TIDAK banyak bezanya cara pemerintahan Dato' Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu, berbanding gaya 'musuh peribadinya', Dato' Seri Idris Jusoh. Walau pun kedua-dua pemimpin Umno yang diibaratkan 'tidak boleh bertikam bayang' itu cuba digambarkan khalayak Umno sendiri sebagai sangat berlainan sifat dan pendirian masing-masing, pada hakikatnya mereka berkongsi banyak persamaan.
Kedua-dua mereka sama samseng terhadap parti lawan. Mereka suka menunjukkan sifat angkuh, terutama dalam membuktikan keupayaan Barisan Nasional memerintah. Persepsi kononnya PAS tidak pandai mentadbir dan mengurus kerajaan sama-sama dianuti dan dicanangkan oleh Idris dan Ahmad.
Mereka juga suka memfitnah, melontarkan buruk sangka dan memperlekeh apa juga yang datang daripada para pemimpin PAS. Mulut kedua-dua mereka sama "cakdus" (celupar atau lazer). Mereka kerap gopoh dan tidak cermat dalam mengulas isu-isu politik. Malah acapkali juga mereka "terbabas" apabila cuba "menegakkan benang basah", terutama dalam perkara-perkara berkaitan agama yang di luar jangkauan ilmu mereka.
Di antara persamaan lagi, Idris pernah menyifatkan usaha PAS menawan semula Terengganu dan mendaulatkan Islam sebagai "mimpi di siang hari". Ahmad pula melabelkan usaha dan hasrat sama oleh PAS sebagai "angan-angan Mat Jenin".
Dalam kata-katanya Idris sering mengulangsebut pemerintahannya mahu bersikap adil kepada semua pihak, melawan sama rata seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik. Malangnya, tindakan susulan amat jauh daripada menghampiri hakikat itu. Orang PAS memang dijadikan mangsa pilih kasih dalam hampir setiap pengagihan kemudahan atau bantuan kerajaan.
Ya, tidak dinafikan ada sebilangan ahli atau pendukung PAS memasuki senarai sebagai penerima sesuatu kemudahan oleh kerajaan negeri di sana-sini. Namun jumlah mereka tersangat kecil, selalunya tidak pun membentuk lima peratus daripada keseluruhan penerima manfaat dalam setiap kes atau program kerajaan itu.
Segelintir penerima yang dilabelkan sebagai penyokong PAS inilah yang sering dijadikan modal atau sandaran hujah oleh Idris untuk membuktikan betapa kerajaan pimpinannya tidak memilih 'bulu' atau tidak menjadikan merit politik sebagai asas pemberian apa-apa kemudahan dan bantuan kepada rakyat Terengganu.
Rakyat tahu itu hanya suatu 'cakap tak serupa bikin'. Hakikat sebenar yang berlaku adalah di sebaliknya. Kata-kata Idris itu hanyalah satu lagi pembohongan politik. Apakah Ahmad tidak begitu? Bahkan, beliau turut menggunapakai modal sama. Dalam hal itu, Ahmad bagaikan burung tiong yang telah diajar oleh Idris untuk mengulangi ratib sama oleh bekas menteri besar itu sebelum ini.
Ada lagi sifat dan tabiat yang sama-sama dikongsi mereka berdua. Antaranya ialah tabiat suka menghebatkan sesuatu idea. Kedua-duanya cuba menggambarkan diri mereka mampu melontarkan sesuatu perancangan yang luar biasa yang sering pula dikaitkan sebagai faktor yang bakal melonjakkan Terengganu di mata nasional, jika pun tidak di peringkat dunia. Lalu satu demi satu idea yang "pelik-pelik" mereka lontarkan.
Idris akan kekal diingati dengan idea-idea suka mencipta "kelainan". Selain sempat memperkenalkan berpuluh tagline berakronim dalam pentadbirannya, Idris juga sempat melontarkan idea menukar beberapa identiti negeri. Beliau menukar maskot penyu kepada ikan kain buruk (lebih popular dengan gelaran 'Nemo').
Beliau membina Bazar Warisan dengan idea asal menggantikan Pasar Besar Kedai Payang, pusat ekonomi tradisi yang menjadi 'ikon' peniaga di tengah bandar Kuala Terengganu. Beliau juga sempat mencadangkan agar bendera hitam-putih negeri Terengganu ditukar kepada yang baru.
Namun, kesan lebih besar dirasai rakyat ialah pada idea-idea yang kononnya "maju ke depan" yang melibatkan pelaksanaan sebilangan projek mega dan mewah. Di zaman Idris, antara lain diwujudkan Taman Tamadun Islam (TTI) dengan Masjid Kristal sebagai mercutanda utamanya di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu. Tidak jauh dari situ juga dibangunkan Pulau Duyong dan Pulau Warisan.
Idris juga merealisasikan perancangan kerajaan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad untuk membina Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak. Perancangan asal itu malah ditokok-tambah dengan wujudnya dua stadium – tertutup dan terbuka. Kesemua projek mega itu menelan belanja ratusan juta ringgit setiap satu. Banyak lagi projek pada skala seumpama itu terlaksana di zaman Idris.
Tabiat berbelanja besar dan bermewah semata-mata untuk merealisasikan "idea-idea pelik" yang kononnya hebat dan terkedepan sebegitu rupa-rupanya turut diwarisi Ahmad. Agaknya, memang menjadi silabus tarbiyah di dalam BN/Umno ini untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang suka menghabiskan wang rakyat sebegini, ya?
Walau pun Ahmad kurang mencetuskan idea membangunkan pusat atau kompleks mega seperti disebutkan, tabiat berboros dengan wang rakyat tetap wujud. Bezanya, beliau lebih cenderung kepada sesuatu yang berbentuk semulajadi. Di zamannya disempurnakan idea membuka Taman Burung di Tasik Kenyir. Ahmad juga agak sinonim dengan penubuhan Zoo Mini Kemaman.
Biar pun pada zahirnya ia sekadar taman-taman haiwan, ia sebenarnya bukan melibatkan perbelanjaan yang sedikit. Harga pembelian setiap binatang yang ditempatkan di kedua-dua taman tersebut telah mencetuskan pertikaian berpanjangan di dalam masyarakat. Bayangkan saja, sebilangan besar angsa ditempatkan di Taman Burung itu berharga antara RM3,800 hingga RM5,600 setiap ekor? Harga itik pula, paling murah ialah Mandarin Duck, berharga RM750 seekor.
Itu belum lagi disenaraikan harga pembelian atau penyewaan sebilangan binatang untuk Zoo Mini Kemaman, yang disebut menelan belanja puluhan juta ringgit. Malah, belanja untuk makanan haiwan-haiwan itu sahaja pun dikatakan mencapai puluhan juta juga setahun.
Rakyat tidak membantah idea atau usaha mewujudkan apa jua tempat yang dirasakan boleh memaut tumpuan orang, terutama para pelancong asing. Namun, apa yang dipertikaikan ialah sejauh manakah perbelanjaan sebegitu besar mendatangkan pulangan berbaloi kepada negeri. Pernahkah dibuat kajian atau pengamatan yang telus bahawa kewujudan taman-taman haiwan tersebut telah membantu menjana pendapatan tambahan kepada kerajaan dan rakyat?
Itu belum lagi disentuh cakap-cakap di kalangan rakyat betapa Tamab Burung di Tasik Kenyir itu sudah ibarat "indah khabar dari rupa". Dikatakan pengurusan yang tidak cekap dan tidak berpengalaman menyebabkan binatang-binatang di dalamnya banyak yang mati atau hilang. Sehinggakan rakyat tertanya-tanya apakah taman yang menghabiskan jutaan wang rakyat itu masih beroperasi atau sudah ditutup?
Di tengah-tengah pertikaian dan kekesalan rakyat terhadap wang mereka yang telah terbazir itulah Ahmad muncul dengan pendedahan baru. Beliau memaklumkan, Terengganu bakal membuka Kem Gajah pula. Seperti biasa, tiada gambaran buruk atau cacat-cela dibayangkan. Segalanya positif dan optimis. Ia dikatakan bakal menawarkan satu lagi tarikan pelancong ke negeri itu.
Soalnya, mengambilkira senarai panjang faktor-faktor sedia ada yang mampu menarik pelancong ke Terengganu, beserta pengalaman tidak membanggakan dua 'taman haiwan' yang telah wujud, apakah Terengganu masih perlukan Kem Gajah sebagai tarikan baru pelancongan?
Di kesempatan akan datang kelak kita lanjutkan perbahasan topik ini.
(Artikel ini adalah versi lebih panjang (sebelum potong) kepada versi disiarkan akhbar Harakah Bil: 1780, 15-18 Zulkaedah 1433/1-4 Oktober 2012 di ruangan 'KOLUMNIS N5' dengan tajuk sama)