Cerita kedai kopi pagi ini berkisar tentang letupan yang berlaku di pusat pemprosesan gas di Loji Pemprosesan Gas (GPP) dalam kawasan Kompleks A milik Petronas pada hari Khamis, 10 Mei 2012. Menurut sumber yang boleh dipercayai sudah tiga orang meninggal dunia (akhbar melaporkan seorang) akibat tragedi tersebut. Seperti yang dilaporkan oleh akhbar, Rosli Mansor, 31, maut di tempat kejadian kerana melecur teruk di seluruh badan manakala dua lagi yang lain tidak penulis ketahui butir² dirinya.
Sejurus kejadian berlaku, pelantar berketinggian kira-kira lima meter tempat pekerja terbabit melakukan kerja-kerja penyelenggaraan runtuh.Adun Kemasik, Ir Rosli Othman melawat mangsa di Klinik Kompleks Industri Petroliam Kerteh jam 6.45 petang. Namun usaha wakil media masuk ke pekarangan klinik gagal.
Rosli yang ditemui di luar klinik kesal dengan kejadian berkenaan berharap Petronas lebih hati-hati dalam memilih sub kontraktor yang mahu diserahkan projek.
"Petronas patut memilih syarikat sub kontraktor yang benar-benar layak kerana kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang," katanya.
Letupan kuat menggemparkan 2,000 pekerja yang berada di lokasi ketika kejadian berlaku.
Salah seorang saksi kejadian, Demi Ismail, 50, berkata, dia terdengar satu letupan kuat diikuti asap tebal dan kelihatan api menjulang setinggi kira-kira 6 meter.
"Selepas itu saya melihat, salah seorang pekerja 'terbang' lalu tercampak ke dalam longkang berhampiran, saya dan beberapa rakan bergegas ke longkang itu serta cuba menyelamatkannya.
"Saya dapati muka dan tangannya melecur," katanya.
Demi berkata, dia turut mendapati beberapa rakannya cedera dan tidak lama kemudian sekumpulan anggota unit penyelamat serta pegawai perubatan syarikat tiba di tempat kejadian.
"Kami diarah berkumpul di kawasan lapang manakala mangsa cedera diberi rawatan serta-merta. Beberapa rakan saya yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Paka, Klinik Kesihatan Kerteh, Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
"Khairul Amir dimasukkan ke Hospital Dungun kerana mengalami sesak nafas. Mohd Zamri Fithri, melecur di bahagian tangan dan kaki manakala, Ahmad Qamarul Mat Yusof, 22, dari Taman Murni Perdana, Paka hanya cedera ringan di kaki dan dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan," katanya.
"Ketika sedang bekerja, tiba-tiba saya terdengar letupan kuat diikuti dengan asap tebal dan api yang menjulang tinggi," kata Khairul Amir Mohd Sidi, salah seorang mangsa yang terselamat.
Khairul yang bekerja sebagai sebagai pembantu instrumen di syarikat kontraktor di kawasan pemprosesan gas sejak dua bulan lalu berkata, kejadian letupan itu berlaku pada jarak 200 meter dari tempatnya bekerja.
Menurutnya, selepas letupan, dia menyedari ada sesuatu tidak kena di lokasi terbabit lalu bergegas ke kawasan perhimpunan bersama rakan sekerja yang lain.
"Saya cuba menyelamatkan diri dengan berlari ke kawasan lapang kerana bimbang mungkin ada lagi kejadian sama seperti itu.
"Tidak lama kemudian saya rasa sesak nafas. Saya diberi rawatan kecemasan sebelum dibawa ke hospital," kata Khairul.
Khairul dipercayai terhidu asap kini dirawat di Hospital Dungun dan keadaannya dilaporkan stabil.
Petikan Sinar Harian
Al-Fatihah kepada mangsa yang terkorban dan takziah kepada semua ahli keluarga mereka. Semoga roh arwah ditempatkan di sisi orang yang beriman.