ads

Isnin, 26 Mac 2012

13 di kuala berang - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

13 di kuala berang - Google Blog Search


Sebongkah Batu <b>Di Kuala Berang</b>: Layakkah dosanya ditanggung <b>...</b>

Posted: 22 Dec 2011 11:58 PM PST

"Interlok" ditetas;
"Sebongkah" dicantas.
Sasterawan cerdas;
mulailah ditindas.
–A. Samad Said

Lagi sesebuah buku itu diharamkan, lagi melonjaklah popularitinya. Lagi dikeluarkan fatwa tentang buku itu, lagi melonjaklah pula penjualannya.

Siapakah mereka yang mengawal pembacaan masyarakat? Manusia biasa akan ada sifat prejudis mereka sendiri dan akan mengharamkan karya-karya yang mereka tidak suka bukan kerana ada bukti kukuh tetapi atas sebab kepentingan sendiri dan tidak semestinya menguntungkan atau melibatkan masyarakat.

Pengharaman buku perlu dilihat secara berasingan, ianya tidak boleh dihukum secara umum. Alasan yang kerap digunakan oleh pihak tertentu (baca: pro-pengharaman) ialah untuk melindungi masyarakat daripada ditipu atau dipengaruhi oleh aliran yang boleh memesongkan akhlak mahupun akidah.

Sebagai contoh, buku 'Pelik Tapi Benar Dalam Solat' tulisan Ustaz Abdul Rahman Mohamed adalah mengenai feqah, bukan akidah. Akan tetapi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dan menarik balik pengedaran buku tersebut dengan alasan buku ini berlainan mazhab, bimbang akan menggugat akidah pembaca.

Kredit :Google Image

Oleh itu, timbullah persoalan dibenak pembaca berkenaan pegangan mazhab. Adakah hanya kerana kita berpandukan mazhab Syafii' maka menganggap mazhab lain terpesong dari akidah? Adakah mazhab–mazhab lain itu menjadikan kita sesat jika diikuti? Adakah saranan mazhab lain itu salah dan mampu menyimpangkan akidah pembaca? Oleh itu, dari sudut mana penilaian dari KDN itu dibuat?

Kemudian, Negara dikontroversikan dengan isu penarikan balik novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain 'Interlok' untuk tidak lagi menggunakan novel tersebut sebagai buku teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Melayu pelajar tingkatan lima mulai tahun ini.

Alasan sebelum ini bahawa Interlok mengandungi beberapa perkataan yang dianggap menghina masyarakat India namun ianya telah ditarik balik dan perkataan berkenaan telah dipinda hasil cadangan sebuah badan bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan. Walaubagaimanapun, usaha untuk mengharamkannya tidak bekubur begitu sahaja apabila ianya dicalit rasis oleh politikus-politikus demi kepentingan peribadi.

Kredit: Google Image

Jika disebabkan intipati novel tersebut hanya wujud kasta yang digambarkan oleh pengkarya, ianya bukan suatu bentuk penghinaan kepada kaum India malah merupakan realiti pada zaman berkenaan.  Adakah ini sudah cukup kuat untuk mendakwa novel tersebut mempunyai elemen-elemen menjatuhkan martabat kaum tersebut? Apa sudah jadi dengan negara? Benarkan saya berkata, mundurnya pemikiran rakyat kita!

Soalan yang kian terbit di saat menulis entri ini..

Kalau tidak diharamkan, apakah impak terbesar yang berkemungkinan berlaku kepada pembaca?

Berulang setiap kali Allah menceritakan kejadian alam dan memberikan ruang berfikir kepada manusia. Allah menyatakan;

"yang demikian itu bukti-bukti (kebesaran Allah) bagi mereka yang berfikir" (ar-Ra'd: 3, ar-Rum: 21, az-Zumar: 42),

juga disebut:

"yang demikian itu bukti-bukti (kebesaran Allah) bagi mereka yang berakal" (ar-Ra'd: 4, an-Nahl: 12, ar-Rum 24),

Membacalah dengan mata hati. Maka minda akan lebih berkembang, lebih banyak menyoal, lebih banyak membaca. Orang putih kata, self-censorship. Bagi yang boleh berfikir dan menilai, mungkin penerangan itu akan mudah diterjemahkan dengan baik kerana setiap orang berhak membaca apa sahaja yang mereka mahukan. Tetapi malangnya, di negara ini ramai yang asyik menerima tanpa mahu menilai secara kritis.

Teori minda kita dijajah adalah sangat tepat. Ia terbukti kerana akal kita tidak berupaya untuk berfikir secara kritikal akibat kesan kecenderungan kepada pendidikan sekular yang tidak berteraskan kepada susur galur penyampaian ilmu sebenar yang dianjurkan oleh Islam sendiri. Secara terperinci, sistem pembelajaran di Malaysia hanya mementingkan pencapaian peperiksaan dan tidak banyak memberi ruangan kreatif untuk berfikir. Atas alasan itu, pelajar menjadi jumud dan bahan bacaan yang ringan menjadi pilihan.

Lalu, terhasillah karya-karya picisan yang santai, lemah gemalai dan liuk lentok dihidang kepada kita tanpa jemu. Nah lihat sahaja di kedai-kedai buku, karya apa yang setia berbaris di ruangan best-seller? Atau pergi sahaja di laman sesawang milik penerbit besar, buku apa yang terlaris mengungguli carta bulanan?

Kembali kepada persoalan tadi. Jika tidak diharamkan, bagaimana untuk mengawal buku-buku yang membawa kepada kerosakan akhlak, akidah? Buku yang menjurus kepada penghinaan kepada agama, bangsa? Persoalan demi persoalan beginilah yang sentiasa memberi ancaman kepada ibu bapa dan masyarakat lantas menyokong segala macam Akta yang disodok berkaitan pengharaman.

Adakah dengan membenarkan pengharaman ke atas buku yang mencentus kontroversi kononnya itu adalah jalan terakhir yang diambil oleh pihak berwajib? Jawapannya, TIDAK!

Kredit :Google Image

Mengekanglah tulisan dengan tulisan. Islam adalah agama hujah dan semestinya ditegakkan dengan hujah serta dilindungi oleh hujah. Tindakan yang lebih bijak adalah untuk menulis buku atau artikel bagi menjawab semua karya yang dikatakan mengandungi unsur keraguan kepada pembaca.  Sebagai contoh, baru-baru ini, novel cereka "Sebongkah Batu di Kuala Berang" karya Faisal Tehrani diharamkan edar atas sebab (yang tidak dipastikan) bahawa tulisan penulis dipenuhi penyelewengan dari kebenaran disamping meniupkan unsur 'syiah' di dalam novelnya. Pendapat saya, pihak yang bertanggungjawab di dalam soal pengharaman buku ini wajiblah menyatakan sebab penarikan dengan hujah serta bukti dan terpulang kepada pembaca untuk membuat penilaian. Penulis pula, harus mengambil sikap berlapang dada terhadap kritikan dan menerimanya secara matang dan profesional.

Ianya mengingatkan saya kepada kisah Kassim Ahmad dalam tulisannya 'Mencari Jalan Pulang'. Katanya (lebih kurang), "Dia berfikir begitu kerana ia berdasarkan apa yang dia kaji, dia baca dan dia belajar serta apa yang dia percaya. Dan, sekiranya ada org yang boleh merasionalkan apa yang dia percaya itu salah dan boleh menjawab segala persoalannya, maka dia akan menerima."

Suka saya buka lembaran sejarah sebagai pedoman bersama iaitu pada zaman pertengahan Eropah yang menyaksikan banyak buku diharamkan dan dibakar atas alasan agama. Manakala di zaman penjajahan British pula, karya Pak Sako diharamkan pengedarannya dan begitu juga renteten dari peristiwa yang berlaku di Occupy Wall Street di Amerika, ada perpustakaan yang ditubuh aktivis turut dilayan sedemikian rupa.

Adakah kita ingin negara menuju ke zaman kegelapan gereja yang menghukum apa sahaja ilmu yang tidak serasi dengan kelompok tertentu tanpa alasan? Atau adakah kita terlalu jumud dan paranoid dan bertindak seperti pihak British? Jika trend begini berterusan sudah pasti ianya boleh merosakkan percambahan ilmu.

Dan jika akidahlah yang menjadi kerisauan semua pihak, izinkan saya bertanya. Bukankah untuk mengawal akidah perlulah dimantapkan akidah itu terlebih dahulu? Saya kongsi di sini jawapan Abdullah Munsyi kala dituduh sebagai mengkafir umat Melayu semasa menjadi penterjemah kepada paderi Inggeris:
"Apakah ertinya iman itu? Adapun ertinya iman itu yang kuketahui, percaya; maka jikalau kiranya aku membaca seribu kitab agama lain-lain, jikalau tiada percaya aku akan dia, bolehkah rosak iman? Aku tiada mahu mendengar perkataan bodoh itu."

Mungkin saya boleh simpulkan bahawa kaedah "Bacalah dengan nama Tuhan mu" itu menjawab segala persoalan di atas.

0 ulasan:

Catat Komen

 

BLOG TERENGGANU

Copyright 2010 All Rights Reserved