasi Pemandu Teksi Terminal 3, Subang Bhd. dijemput ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk berbincang mengenai langkah-langkah bagi memajukan industri teksi di Terengganu. Dimaklumkan perkhidmatan teksi di sini banyak bergantung kepada pelancong yang datang melawat dan pekerja asing. Kewujudan kereta sapu memburukan lagi keadaan.

Melalui carian di Google, perbincangan dengan pihak UMT dan sesi lawatan ke beberapa perhentian teksi di Kuala Terengganu, saya menemui beberapa maklumat seperti berikut;-
  1. Bilangan penduduk Negeri Terengganu sekitar 1.1 juta orang (statistik 2010).
  2. Statistik dari sumber JPJ menyatakan bilangan teksi (kereta sewa) yang didaftar di Terengganu pada tahun 2010 ialah sebanyak 1127 buah.
  3. Kebanyakan teksi adalah kenderaan yang agak baru serta dicat dengan warna yang menarik (Kerajaan Negeri Terengganu menyumbangkan RM10,000.00 bagi setiap teksi untuk tujuan membaiki dan mengecat badan teksi).
  4. Tiada permit syarikat di sini (semuanya permit individu).
  5. Rata-rata pemandunya berusia 50-an ke atas, tetapi nampak masih segak, kemas dan sihat-sihat.., :-)
  6. Di seluruh Terengganu, terdapat lebih 11 buah perhentian teksi yang diuruskan oleh persatuan atau koperasi pemandu dan dilengkapi dengan nombor telefon untuk dihubungi.
  7. Saya tidak bertemu dengan teksi yang menggunakan NGV, katanya sebab kedai yang memasang NGV hanya ada di Kemaman (jauh dari Kuala Terengganu).
  8. Pemandu di sini agak tidak terbuka untuk mendedahkan pendapatan harian mereka. Kerata akhbar yang saya jumpa ada yang menyebut mereka hanya mendapat RM30 sahaja sehari. Dari perbualan dengan rakan-rakan pemandu di stand teksi, ada yang mengatakan antara RM60 hingga RM300 bergantung kepada musim cuti.
  9. Berdasarkan maklumat dari laman facebook "TerengganuKu", kadar tambang teksi agak rendah bagi perjalanan jauh, tetapi mahal bagi perjalanan dekat. Contohnya tambang bagi perjalanan dari Kuala Terengganu ke Dungun (jarak 84 KM) ialah RM80 tetapi bagi perjalanan dari Kuala Terengganu ke Taman Tamadun Islam dikenakan caj RM20 walaupun jaraknya hanya lebih kurang 3 KM.
Berdasarkan maklumat di atas, saya merasakan punca pengguna tempatan amat kurang menggunakan perkhidmatan teksi ialah kerana kadar tambang bagi perjalanan domestiknya yang tinggi. Faktor ini juga menyebabkan kereta sapu menjadi pilihan pengguna domestik. Kadar yang lebih munasabah bagi perjalanan sejauh 3KM ialah antara RM7 hingga RM9 sahaja berbanding RM20 sekarang ini.
Saya tidaklah berkebolehan membuat kajian serta cadangan terperinci mengenai perkara ini, namun rasanya untuk meng"hidupkan" teksi di Terengganu, kita perlu pastikan pengguna domestik mampu menggunakan perkhidmatan ini untuk urusan seharian mereka (lebih kerap). Sekiranya dianggarkan 5% dari keseluruhan (1.1 juta) penduduk Terengganu adalah pengguna perkhidmatan teksi serta mereka (secara purata) mampu meningkatkan kekerapan penggunaan teksi kepada 2 kali seminggu, ia sudah mampu mewujudkan 440,000 perjalanan teksi sebulan. Jika purata tambang bagi perjalanan ini ialah RM8.00, maka ia akan memberikan pendapatan sebanyak RM3.52 juta kepada 1127 pemandu (purata RM3123 sebulan seorang). Pendapatan ini tidak termasuk dari penggunaan teksi oleh pelancong yang berkunjung pada musim-musim tertentu.
Sekiranya maklumat yang saya kumpul di atas adalah benar dan langkah pengurangan tambang mampu mengatasi kesuraman industri teksi di sini, maka cabaran paling besar ialah untuk melaksanakannya. Bukan senang nak minta pemandu yang dah biasa dapat RM20/trip untuk turunkan kepada RM8.
Untuk melaksanakan idea ini, antara langkah yang perlu dibuat ialah;-
  1. Bekerjasama dengan koperasi pemandu teksi yang beroperasi di perhentian teksi yang bersesuaian (tempat tumpuan penumpang),
  2. Dapatkan bantuan atau subsidi dari Kerajaan Negeri / Petronas bagi memasang peralatan NGV (supaya kos petrol dikurangkan),
  3. Laksanakan sistem tambang berkupon yang dikendalikan koperasi pemandu (untuk tujuan penyeragaman tambang),
  4. Promosi serta kerjasama bersepadu dengan semua agensi, dan
  5. Mewujudkan pusat perkhidmatan tempahan teksi melalui telefon/online. 
Insya Allah, kejayaan dengan sebuah koperasi pemandu ini akan mudah diikuti oleh persatuan/koperasi pemandu yang lain di seluruh Terengganu. Wallahu A'alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads