Ok, ni post report mancen pertama blog ezy. Dan mungkin banyak lagi yang akan menyusul.
Kali ni ezy nak kongi pengalaman trip yang telah dilalui oleh DOF'ers sempena Aktiviti Lapangan subjek Perikanan Rekreasi 1 yang di-handle oleh salah seorang sifoo/mahaguru ezy
Hmm, kena baca dulu baru tau!
Sebaik kaki mencecah pasir di Pulau Bidong, cuaca yang baik menyambut kami semua.
Masing-masing mula memasang impian untuk mancen ikan idaman. Nyata manusia hanya mampu merancang apabila malam tu angin kuat melanda Pulau Bidong. Jadi trip pertama untuk malam tu tak berapa berjaya.
Keesokan petang, tibalah saat yang ditunggu apabila tiba giliran ezy n' da geng untuk turun memancing. Bot yang dipandu oleh tekong Kamal memecut laju dan 10 minit je dah sampai kat tuas. Menurut tekong, tuas ini dibina oleh nelayan tempatan dimana pelepah-pelepah kelapa telah ditenggelamkan dan buluh yang terjulur keluar itu selain bertindak sebagai penanda ia juga dijadikan tempat untuk menambat bot.
Bila dapat isyarat dari tekong, semua orang memulakan aksi. Ada yang menurunkan sabiki, bottom tapi bagi ezy inilah peluang terbaik untuk mencuba teknik yang dipelajari dari Mahaguru iaitu light jigging. Hasil dari sabiki dan bottom amat memberangsangkan bila selayang, selar dan selar kuning silih berganti dinaikkan. Sorang member yang mem-bottom tiba-tiba bersuara yang dia mengantuk dan nak tidur apabila jorannya jarang-jarang diusik. Hm, cover line-lah tu, padahal mata dah nampak bintang-bintang. Hehee..
Jigging punya jigging, masih takdak hasil. Hasil ajaran Mahaguru & tontonan video, akhirnya ikan pertama dalam hidup dengan teknik light jigging dapat dinaikkan bilamana ikan kembong yang boleh tahan saiznya menyambar jig 28gram yang digunakan. Izz yang turut berjigging tidak dapat menahan isi perut dia yang bergelombang. Jigging sambil muntah sampaikan habis segala makanan tengahari dikeluarkan balik. Kuning sekejap warna air disekeliling bot kami. Tetapi semangat yang dia tunjukkan harus dipuji apabila masih berusaha untuk jigging dengan keadaan diri yang masih tidak stabil.
Tak lama selepas tu, suasana jadi sedikit sepi…
Tak berapa jauh dari tempat bot parking, jelas kelihatan boiling yang dilakukan oleh sekumpulan ikan. Sayangnya, balingan jig tak mampu sampai ke radius boiling ikan. Bot kedua yang turut dihuni oleh Mahaguru mengambil langkah pantas dengan mengolok / trolling. Ternyata pengalaman dan tindakan Mahaguru tepat apabila bot kedua berpesta menaikkan ikan yang tengah mengamuk kat bawah, Ikan Aya!!!
Trip kedua ezy pada malamnya bersama Mahaguru terpaksa dibatalkan kerana ribut.
Keesokannya, ezy dan DOF'ers yang lain mengambil keputusan untuk mencuba nasib di jeti di sebelah selatan pulau. Hasil dari bottom boleh tahan dengan todak mendominasi tangkapan.
Melihat todak yang berjaya ditipu dengan hirisan sotong itu, ezy cuba memperdayakan todak dengan casting. Nyata usaha itu tidak mendatangkan hasil apabila naluri ingin tahu mereka terhadap Seahawk Island melebihi naluri membunuh mereka.
Berpindah ke kawasan tepi jeti yang berbatu, gewang minnow Hinomiya yang dibaling berjaya menarik minat seekor ikan kunyit. Kemudian, ezy menukar semula kepada Seahawk Island yang sudah bertahun tidak digunakan. Balingan secara bertalu-talu ditepi batu besar akhirnya berjaya menarik perhatian seekor kerapu bintik biru yang boleh tahan saiznya. Gembira bukan kepalang rasanya. Hari itu bonus bagi ezy apabila seekor bayan dapat dinaikkan menggunakan sesudu Seahawk yang sama. Rasa percaya dan sayang mula lahir terhadap spoon tersebut.
Semasa dalam perjalanan pulang ke jeti, spoon yang dilontar secara bermalasan tiba-tiba dikejar todak. Risau terhadap spoon yang telah berjasa tu, ezy mengarau laju. Tetapi entah apa yang ada didalam fikiran todak itu apabila ia nekad menyambar dan memutuskan spoon tersebut… hurmm, hilang gewang berjasa T _ T
'dendam' rasanya dengan todak itu kerana sebelum ke Bidong, ezy telah ditewaskan oleh ikan bergigi tajam yang tidak diketahui spesiesnya semasa casting di benteng.
Tiba di jeti, kawan-kawan teruja dengan hasil yang diperolehi dan masing-masing sibuk nak bergambar.
Apapun semua pelajar Perikanan Rekreasi 1 merasa seronok dengan pendedahan yang dilakukan di Pulau Bidong. Semoga segala ilmu yang dipelajari akan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Sebelum balik, semua DOF'ers mengambil peluang bergambar dengan Mahaguru
Siapa beliau? Haa, nilah dia Sifoo memancing Malaysia yang ezy maksudkan…
Untuk pengetahuan korang, Mahaguru adalah kolumnis tetap Majalah Sirip yang memperjuangkan nasib Pancingan Rekreasi di Malaysia.. Pembaca setia Sirip pasti mengetahui nama kolumnis yang low-profile nih!
ezy juga antara salah seorang peminat artikel beliau yang penuh dengan idea-idea bernas. Beliau merupakan seorang jigger yang boleh dikategorikan sebagai hardcore. Sedikit terkilan apabila trip ezy bersama Mahaguru terpaksa dibatalkan akibat faktor cuaca.
Sejarah Pulau Bidong
Pulau Bidong ialah sebuah pulau kecil di Terengganu, Malaysia. Ia terletak 45 kilometer di luar pantai Terengganu dan Merang di Laut China Selatan. Pada 8 Ogos 1978, pulau Bidong telah dijadikan tapak peralihan pelarian perang oleh kerajaan Malaysia dan Komisioner Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dengan penempatan 121 pelarian Vietnam pertama. Sejak itu sehingga 1991, pulau ini menjadi tempat perlindungan bagi pelarian Bot yang melarikan diri daripada pemerintahan Komunis dari Vietnam.Menjelang Januari 1979, terdapat 18,000 pelarian Vietnam di pulau Bidong dan menjelang Jun 1979 pulau ini pernah menempatkan sehingga 40,000 pelarian Vietnam dan yang lain-lain sebagai tapak peralihan semasa Perang Vietnam. Mungkin ini faktor yang menyebabkan Pulau Bidong dikenali sebagai Mini Saigon. Selain itu, Bidong juga digemparkan dengan penemuan artifak seperti tempayan, takar dan pasu dipercayai berusia lebih 100 tahun di dasar lautnya. Sejarah yang amat bernilai ini seharusnya dipelihara dengan sebaik mungkin agar ia akan dapat dapat dihayati oleh generasi akan datang. Pelajar Universiti Malaysia Terengganu amat bertuah apabila program Survival Laut yang dilaksanakan untuk semua pelajar Tahun 1 didedahkan mengenai sejarah pulau ini selain menerapkan nilai menghargai alam sekitar.
Terima Kasih daun keladi kepada sumer pihak yang telah menjayakan trip ni, terutamanya kepada Mahaguru dan DOF'ers. Semoga teguran Along akan dijadikan iktibar...
"Syukur subjek ni dapat A!"