ads

Jumaat, 27 Julai 2012

13 di kerteh - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

13 di kerteh - Google Blog Search


Karnival Kesihatan IKRAM Kemaman <b>di Kerteh</b> |

Posted: 13 May 2012 09:49 PM PDT

Penjagaan kesihatan yang menyeluruh daripada aspek mental dan fizikal
serta emosi dan rohani adalah amat penting untuk melahirkan generasi
yang cemerlang. Pengabaian salah satu daripada aspek kesihatan ini
akan menimbulkan kepincangan dalam struktur sosial masyarakat. Ini
selaras dengan objektif Karnival Kesihatan Pekan Kerteh bertemakan
"Sihat Tubuh, Sihat Minda, Sihat Rohani, Cemerlang Peribadi" anjuran
Pertubuhan IKRAM Kemaman di Dewan Sivik Pekan Kerteh pada 11 Mei 2012
yang lalu.

Timbalan Yang DiPertua IKRAM Terengganu merangkap Penasihat Program,
Hj Zameran Jusoh dalam ucapan aluannya sempena Karnival Kesihatan
Pekan Kerteh menekankan peri pentingnya ibubapa khususnya untuk
memastikan anak-anak dibesarkan dalam persekitaran yang sihat bermula
dari rumah. Ini kerana, pelbagai masalah sosial yang timbul dalam
masyarakat hari ini adalah bermula daripada pengabaian kepada
penjagaan kesihatan yang menyeluruh baik dari segi mental dan fizikal,
emosi dan rohani.

"Pertubuhan IKRAM Kemaman amat sensitif tentang kebajikan dan
pembangunan masyarakat, dan giat menjalankan pelbagai inisiatif
penerangan serta khidmat kepada masyarakat sebagai usaha pencegahan
kepada pelbagai permasalahan sosial yang semakin meruncing. Justeru
Karnival Kesihatan ini dianjurkan untuk menyampaikan mesej kesedaran
ini dan menggalakkan masyarakat untuk membina persekitaran yang sihat
bermula dengan institusi keluarga itu sendiri", katanya.

Beliau yang juga Pengurus Bank Islam Kemaman menekankan peri
pentingnya kerjasama erat semua pihak termasuk agensi kerajaan dan
pertubuhan bukan kerajaan diteruskan bagi memastikan pembangunan
masyarakat yang sihat dan sejahtera di bawah panduan nilai-nilai agama
yang luhur.

Beliau juga menyaran agar semua anggota masyarakat meningkatkan
kepedulian terhadap isu-isu kesihatan ini agar masyarakat dapat hidup
dengan selesa dan produktif. Ini termasuk isu-isu kebersihan kawasan
tempat tinggal dan memastikan ianya sentiasa bersih daripada sampah
sarap dan meningkatkan keceriaan hidup berjiran.

Karnival Kesihatan Pekan Kerteh yang telah diadakan di Dewan Sivik
Pekan Kerteh ini adalah program yang julung-julung kalinya diadakan
oleh Pertubuhan IKRAM Kemaman dengan kerjasama Jawatankuasa
Keselamatan & Keceriaan (JKKK) Kampung Telaga Papan, Kampung Gelugor
dan Kampung Tengah, serta Masjid Jamek Kerteh dan Klinik Kesihatan
Kerteh. Karnival ini menyediakan aktiviti senamrobik, forum kesihatan
dan kekeluargaan, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma
serta pameran-pameran penerangan kesihatan.

Program senamrobik membuka tirai karnival sebagai pemanas badan dengan
penglibatan bekas atlet kebangsaan Zaki Sadri dan isteri yang
mengendalikan program ini.  Ianya disusuli pula dengan forum kesihatan
dan kekeluargaan dimana seramai tiga tokoh panelis yang berwibawa
telah dijemput. Mereka yang dijemput sebagai panelis ialah Pakar
Psikiatri Hospital Hulu Terenganu, Dr Khairi Che Mat , TYDP IKRAM
Terengganu, Zameran Jusoh yang juga Pengurus Bank Islam Cawangan
Kemaman, Yusnani Abdul Hamid iaitu Pengerusi Raudhatus Sakinah Negeri
Selangor. Forum ini telah dipengerusi oleh AJK Wanita IKRAM Kemaman,
Ustazah Rosmawati Ahmad.

Di dalam forum ini, Dr Khairi menyentuh akan peri pentingnya memiliki
tubuh badan yang sihat kerana ianya mempengaruhi tindak tanduk
seseorang di dalam kegiatan hariannya. Menurut kajian yang dilakukan,
mereka yang memiliki kesihatan mental yang kurang sihat cenderung
melakukan kesalahan jalanraya. Ini juga member kesan kepada
meningkatnya jumlah kemalangan jalanraya di negara ini. Selaku
perunding sebuah pusat bimbingan remaja puteri pula, Yusnani Abdul
Hamid menyentuh tentang peningkatan gejala sosial di kalangan remaja
berpunca daripada pengabaian kesihatan emosi dan rohani remaja. Ianya
juga menular di kalangan remaja di pusat-pusat pengajian tinggi
terkemuka di negara ini. Beliau menasihati agar para ibubapa mengambil
berat tentang pendidikan anak-anak mereka dan tidak menyerahkan
hanyasanya kepada pihak sekolah semata-mata. Sementara itu, Zameran
Jusoh menyarankan agar warga masyarakat kembali kepada penghayatan
agama secara menyeluruh dengan memastikan pembangunan generasi yang
sihat dan cemerlang bukan sahaja di dunia malah sehingga ke hari
akhirat.

Masyarakat setempat juga mendapat maklumat tentang kepentingan menjaga
kesihatan menerusi pameran yang telah diadakan oleh IKRAM Health,
Fight Cancer Group (FCG) Kemaman dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA)
Kemaman. Selain daripada itu, gerai-gerai jualan juga diadakan bagi
menambah keceriaan program kali ini.

Program yang berlangsung dari jam 8 pagi sehingga 1 tengahari ini
telah menarik lebih 500 orang warga masyarakat Pekan Kerteh
menyertainya. Disamping perkhidmatan kesihatan yang diberikan, program
ini juga turut diserikan dengan persembahan nasyid oleh para pelajar
Sekolah Menengah Islam Al-Amin Kemaman iaitu salah sebuah rangkaian
institusi pendidikan Islam swasta yang diusahakan oleh IKRAM Kemaman
di daerah ini.

Seorang warga emas, Hussin bin Abdullah dari Kampung Gelugor berkata
program ini sangat bermanfaat kepada masyarakat dan seharusnya
dilakukan dengan lebih kerap lagi agar masyarakat kampung khususnya
mudah untuk mendapat khidmat pemeriksaan kesihatan. Beliau amat
berterima kasih di atas inisiatif IKRAM dan berharap agar program
seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang.

Seorang lagi pengunjung, Noraini Anuar dari Kg Baru Kerteh pula
berharap lebih banyak penyertaan daripada golongan muda seperti beliau
ke program seumpama ini. Ini kerana bagi beliau golongan muda perlu
memastikan penjagaan kesihatan yang seimbang dapat dimulakan sejak
awal lagi menerusi budaya gaya hidup sihat seperti yang ditekankan
menerusi karnival ini.

Program ini telah dirasmikan oleh Penghulu Mukim Kerteh, Abdul Ghafar
Mohamad dan ditutup perasmiannya oleh TYDP IKRAM Kemaman, Muzahar
Hitam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG TERENGGANU

Copyright 2010 All Rights Reserved