Wan Mohd. Ariffin Wan Mustafa (kiri) bersama wakil penaja mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di hadapan Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU 22 Julai - Maggi dengan kerjasama Hotel Grand Puteri mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di sini hari ini sebagai sebahagian daripada pendekatan memeriahkan sambutan Ramadan dengan kegiatan kebajikan.
Melalui program yang turut melihatkan penyertaan bersama Utusan Malaysia, hampir 1,000 bekas bubur lambuk disediakan dan dijadikan bekalan berbuka oleh orang ramai yang tidak melepaskan peluang merasai keenakannya.
Wakil Unit Persampelan Maggi Pantai Timur, Hamzah Mat Din berkata, program itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
"Bubur lambuk yang kita edarkan hari ini memang istimewa kerana selain resipi sendiri menggunakan produk Maggi, kita juga menggunakan daging dan udang kering berbanding ikan di samping tidak menggunakan sayur-sayuran.
"Kami juga memberikan sampel produk Maggi Mi Goreng, Maggi Magic Meals dan Maggi Cukup Rasa kepada orang ramai dalam program ini," katanya ketika ditemui dalam program itu.
Jelasnya, sebanyak empat kakitangan unit itu terlibat menghasilkan bubur lambuk berkenaan selain dibantu kakitangan Hotel Grand Puteri dan Utusan Malaysia.
Sebelum ini katanya, Maggi turut menganjurkan program sama di pasar raya Mydin Mall manakala program seterusnya di Kedai Xiri Wakaf Tapai di sini esok.
Sementara itu, Pengurus Hotel Grand Puteri, Wan Mohd. Ariffin Wan Mustafa berkata, kerjasama pertama dengan Maggi itu memberi peluang kepada mereka menyumbang kepada orang ramai sempena Ramadan.
Usaha itu, katanya, selari dengan langkah yang diambil mereka dalam memperkenal pelbagai produk sempena Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang tiba.
"Walaupun masih baru, sambutan terhadap produk yang kita tawarkan amat menggalakkan dan dijangka akan terus meningkat," katanya.
Tambah beliau, Hotel Grand Puteri menawarkan pelbagai produk menarik sepanjang musim perayaan antaranya Pakej Penginapan Balik Kampung bermula RM138 yang ditawarkan sehingga 30 Syawal, Pakej Rumah Terbuka (RM40 seorang) dan promosi steambot (RM19 seorang).
"Salah satu kelebihan hotel ini juga adalah kita mempunyai ruang dewan mesyuarat yang luas dan boleh memuatkan sehingga 250 orang menjadikannya amat sesuai sebagai venue majlis rumah terbuka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan