Isnin, 22 April 2013

13 di bukit besi - Google Blog Search

13 di bukit besi - Google Blog Search


ujang kutik: 20 MINIT <b>DI BUKIT BESI</b>, DUNGUN

Posted: 26 Jan 2013 08:49 AM PST



Ketika beberapa hari di Bandar Dungun, Terengganu pada pertengahan bulan Januari 2013, saya terlihat sebuah replika keretapi pengangkut bijih besi di tengah-tengah bandar ini . Pada agakan saya saiz replika itu lebih kecil dari saiz keretapi sebenar yang pernah digunakan oleh syarikat perlombongan bijih besi di Bukit Besi, Terengganu. Saya 'amat arif'( kawan saya ada yang bernama Amat Arif) saiz sebenar keretapi kerana kampung asal saya di Negeri Sembilan terletak di tepi laluan KTM Kuala Lumpur – Singapura.
Sehubungan ini, saya membuat carian di internet mengenai aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Besi, Dungun, Terengganu. Maklumat yang saya perolehi menunjukkan aktiviti perlombongan besi di sekitar kawasan Bukit Besi bermula pada tahun 30-an sehingga dihentikan pada tahun 1970. Secara rengkas kronologi hasil bumi kita dijarah oleh dua kuasa luar, iaitu Jepun dan Inggeris di sekitar kawasan Bukit Besi adalah seperti berikut:
1) Pada tahun 1910, seorang ahli kaji bumi Jepun, Mr. Kuhara, mendapati kawasan yang dikajinya di sekitar Chemuak, Dungun mengandungi bijih besi.

2) 1927-1945 - Syarikat perlombongan dari Negara Jepun menjalankan aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Besi.
3) 1945-1948-Aktiviti perlombongan dihentikan setelah kekalahan Jepun dalam Perang Dunia
4)  1948-1970-Aktiviti perlombongan dijalankan oleh syarikat perlombongan  dari England, EMMCO.
5)      1970-Aktiviti perlombongan dihentikan.
* Laluan keretapi antara Bukit Besi - Sura, Dungun siap dibina oleh syarikat Jepun pada tahun 1939.

Ketika dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur yang melalui Lebuhraya Jerangau-Jabor saya sengaja singgah minum di pekan kecil Bukit Besi yang terletak tidak jauh dari lebuh raya. Pada kesempatan itu saya meninjau kawasan persekitaran pekan kecil Bukit Besi. Di antara bangunan yang saya lihat ialah Ibu Pejabat Polis Bukit Besi, masjid yang sederhana besar (tetapi tidak seindah masjid-masjid di lain-lain daerah di Negeri Terengganu), Pejabat KETENGAH dan Pusat Kesihatan Kementerian Kesihatan. Saya tidak melihat etnik selain etnik Melayu di sini. Dikatakan pekerja lombong dari keturunan Cina dan India mewakili 50% penduduk Bukit Besi ketika zaman kegemilangannya. 

Di sekitar pekan kecil Bukit Besi saya tidak melihat sisa-sisa kenangan yang menunjukkan kawasan ini pernah menjadi kawasan perlombongan bijih besi terbesar di Asia Tenggara suatu ketika dahulu. Sehinggalah, saya menemui 'jalan buntu' yang ada papan tanda menunjukkan arah lokasi artifak bekas kawasan perlombongan bijih besi.  
Hati saya berbelah bagi samada hendak pergi ke lokasi artifak atau berundur semula dan terus balik ke Kuala Lumpur kerana persekitaran tempat itu sunyi dan sedikit menakutkan. Saya mengambil keputusan muktamad. Undur dan balik ke Kuala Lumpur.
Saya mengambil masa lebih kurang 20 minit di pekan kecil Bukit Besi. Insya Allah, jika ada peluang saya akan sampai juga ke lokasi artifak bersejarah Bukit Besi, di mana dua kuasa luar pernah menjarah dan memunggah dengan rakus hasil bumi negara saya, negara kita!  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads