Berbakti di Pulau Bidong
Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail
bminggu@bharian.com.my
2011/10/23
MENYEDARI pentingnya usaha pemeliharaan dan pemuliharaan dasar laut, Persatuan Pemuliharaan Terumbu Karang Malaysia (Coral Malaysia) menganjurkan Hari Pemuliharaan Alam Sedunia 2011 di Pulau Bidong, Terengganu pada 15 hingga 18 September lalu.
Program memulihkan khazanah alam ini yang masuk tahun keempat, dijayakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Kerajaan Terengganu, disertai 80 sukarelawan termasuk penyelam skuba dengan aktiviti utama menjurus kepada usaha membersihkan dasar laut dan pantai.
Turut diadakan pada program yang diserikan dengan kehadiran Duta Coral Malaysia, Fauziah Latiff ini adalah dialog bersama peserta. Kemuncak acara adalah majlis menandatangani plak akujanji memelihara perairan Pulau Bidong yang kemudian ditempatkan di Galeri Dasar Laut yang dibina Coral Malaysia pada 2006.
Perairan Pulau Bidong juga menempatkan tukun tiruan khas untuk penyelam skuba yang sentiasa mencari kelainan apabila meneroka dasar lautan. Sekitarnya, ada kira-kira 21 lokasi selam skuba, setiap satu dengan keunikan tersendiri, antaranya Tukun Bidong, Tugu Bidong, Pasir Tenggara, Teluk Belanga.
Ada juga Galeri Dasar Laut yang unik kerana turut menempatkan replika warisan negeri, antaranya batu bersurat, tepak sirih, tengkolok, keris dan perahu payang.
Pulau ini pernah menjadi tempat perlindungan hampir 250,000 pelarian Vietnam selama 16 tahun bermula Mei 1975 sebelum ditutup pada 1991. Mengambil kira aspek sejarahnya, pulau berkeluasan kira-kira 203 hektar ini turut dijadikan khazanah negeri dan sebarang pembangunan tidak dibenarkan kecuali sebuah pusat penyelidikan UMT.
Ikuti catatan penulis yang berpeluang menyertai program selama tiga hari ini.
Rabu
9 malam
Peserta yang memilih berkonvoi ke destinasi berkumpul di Galeri CM, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur untuk mendengar taklimat mengenai konvoi dan apa yang perlu dilakukan sepanjang perjalanan dan sebaik tiba di Jeti Marang, Terengganu, keesokannya.
Khamis
10 pagi
Peserta yang terdiri daripada penuntut dan pensyarah UMT, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari kampus Gombak dan Pahang, ahli Anak Laut, Skuba Ted serta wakil media dan kakitangan Kementerian Pelancongan Terengganu, Tourism Malaysia Terengganu dan wakil Kerajaan Terengganu berkumpul di Jeti Marang untuk bertolak ke Pulau Bidong yang terletak 30 batu nautika dari pantai dan mengambil masa kira-kira 45 minit untuk sampai dengan menaiki bot.
11 pagi
Peserta diberikan taklimat oleh Presiden Coral Malaysia, Jamhariah Jaafar dan Pegawai Sains Kanan UMT, Baharin Mustapa serta Dekan Fakulti Agro Teknologi dan Sains Makanan UMT, Prof Sayed Mohd Zin S Hassan berhubung program dan objektif Hari Pemuliharaan Alam Sedunia 2011. Sebaik tiba di destinasi, majlis suai kenal diadakan diikuti makan tengah hari sambil menikmati pemandangan sekitar pulau yang masih cantik terpelihara.
3.30 petang
Syawal masih belum berakhir ketika program ini dilangsungkan, jadi suasana hari raya masih dirasai. Peserta bergotong royong membuat persediaan meneruskan kemeriahan Aidilfitri di Pulau Bidong dengan menu istimewa, antaranya kambing panggang, sate, lemang dan ketupat.
8 malam
Makan malam dan sambutan hari raya di Pulau Bidong dalam suasana unik berlatar belakangkan keindahan pantai dan kedinginan angin malam memberikan peserta semangat walaupun penat memandu dan menguruskan aktiviti sepanjang hari.
10 malam
Peserta diberikan taklimat mengenai program yang akan dilalui keesokannya, termasuk meletak tukun tiruan di lokasi sekitar perairan pulau Bidong.
Jumaat
9 pagi
Selepas bersarapan, sekumpulan peserta memulakan aktiviti selam untuk meletakkan barangan di Galeri Dasar Laut dan sebahagian lagi membersihkan jeti serta pantai, diikuti jamuan tengah hari. Sampah seperti tin minuman dan plastik yang dikumpul kemudian ditanam untuk memastikan ia tidak mencemarkan laut.
8 malam
Majlis makan malam diadakan serentak persembahan rakaman video projek menurunkan tukun tiruan. Peserta turut diberikan taklimat mengenai majlis menandatangani plak ikrar Akujanji Memelihara Pulau Bidong di dasar laut yang akan disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records (MBR) sebagai majlis pertama seumpamanya pernah diadakan di negara ini.
Sabtu
10 pagi
Majlis menandatangani plak akujanji disempurnakan pada kedalaman 13.5 meter oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said sambil disaksikan lebih 60 ahli Coral Malaysia. Turut serta pada majlis bersejarah itu, Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Aziz Deraman; Jamhariah; Fauziah dan wakil MBR, Zulhairi Md Zin. Acara ini adalah yang keenam dicatat dalam MBR menjadikan Coral Malaysia persatuan pencinta laut paling banyak mencipta rekod dalam MBR. Selepas majlis selesai kira-kira jam 11.30 pagi, semua penyelam meraikan hari raya di dasar laut, menyelam sambil mengenakan pakaian raya.
8 malam
Majlis makan malam diadakan serentak penyampaian sijil penghargaan kepada peserta program.
Ahad
9 pagi
Selepas bersarapan, semua penyelam tidak melepaskan peluang meneroka keindahan dasar perairan Pulau Bidong. Mereka yang tidak memiliki lesen skuba pula menyertai aktiviti snorkling yang tidak kurang hebatnya.
3 petang
Selepas tiga hari menjalankan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan dasar laut di Pulau Bidong serta menikmati keindahan ciptaan Ilahi, semua peserta berkumpul untuk berlepas ke Jeti Marang dan seterusnya pulang ke destinasi masing-masing
sumber: berita harian
* Blogger pun belum sampai lagi ke Pulau Bidong ini untuk melihat sendiri sejarah peninggalan pelarian Vietnam serta keindahan bawah lautnya yang dikatakan amat indah bagaikan syurga di bawah laut.
0 comments:
Post a Comment