Harun Taib KUALA TERENGGANU – Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding di Parlimen Pekan tidak lebih menggambarkan beliau seorang yang setia kepada parti.

Harun berkata, apa dinyatakan Abdul Hadi itu menunjukkan dia akur bertanding mana-mana tempat diputuskan parti, namun beliau tidak terfikir Abdul Hadi akan bertanding di Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Bagaimanapun, beliau memberitahu tidak mengetahui maklumat sebenar mengenai perkara itu dan belum berjumpa Abdul Hadi untuk dapatkan kesahihannya.


"Saya tidak jumpa lagi dengan beliau sama ada sungguh atau tidak (mahu tanding di Parlimen Pekan), tetapi apa yang boleh dikatakan, ia bermakna kesetiaan beliau terhadap parti," katanya, semalam.

Harun mengulas laporan berhubung kesediaan Abdul Hadi untuk bertanding di Parlimen Pekan, sekali gus menunjukkan kesediaan beliau melawan kerusi yang disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Abdul Hadi ketika ini penyandang kerusi Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang.

Harun berkata, Pas sudah tentu akan beri kerusi 'sesuai dan munasabah' kepada Abdul Hadi.

Menurutnya, parti akan buat keputusan bijaksana sesuai dengan jawatannya dalam usaha membawa hala tuju parti selepas pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut Harun berkata, hanya kerusi Parlimen Marang dilihat sesuai untuk Abdul Hadi.

"Buat masa ini (Abdul Hadi sesuai) di Parlimen Marang, bukan Maran," katanya.

Mengenai sama ada Abdul Hadi masih bertanding dua kerusi sebagaimana pilihan raya sebelumnya, Harun menegaskan urusan calon terpulang kepada parti.