Rabu, 9 Januari 2013

13 di kuala berang - Google Blog Search

13 di kuala berang - Google Blog Search


Rumah Hangus Terbakar <b>Di Kuala Berang</b> | Terengganu Today

Posted: 08 Jan 2013 11:38 PM PST

"Sebelum ini, dia sering bertindak luar kawalan kerana masalah mental dihadapinya tetapi sungguh tak disangka rumah mak cik pula hangus gara-gara dia 'bermain' bakar baju di dalam bilik. Namun, mak cik redha atas segalanya."

Demikian luahan Salariah Musa, 67, yang tinggal sehelai sepinggang setelah rumah didiaminya hampir 30 tahun musnah dalam kebakaran kira-kira jam 5.15 petang kelmarin, dipercayai berpunca daripada tindakan anak lelakinya berusia 28 tahun itu yang mengalami masalah mental.

Menurut warga emas yang mencari rezeki dengan mengusahakan lemang ini, ketika kejadian, dia berada dalam perjalanan pulang daripada rumah salah seorang anaknya di Manir dan setibanya di rumah, hancur luluh hatinya apabila melihat rumahnya hangus terbakar.

"Mak cik mempunyai lima anak dan tinggal di sini bersama anak ketiga yang mengalami masalah mental sejak berusia awal 20-an kerana sering kali terjatuh motosikal termasuk akibat kemalangan dan jatuh daripada tebing.

"Pagi semalam (kelmarin), sebelum mak cik pergi ke rumah anak di Manir, anak lelaki mak cik ini ada pergi ke rumah kakaknya terletak di kampung ini juga. Bagaimanapun, sekitar tengahari, dia pulang bersendirian," katanya.

Menurut Salariah, anak lelakinya itu sudah beberapa kali bertindak di luar kawalan tetapi tidak menyangka tindakannya kali ini menyebabkan mereka sekeluarga hilang tempat tinggal.

"Berdasarkan cerita kakaknya itu, adiknya dikatakan 'bermain' bakar baju dalam bilik dan mungkin ia telah merebak hingga menyebabkan kebakaran berlaku. Sebelum ini, dia sudah beberapa kali bertindak di luar kawalan tetapi kali ini tidak sangka rumah kami yang terbakar.

"Sebaik sampai di rumah, makcik lihat hampir keseluruhan rumah telah pun terbakar dan dipenuhi orang ramai. Makcik tidak dapat berbuat apa-apa selain hanya mengalir air mata kesedihan. Malah, makcik seolah-olah lembik dan tidak berdaya," katanya.

Kesedihan dilalui warga emas ini dikongsi bersama Sinar Harian, di sini semalam yang turut menerima kunjungan daripada Adun Telemong, Rozi Mamat serta Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fadzli Ismail.

Tambahnya, walaupun masih sedih namun dia akan kembali mengusahakan perniagaan lemang seperti biasa kerana ia merupakan sumber rezekinya selain mendapat bantuan JKM sebanyak RM 300 sebulan.

Sementara itu, PBK II Mahyudin Muhammad yang mengetuai operasi memadam kebakaran daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.19 petang kelmarin dan bergegas ke lokasi menaiki sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota.

Menurutnya, api dapat dikawal jam 5.40 petang dan operasi tamat jam 6.54 petang, manakala punca sebenar serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, menurut jiran mangsa, Minah Ali, 86, berkata, dia sedang menonton televisyen di rumahnya yang terletak tidak berapa jauh daripada rumah Salariah, sebelum dikejutkan dengan beberapa bunyi letupan.

"Mulanya, makcik tidak endahkan kerana menyangka ada kerja-kerja pertukangan atau membina rumah dilakukan di kawasan sekitar. Namun, apabila mengamati bunyi letupan itu agak berlainan, makcik mengambil keputusan keluar melihat keadaan.

"Makcik benar-benar terkejut melihat api begitu marak di bahagian tengah rumah. Malah, terdapat juga beberapa orang kampung tidak jauh daripada rumah ini melihat kejadian kerana tidak mampu berbuat apa-apa kerana bimbang keselamatan," ujarnya.

Dalam pada itu, kehibaan Salariah sedikit terubat apabila menerima kunjungan daripada Rozi yang turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai serta barangan keperluan dapur sebagai bantuan awal meringankan beban dan JKM Hulu Terengganu turut turun padang, kelmarin.

Kunjungan Rozi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri itu turut membawa sinar kegembiraan kepada Salariah apabila dimaklumkan pihak kerajaan akan membina sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuknya dalam tempoh terdekat ini.

"Kita akan mengenal pasti kontraktor terlebih dahulu dengan seberapa segera dan dijangka pembinaan rumah ini akan dibina secepat mungkin d ibawah seliaan JKM. Difahamkan, buat masa ini dia menumpang di rumah anak-anaknya terlebih dahulu.

"Bantuan awal serta peruntukkan pembinaan rumah baru ini diharapkan sedikit-sebanyak mampu mengubati kesedihannya. Seterusnya, dapat mengusahakan lemang sebagai punca rezeki sebagaimana biasa," katanya.

-sinar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads