Kereta yang dilarikan suspek remuk teruk selepas bertembung sebuah kereta dan lori di Ladang Gajah Mati dekat Dungun, kelmarin, menyebabkan tiga beranak parah.
3 mangsa parah, pencuri gagal kawal kenderaan
Dungun: "Pengalaman menakutkan ini adalah mimpi ngeri buat kami tiga beranak, apabila terpaksa berdepan dengan penjenayah.
"Saya tidak sangka dia berani masuk ketika kami ada dalam kereta dan kemudian memecut sehingga terbabit kemalangan," kata Abdul Pirhat Karim, 35, mengimbas kejadian kenderaan pelbagai guna (MPV) Grand Livina, miliknya dilarikan seorang remaja, petang kelmarin.
Abdul Pirhat berkata, kejadian berlaku jam 5.30 petang ketika dia bersama isteri, Che Mastura Che Awang, 31, dan bayi mereka, Muhammad Asyrat Ikhwan, sembilan bulan, bersama dua ipar singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ajil, Hulu Terengganu.
"Ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas pengebumian nenek yang meninggal dunia di Tumpat, Kelantan, kereta saya dipandu adik ipar dengan isterinya duduk di depan.
"Ketika singgah di R&R Ajil, adik ipar dan isterinya ke tandas sebelum secara tiba-tiba remaja itu menceroboh masuk dan memecut kereta kami menghala ke arah Kuantan," katanya.
Cuba pujuk suspek
Katanya, sepanjang perjalanan beliau berusaha memujuk remaja terbabit supaya tidak melakukan sesuatu yang membahayakan isteri dan bayinya.
"Remaja itu tidak peduli, menyebabkan saya bergelut dengannya sebelum hilang kawalan dan terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dan lori ketika tiba berhampiran Ladang Gajah Mati," katanya.
Akibat kemalangan jam 6 petang itu, Abdul Pirhat retak bahu kiri, manakala isterinya, patah tulang rusuk, sementara bayi mereka yang tercampak masih koma dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Selepas kemalangan itu, remaja terbabit yang terselamat turun menahan sebuah PERODUA Myvi dan berpura-pura mahu mendapatkan bantuan akibat kemalangan.
Ketika pemandu PERODUA Myvi itu, Nur Maizura Mustafa Kamal, 18, bersama bapanya, Mustafa Kamal Bakar, 55, turun membantu tiga beranak terbabit, suspek mengambil kesempatan melarikan kereta mereka ke arah Kuala Terengganu bersama empat penumpang yang duduk di belakang.
Mustafa Kamal bersama seorang pengguna jalan raya mengejar suspek sambil menghubungi bantuan polis.
Dua kereta peronda dari Balai Polis Kuala Terengganu dan Batu Rakit berhasil memintas Myvi dilarikan suspek sebelum menahannya di hadapan Masjid Al Salam, Batu Rakit, Kuala Terengganu jam 6.45 petang.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa, berkata suspek berusia 17 tahun itu dipercayai mempunyai masalah mental dan siasatan awal menunjukkan dia mahu mencuri kereta.
"Polis sedang menyiasat latar belakang suspek selepas ujian kencing mendapati dia negatif dadah. Suspek kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan menunggu laporan kesihatan mengenai status mentalnya," katanya.