Orang ramai mengerumuni pantai Sura untuk menyaksikan operasi mencari dan menyelamat bagi mengetahui perkembangan terkini tentang nasib yang menimpa dua sahabat yang masih hilang itu. - Foto: NIK MUHAMMAD RAFFIQSeorang nelayan terselamat manakala dua lagi rakannya dikhuatiri lemas apabila bot gentian kaca yang dinaiki mereka terbalik di perairan Pantai Sura Hujung, dekat sini semalam.
Kejadian pukul 4.45 petang itu menyebabkan dua nelayan berkenaan, Mohd Saifuddin Shafie, 18, dan Halim Hurus, 22, hilang manakala Mohd Mazli Mohamad, 30, berjaya diselamatkan.
Ketika kejadian, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan dan ketika meluncur 300 meter menghampiri darat, bot yang dikemudi Halim dikatakan membuat pusingan mengelak selepas terlihat ombak kecil di hadapan.
Berikutan itu, bot yang dinaiki mereka dikatakan berpusing sebelum terbalik menyebabkan ketiga-tiga mereka tercampak ke dalam laut.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor berkata seorang daripada nelayan itu iaitu Mohd Mazli diselamatkan oleh penduduk tempatan yang berada di tepi pantai dan melihat kejadian itu.
Beliau berkata Mohd Mazli yang lemas dan tidak bermaya kemudiannya dihantar ke Hospital Dungun.
"Sehingga pukul 8 malam tadi, gerakan mencari dua lagi nelayan itu masih diteruskan melibatkan anggota Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung," katanya kepada pemberita di sini.
Dahlan berkata ketiga-tiga nelayan itu yang berasal dari Kampung Sura Hujung keluar menangkap ikan sejak pagi.
Sementara itu, Hamidi Hurus, 19, ketika ditemui di hospital berkata ketika kejadian beliau berada di tepi pantai menunggu kepulangan abangnya, Halim.
"Masa itu saya melihat bot yang dinaiki abang berpusing saya nampak dengan jelas mereka semua tercampak ke laut," katanya.
Hamidi berkata dia hanya berjaya menyelamatkan Mohd Hazli manakala abangnya dan seorang rakan lain hilang. – Bernama
Tragedi tiga sahabat
DUNGUN – "Tiba-tiba saya lihat bot yang mereka naiki berpusing, ketiga-tiganya tercampak dalam air, saya lihat mereka tenggelam timbul namun saya tak dapat buat apa-apa," kata Hamidi Shafie, 19, adik kepada Halim Hurus, 22, salah seorang daripada mangsa lemas di Pantai Sura, dekat sini, petang semalam.Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, bot gentian kaca berukuran kira-kira empat meter panjang dinaiki tiga sahabat itu dikatakan berpusing sebaik menghampiri pantai menyebabkan Mohd Shabudin, Halim Harun, 22, serta Mazli Muhammad, 30 tercampak ke dalam laut.
Ketika kejadian, mereka bertiga dalam perjalanan pulang ke pantai selepas keluar menangkap ikan di perairan Dungun kira-kira jam 7.30 pagi semalam.
Menurut Hamidi, kejadian cemas itu sempat disaksikannya kerana dia ketika itu berada di tepi laut menunggu kepulangan tiga sahabat itu.
Katanya, dalam keadaan cemas, dia terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum bot terbabit hanyut ke tepi pantai, lalu menghidupkan enjinnya semula dan memandu ke arah tiga rakan yang lemas itu.
Hamidi menceritakan, sebaik berjaya merapati lokasi sahabat itu lemas, dia terpandang kelibat Mazli lalu terus memautnya ke dalam bot.
"Ketika saya memaut Mazli ke dalam bot, dia beberapa kali menyebut nama Halim, saya cuba mencarinya namun dia sudah hilang dari pandangan.
"Saya kecewa sebab tak dapat selamatkannya," kata Hamidi yang masih trauma dengan kejadian menimpa abang dan rakannya itu.
Turun kali kedua cari mangsa
Hamidi kemudiannya membawa Mazli ke darat sebelum turun semula ke laut memandu bot untuk mencari dua lagi mangsa yang masih hilang.
Hamidi berkata, selepas tiba kali kedua di lokasi mangsa hilang, dia gagal mengesan dua mangsa, lalu pulang semula ke darat sebelum pihak berkuasa melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilaporkan masih hilang itu.
Sementara itu, penduduk, Nasir Ismail, 48, berkata, Mazli dan dua rakannya yang masih hilang itu merupakan sahabat baik dan mereka dikatakan sering turun ke laut bersama untuk menangkap ikan.
Nasir berkata, sebaik menerima berita kejadian lemas itu, dia yang tinggal berdekatan bergegas ke pantai dan sempat memberi pertolongan kepada Mazli sebaik mangsa dibawa ke darat.
"Ketika itu dia sudah tidak bermaya. Saya beberapa kali cuba mengajarnya mengucap tapi dia tidak sedarkan diri, tak tahulah nasibnya bagaimana," kata Nasir yang bekerja sebagai pemandu trak tunda.
Ibu doa anak ditemui
Ibu Sahbudin, Mariam Mat Ali, 54, ketika menyaksikan operasi mencari anaknya itu menceritakan, anaknya sebelum itu dikatakan tidak pulang ke rumah dan dia berkemungkinan bermalam di rumah Halim untuk memudahkan dua sahabat itu turun ke laut pada awal pagi.
Mariam berkata, mangsa, anak ketujuh daripada 10 beradik itu merupakan bekas pelajar kelas pendidikan khas sekolah Menengah Kebangsaan Sura dan turut mempunyai kad OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, sebaik pulang kerja, dia terkejut apabila dimaklumkan anak lelakinya yang mesra dengan panggilan Syamil itu lemas di laut.
"Bila diberitahu Syamil lemas di laut, saya rasa tiada harapan lagi. Apa pun saya berdoa dia segera ditemui," kata Mariam yang kelihatan sugul.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat memaklumkan, gerakan mencari mangsa diteruskan.
Gerakan mencari juga turut melibatkan penduduk kampung. Sehingga jam 9 malam, keadaan Mazli dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Dungun, manakala operasi mencari dan menyelamat dua lagi yang masih hilang diteruskan.
Sabtu lalu, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, Nurul Nabilah Zubir menjadi mangsa lemas ketika sedang mandi-manda di pantai Teluk Gadung, kira-kira 500 meter dari lokasi tragedi lemas membabitkan tiga sahabat itu.
Ia kejadian kedua dalam tempoh seminggu. -SH
Abang Sahbudin, Mohd Shahrizam (kiri) memeriksa beg pinggang, dipercayai milik Halim yang ditemui di permukaan laut berhampiran lokasti dua sahabat itu dilaporkan hilang. - Foto: NIK MUHAMMAD RAFFIQ
Penduduk kampung turut membantu mencari dua mangsa yang masih hilang dengan menggunakan bot gentian kaca. - Foto: NIK MUHAMMAD RAFFIQ
TERKINI Mangsa terakhir bot gentian kaca terbalik ditemui
DUNGUN - Gerakan mencari dua nelayan yang hilang selepas bot gentian kaca yang mereka naiki terbalik di perairan Pantai Sura Hujung di sini semalam, ditamatkan setelah mayat mereka ditemui hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor berkata mayat Mohd Saifuddin Shafie, 18, ditemui terapung oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 5.25 petang ini.
Terdahulu mayat seorang lagi nelayan, Halim Hurus, 22, ditemui kira-kira 1 pagi ini setelah terdampar di persisir pantai kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.
Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang semalam, tiga nelayan terhumban ke laut setelah bot yang mereka naiki terbalik. Seorang daripada mereka, Mohd Mazli Mohamad, 30, berjaya diselamatkan penduduk tempatan yang berada di tepi pantai.
Ketika kejadian, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang daripada menangkap ikan dan ketika meluncur 300 meter menghampiri daratan, bot yang dikemudi Halim dikatakan membuat pusingan mengelak selepas terlihat ombak kecil di hadapan.
Berikutan itu, bot yang dinaiki mereka dikatakan berpusing sebelum terbalik menyebabkan ketiga-tiga mereka tercampak ke laut. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan