Majlis kesyukuran di atas kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu akan diadakan selama dua hari di Padang Astaka Kuala Berang, 28 Jun.
Anggota Parlimennya Datuk Jailani Johari berkata majlis itu bertujuan menyatakan ucapan terima kasih atas sokongan rakyat membantu kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.
Selain itu, majlis tersebut bertujuan mengeratkan lagi hubungan kemesraan di kalangan masyarakat setempat, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat program itu semalam.
Jailani, yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata pelbagai program diatur untuk memberi manfaat kepada masyarakat termasuk program 'Klik Dengan Bijak' bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Di samping itu, katanya pameran pelbagai agensi kerajaan dan swasta, sukaneka, forum perdana, cabutan bertuah dan sebagainya akan diadakan sepanjang majlis tersebut.
Jailani berkata majlis yang julung kali diadakan itu melibatkan keempat-empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Berang, Ajil, Telemong dan Manir.
Pada PRU13, Jailani dari BN-Umno memenangi kerusi tersebut dengan menewaskan calon PAS Kamaruzaman Abdullah dengan majoriti 8,213 undi.