ads

Selasa, 12 November 2013

13 di bukit besi - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

13 di bukit besi - Google Blog Search


Jejak Sejarah: <b>Bukit Besi</b>: Temangan Lama (Machang)

Posted: 07 Sep 2013 03:27 AM PDT

BUKIT BESI

MACHANG, KELANTAN:  BUKIT BESI yang terletak di Kampung Bukit Besi, Temangan Lama, Machang, Kelantan pada masa dulu adalah sebuah bukit yang amat cantik malah kaya dengan flora dan faunanya yang tersendiri. Tetapi pada masa itu, kampung berkenaan masih belum mendapat nama. Malah masyarakat Melayu pada masa itu pun memang tidak mengetahui apakah Bukit Besi itu sekadar sebuah bukit yang hanya gah di tempatnya ataupun mempunyai khazanah yang paling bernilai di perut buminya? Sehinggalah kedatangan sebuah syarikat perlombongan Jepun yang pertama sebelum penjajahan mereka di Tanah Melayu, Bukit Besi mula berubah wajah. Hakikat ini menunjukkan, Bukit Besi yang terletak di daerah Kampung Temangan Lama pada masa itu mengandungi logam yang bermutu tinggi dikenali sebagai 'besi'.

Kepakaran pihak Jepun memang tidak dinafikan apabila mereka mengetahui terdapatnya khazanah bijih besi paling bermutu tinggi seperti Goethite, Hematite, Limonite dan Magnetite. Kalau tidak, masakan negara dari Matahari Terbit itu begitu sanggup datang dari jauh jika tidak ada sesuatu yang dihajatkan. Setelah itu, Bukit Besi mula dibuka untuk perlombongan dan beberapa tahun kemudian, Kampung Bukit Besi mendapat nama sempena dengan nama Bukit Besi itu.

Seorang warga emas, Derasid Seman, 122, atau Paksu Derasid yang berasal dari Pasir Mas dan telah meneroka kampung berkenaan sejak zaman remaja berkata, lombong bijih besi di Bukit Besi dibuka pada tahun 1914. Pihak syarikat perlombongan Jepun pada masa itu walaupun dianggap kuno kerana sekadar mempunyai jentera berantai (jentera penyodok), namun peralatan berkenaan dikatakan agak maju yang dapat menggali bijih besi dengan pantas dengan kedalaman yang paling maksimum. Ini kerana, jentera berkenaan dikatakan mampu memanjat bukit yang tinggi kerana dapat mencengkam tanah dan batu-batan dengan gagah berbanding jentera moden hari ini.

"Dalam tempoh tiga bulan sahaja, bijih besi dapat digali dan dikeluarkan dari Bukit Besi itu. Seingat Paksu, pihak pemerintah Jepun memberi kebenaran kepada syarikat perlombongan itu melombong bijih dalam tempoh 15 tahun sahaja", jelasnya.

Tambahnya, selepas bijih besi berkenaan dapat digali, bijih besi itu diangkut menggunakan sejenis alat yang dicipta secara tradisional dinamakan 'tangguk' yang mana tangguk ini digerakkan menggunakan tali sebagai tenaga, manakala bijih yang siap digali itu akan dituangkan ke dalam gerabak keretapi mini yang sedang menunggu di kawasan khas di kaki Bukit Besi.

Ketika itu, jalan yang ada sekarang merupakan landasan keretapi yang dibina khusus untuk mengangkut bijih-bijih yang siap digali dan terus dibawa ke stesen di bandar Temangan untuk dileburkan di Tumpat. Tempat peleburan bijih itu kini terletak di Kampung Baru Nelayan, Tumpat yang mana bijih ini akan diangkut menggunakan kapal besar yang dapat memuatkan 90 tan dalam satu-satu masa yang telah siap sedia menunggu untuk dibawa terus ke Jepun.

"Arwah Pak Mat yang ditugaskan oleh pihak Syarikat Perlombongan Jepun untuk menjaga tangguk itu. Dia perlu mengawalnya siang malam dari mengalami sebarang masalah sewaktu mengangkut bijih berkenaan.

"Setahu Paksu, arwah Pak Mat tidak dapat melelapkan mata walaupun sekejap bagi melicinkan proses pemunggahan bijih-bijih melalui tangguk tersebut", jelas Paksu Derasid yang masih mengingati peristiwa tersebut.

Menurutnya lagi, operasi perlombongan bijih besi itu terpaksa ditamatkan pada tahun 1930 berikutan operasi berkenaan telah melebihi tempoh yang dibenarkan. Walau bagaimanapun, selepas pihak Jepun menamatkan operasi melombong bijih ketika itu, operasi perlombongan bijih peringkat kedua ini melibatkan dua syarikat perlombongan yang hanya memakan masa selama sembilan tahun sahaja. Ini kerana dikatakan, operasi melombong tidak dapat dilakukan dengan sempurna berikutan berlakunya krisis antara kedua-dua pihak berkenaan yang masing-masing ingin menggunakan peralatan melombong.

Di antara pekerja melombong bijih ketika itu adalah terdiri daripada beliau sendiri yang ditugaskan membina jalan dan laluan untuk kemudahan operasi berkenaan. Kebanyakan pelombong adalah terdiri daripada orang-orang kampung berbangsa Melayu kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan lain selain bekerja sebagai buruh bijih Jepun.

Manakala arwah Abu Bakar yang dikenali 'Pak Kar' ditugaskan Jepun untuk memandu jentolak menggali yang dianggap oleh pihak Jepun sebagai seorang pemandu Melayu yang mahir walaupun dalam keadaan sukar di bukit tersebut. Disebabkan kemahiran dan keberanian Pak Kar itu, beliau memperolehi pendapatan agak lumayan berbanding dengan tenaga buruh yang lain.

Jelas Paksu, jika kerajaan ingin menjadikan Bukit Besi sebagai tempat bersejarah untuk tujuan destinasi pelancongan menarik di Kelantan, beliau amat mengalu-alukannya. Ini kerana, jika hasrat itu benar, tentunya akan memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan Bukit Besi itu. Namun paling penting baginya ialah kawasan sejarah patut dikekalkan.

Sementara itu, menurut bekas Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) Kampung Bukit Besi yang juga anak sulung Paksu Derasid, Mustafa Derasid, 61, atau Abang Pa menyatakan, syarikat Jepun yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bijih di Bukit Besi itu dikenali sebagai Oriental Mining Co, yang mana kawasan perlombongan tersebut berkeluasan kira-kira 600 hektar.

Tambah Abang Pa, aktiviti melombong yang dilakukan syarikat terbabit pada masa itu telah memasuki fasa ketiga bermula pada tahun 1940 yang mana beliau pada masa itu sedang menuntut dalam tahun satu. Pada tahun itu, tiada sebarang kemudahan pengangkutan, justeru selain berjalan kaki, beliau turut menumpang keretapi yang membawa bijih besi untuk ke sekolah di bandar Temangan.

Kebanyakan penduduk pada masa itu tidak mempunyai sebarang kerja. Justeru, dengan kedatangan syarikat perlombongan Jepun merupakan satu limpahan rezeki yang tidak disangka-sangka khususnya kepada penduduk dari kampung terbabit. Terdapat lebih 40 penduduk yang bekerja di syarikat itu termasuklah arwah bapa penulis sendiri dan kesemuanya terdiri daripada orang-orang Melayu.

"Pada tahun 1963-1964, pekerja-pekerja lombong terpaksa bekerja 24 jam kerana operasi melombong akan dihentikan pada pada tahun 1967. Bijih besi akan diangkut ke dalam keretapi yang disediakan di tebing sebuah tasik di kaki bukit itu, kemudiannya dibawa dengan keretapi ke bandar Temangan dan terus ke Tumpat", katanya.

Semenjak operasi melombong dihentikan pada tahun 1967 tanpa pelbagai sebab, peralatan melombong seperti alat mengangkut, keretapi dan jentera berantai ditinggalkan di tepi sebuah surau di kampung berkenaan pada ketika itu.

Malahan timbul pula selepas itu tentang desas-desus operasi melombong bijih besi akan disambung kembali setelah lama ditinggalkan oleh syarikat Jepun terbabit kerana dikatakan bijih besi yang ada sejak dahulu itu masih wujud sehingga hari ini dan telah mencapai tahap matang. Dengan itu, bukan sekadar desas-desus kerana aktiviti melombong telah dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Masalahnya, apakah pihak yang melakukan aktiviti melombong telah mendapat kelulusan Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA).

Malahan bagaimana tindakan pihak kerajaan negeri, wakil rakyat serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tentangnya. Ini kerana, banyak kawasan menarik termasuk kesan-kesan sejarahnya didapati telah musnah. Sebuah kolam cantik yang mana Bukit Besi boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan di Machang sebagai 'Hutan Lipur Bukit Besi' tidak lagi seindah dan secantik seperti dulu kerana akibat kerakusan manusia kini yang tidak mementingkan aspek alam sekitar kecuali mengejar keuntungan semata-mata.

Derasid Seman atau Paksu Derasid, kini berusia 122 tahun.

Mustafa Derasid atau Abang Pa.
Papan tanda arah ke Bukit Besi terpacak di Kampung Temangan Lama, Machang.
Wajah Bukit Besi kini yang telah digondolkan. Kelihatan seperti lereng sahaja.
Tebing untuk menakung air tasik dari melimpah keluar sewaktu aktiviti melombong dijalankan.

Ini adalah tempat membersih bijih dan tempat mengangkut bijih besi dari keretapi ke Temangan dan terus ke Tumpat. Kini, menjadi sebuah tasik yang berkelodak. 
Tempat laluan umum ini juga adalah sebuah lombong tinggalan.

Di sinilah tempat peralatan menggali ditinggalkan pihak Jepun setelah operasi dihentikan.

Laluan keretapi mengangkut bijih ke bandar Temangan. Kini, laluan umum Kampung Temangan Lama.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG TERENGGANU

Copyright 2010 All Rights Reserved