Jumaat, 12 Julai 2013

13 di kuala berang - Google Blog Search

13 di kuala berang - Google Blog Search


ujang kutik: <b>KUALA BERANG</b> :LEBUH RAYA BAHARU ADA CERITA <b>...</b>

Posted: 08 Jul 2013 09:18 AM PDT



Bandar Kuala Berang, Terengganu terletak lebih kurang 42 kilometer ke utara Kuala Terengganu. Pengunjung dari Kuala Lumpur yang hendak ke Kuala Berang tidak perlu ke Kuala Terengganu. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Berang yang jaraknya lebih kurang 400 kilometer  cuma mengambil masa lima jam dengan melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur - Kuantan. Dari Kuantan melalui Lebuh Raya Jerangau-Jabor dan akhirnya melalui lebuhraya baharu menuju ke Kuala Berang.
Bandar Kuala Berang yang 2-3 tahun sebelum ini adalah sebuah bandar mati kini adalah sebaliknya, ' hidup'. Suatu masa dahulu, pengunjung yang ada urusan di Kuala Berang akan mencari tempat penginapan di Kuala Terengganu kerana kesukaran mendapat tempat penginapan yang selesa dan juga suasana di Kuala Berang yang membosankan. Namun, kini tempat penginapan seperti 'homestay' dan hotel kecil membiak bagai cendawan tumbuh di sekitar Kuala Berang. Suasana malam terutamanya di medan selera yang banyak begitu meriah kerana ramai pengunjung.

Orang Melayu mengusahakan 'homestay' dan hotel kecil adalah satu fenomena di Negeri Terengganu - Kuala Terengganu, Marang dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini merebak ke Daerah Kuala Berang.Semoga anjakan ini akan melanda juga kepada Orang Melayu di negeri-negeri lain dalam skala yang lebih besar dan berdaya saing.
 

Perjalanan dari Kuantan ke Kuala Berang akan melewati Bandar Al-Mukhtafi Billah Shah, Bukit Besi, beberapa buah kawasan perkampungan, kawasan hutan dan ladang-ladang kelapa sawit yang maha luas.

Secara peribadi saya kurang teruja dengan pemandangan di kiri-kanan lebuhraya kerana suasana 'kehutanan' yang asli telah diambil-alih oleh kehijauan 'man made' hutan kelapa sawit.
Ketika di Kuala Berang, saya berpeluang berbual dengan penduduk tempatan. Di antara tajuk  yang agak menarik diperkatakan ialah mengenai ' hantu ' di lebuh raya baharu.
Kononnya, telah berlaku beberapa kejadian di mana pengguna lebuhraya baharu pada waktu dinihari telah diganggu oleh 'hantu lebuhraya'. Dikatakan mereka telah 'ditipu' oleh 'peniaga' R & R untuk singgah makan di Perhentian R & R lebuhraya baharu sedangkan tempat itu sebenarnya masih belum beroperasi lagi. Kononnya pekerja lebuhraya kerap kali mendapat 'wang terpijak' yang diletakkan di atas kaunter Perhentian R & R.
Cerita-cerita hantu adalah cerita-cerita yang tidak diketahui periwayat sebenarnya. Namun demikian, ada yang percaya dan juga yang tidak percaya . Samada percaya atau tidak, pengkisahannya terutama di waktu malam yang sunyi boleh meremangkan bulu roma tetapi tetap diberi perhatian kepada babak demi babak penceritaannya. Ianya umpama 'masak lomak lado api', pedas tetapi sedap!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads