Grand Livina yang dinaiki tiga beranak remuk teruk selepas melanggar treler di Kilometer 139.4 Jalan Jerangau-Jabor, Air Putih, malam kelmarin.

KEMAMAN - Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam di Kilometer 139.4 Jalan Jerangau-Jabor, Air Putih di hadapan restoran milik Ishak itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang dipandu Hasmizi Che Lah, 30, seorang guru di sebuah sekolah di Temerloh, Pahang merempuh sebuah treler balak tanpa muatan.

Perlanggaran kuat itu mengakibatkan mangsa tiga beranak tersepit dan anaknya, Nur Aina Marissa, 3, yang diriba isterinya meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Air Putih.
Hasmizi dan isterinya, Norafzalumi Ghazali, 30, yang bekerja sebagai jururawat di Temerloh pula mengalami kecederaan parah dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Cheneh tiba.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, ketika kejadian, Hasmizi sekeluarga dalam perjalanan pulang dari bercuti di kampungnya di Bachok, Kelantan menuju ke Kuantan.


Menurutnya, sebuah treler dipandu lelaki berusia 67 tahun yang datang dari arah sama secara tiba-tiba membuat pusingan U di lokasi kejadian menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar treler berkenaan.


"Guru terbabit dan isterinya pula dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.


Sementara itu, Hasmizi yang patah paha dan isterinya yang patah kaki dihantar mendapatkan rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang, pada jam 7 pagi semalam.