Ini entri formal sebab sebelum ini saya hanya mengemaskini blog melalui telefon sewaktu sedang bercuti. Syukur talian internet di kawasan pantai timur lancar di kebanyakkan tempat.
Bas bertolak tepat jam 9.00 malam dan selamat tiba jam 4.15 pagi. Suami menanti kami di pekan Kuala Ping.
Perkara pertama yang dicari sudah tentunya sarapan nasi dagang. Saya suka Nasi Dagang Terengganu berbanding Nasi Dagang Kelantan. Ada beza kedua jenis nasi dagang dua negeri ini.
Luangkan masa melihat sinar mentari pagi di Pantai Kemasik.
Melepasi pesisir pantai, melihat panorama indah termasuk projek pembinaan jambatan baru juga pasaraya dalam paya di bandar baharu Kijal. Saya hanya pelancong yang 'melihat' jadi tak beranilah nak komen lebih². Sesiapa nak tahu, pergilah melancong ke Terengganu.
Lokasi pertama percutian kali ini adalah mengunjungi Muzium Bijih Timah Sungai Lembing yang merupakan salah satu dari dua muzium yang dikendalikan oleh Jabatan Muzium Malaysia di Pahang.
Cantik pemandangan semaktu memasuki pekan Sungai Lembing.
Kawasan Sungai Lembing merupakan kawasan galian biji timah yang kedua terbesar di dunia selepas Bolivia. Sungai Lembing merupakan bandar yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu yang diletakkan dibawah pentadbiran sebuah syarikat bijih British iaitu Pahang Corporation Limited.
Kawasan seluas 2,500 ekar persegi itu dipajakkan bagi tempoh 100 tahun dengan bayaran satu sen setahun.
satu sen? patutlah kita tinggal sisa saja……… semua dah dikaut.
Sewaktu kegemilangannya, lombong bijih timah Sungai Lembing dikenali sebagai 'El Dorado Timur' bersempena nama lombong emas yang terkenal di Alaska. Ianya merupakan komplek lombong bijih timah bawah tanah yang terbesar di dunia.
Bangunan yang pernah menjadi kediaman pegawai Inggeris di Lembah Sungai Kenau.
Kawasan perlombongan Taibeto, terletak kira-kira 500 meter dari tapak Muzium Sungai Lembing, sedang dalam pembinaan untuk menaik taraf. Kami memasuki kawasan ini atas kebenaran seorang staf dengan syarat dikawasan tertentu sahaja. Menurut mereka, ianya akan dirasmikan pada awal Januari 2013 nanti.
Ini adalah terowong bawah tanah lombong bijih timah Sungai Lembing. Terowong ini digunakan untuk membawa bijih timah keluar dari lombong ke loji pengisar yang lebih dikenali sebagai 'pangkang'.
Lombong Tabeto yang juga dikenali 'Tai Peng Tong' oleh penduduk tempatan. Pada zaman kegemilangannya lombong Tabeto ini telah mencapai kedalaman maksimum 500 meter.
Salah satu pintu masuk yang terdapat di terowong bawah tanah lombong bijih timah di Sungai Lembing. Kami berjalan kaki memasuki lombong bawah tanah ini kira-kira 60 meter. Keadaannya lembab dan sejuk.
Difahamkan air yang mengalir keluar daripada bukit ini tidak sesuai diminum kerana dikatakan mengandungi kadar sulfur yang tinggi kecuali digunakan untuk mandi bagi mereka yang menghidapi masalah kulit.
Pelombong bijih timah yang kesepian menanti kunjungan pelawat. Replika ini belum siap masih dalam pembinaan.
Bangunan muzium yang terletak di atas bukit sebelum ini merupakan tempat kediaman pengurus besar syarikat lombong bijih timah The Pahang Corporation Limited dari tahun 1887 hingga 1906. Ia kemudian diambil alih oleh syarikat Pahang Consolidated Company Limited (PCCL) sehingga 1986.
Rumah kediaman pengurus besar ini dahulunya dikenalai sebagai "The European Bungalow 1" atau singkatannya EB1
Muzium ini menyediakan ruang pameran mengikut urutan kronologi sejarah, peristiwa dan artifak bagi memudahkan kita melihat, memahami dan menghayati keadaan sebenar kehidupan pelombong pada masa dahulu.
Terdapat juga potret dan bibliografi tokoh-tokoh yang pernah menyumbang kepada pembangunan dan kegemilangan Sungai Lembing . Ruang pameran menempatkan model perlombongan termasuk contoh batuan , replika kaedah aktiviti perlombongan dan barangan peribadi pelombong.
Lombong itu ditutup pada tahun 1986 kerana kos operasinya yang tinggi dan kejatuhan harga bijih timah.
Waktu melawat Muzium Bijih Timah Sungai Lembing
Isnin hingga Ahad – 9.00am-5.00pm
Jumaat
- 9.00am-12.15pm
- 2.45 pm- 5.00pm
Tutup pada Hari Raya Aidilfitri & Hari Raya Aidiladha
Masuk adalah percuma.
Kuda ini diluar kawasan muzium, tetapi masih di perkampungan Sungai Lembing.
Nota : Muzium Sungai Lembing adalah muzium ke 7 yang saya lawati sepanjang tahun 2012! Esoknya saya melawat satu lagi muzium… tungu entri seterusnya.