Sabtu, 29 Jun 2013

13 di bukit besi - Google Blog Search

13 di bukit besi - Google Blog Search


Sejarah <b>Bukit Besi</b> Bandar Perlombongan | <b>Bukit Besi</b> Blog

Posted: 27 May 2013 05:08 AM PDT

Salam satu Malaysia. Bandar Bukit Besi adalah salah satu bandar kecil yang terdapat di daerah Dungun, Terengganu, Malaysia. Bukit Besi terkenal kerana dahulunya merupakan tempat perlombongan bijih besi dan kawasan yang mempunyai hasil bumi iaitu bijih besi dengan banyaknya. Bagaimana Bukit Besi mendapat nama? Ada pendapat menyatakan, ceritanya bermula dengan penemuan oleh beberapa orang penduduk setempat yang masuk ke hutan untuk mencari rotan. Ketika dalam perjalanan mereka berhenti rehat dan ingin menikmati bekal yang dibawa.

Salah seorang daripada mereka ternampak seketul batu sederhana besar dan sesuai dijadikan tempat duduk. Beliau lalu mengambil keputusan untuk mengangkat batu tersebut. Walau bagaimanapun, niatnya terpaksa dibatalkan apabila batu tersebut ternyata sangat berat. Ada yang cuba untuk mengangkat batu tersebut namun tetap juga gagal. Maka salah seorang daripada mereka mencadangkan menamakan tempat tersebut dengan nama Bukit Besi dan ia kekal sehingga ke hari ini.


Manakala sejarah kegiatan perlombongan bijih besi di Bukit Besi bermula apabila seorang ahli kaji bumi dari Jepun,  Mr. Kuhara datang ke Cemuak, Ulu Dungun pada tahun 1916. Beliau  mendapati terdapat kandungan bijih besi dengan jumlah yang besar di kawasan tersebut. Pada permulaannya, bijih besi diangkut dengan menggunakan kereta tolak daripada Bukit Besi ke Kampung Dendang. Kemudian ia dibawa ke Dungun menggunakan bot. Syarikat Kuhara Mining Ltd yang bertanggungjawab sepenuhnya menjalankan kegiatan melombong bijih secara tidak rasmi semenjak 1927.

Ia kemudian ditukar nama kepada Nippon Mining Company (NMC). 'Mining Lease' telah dikeluarkan dengan rasmi oleh Kerajaan Terengganu kepada NMC pada 13 Januari 1929. Kawasan yang berkeluasan kira-kira 360 hektar, terdiri daripada M.L. 129, M.L. 130, M.L. 131 dan M.L. 132 adalah pecahan daripada M.L. 75, iaitu  kawasan yang telah dikurniakan oleh Sultan Terengganu kepada seorang kerabatnya, Tengku Abu Bakar Tengku Abdul Jalil.


Pada tahun 1930, laluan kereta api Dungun - Bukit Besi telah dapat disiapkan di stesen Che' Lijah. 'Stock Pile' atau Tempat Memunggah Bijih yang pertama juga adalah di Kampung Che' Lijah. Dari situ bijih-bijih besi dimuatkan ke dalam bot untuk dibawa ke Kuala Dungun. Tahun 1935, jumlah penduduk di Bukit Besi telah meningkat sehingga 6,000 orang (termasuk 3,000 pekerja). Pendapatan penduduk Bukit Besi pada masa itu sangat mewah.

Perkhidmatan awam seperti bekalan air, elektrik, kereta api juga disediakan secara percuma. Sebuah terowong yang dikenali sebagai Bukit Tebuk dapat disiapkan dalam tahun 1936. Perjalanan melalui Bukit Tebuk dapat menjimatkan masa. Oleh itu tempat memunggah bijih  dari Che Lijah telah dipindahkan ke Nibong, dan akhirnya dipindahkan pula ke Sura.
Pengeluaran bijih besi oleh NMC mencapai kemuncaknya antara 1936 - 1940. Selepas itu ia mula menurun dan berakhir pada tahun 1945, iaitu selepas Jepun menyerah kalah kepada British dalam Perang Dunia ke II. Tiada aktiviti perlombongan yang dijalankan sekitar 1946 - 1949 kerana keadaan darurat dan tiada permintaan.  Kerajaan British telah menjual harta lombong Bukit Besi kepada Eastern Mining and Metal Company (EMMCO).

EMMCO telah memulakan kegiatannya  secara besar-besaran di awal 1950an, kerana permintaan yang tinggi dari syarikat-syarikat di Jepun. Untuk mendapatkan keuntungan besar dalam masa yang singkat, EMMCO telah menggandakan pengeluaran bijih. Aktiviti pengeluaran dijalankan 24 jam sehari tanpa henti, kecuali hari Jumaat. Jentera-jentera moden juga telah digunakan dalam proses pemecahan batu-batu bijih. Dengan ini, pihak syarikat telah berjaya meningkatkan pengeluaran dan menghasilkan bijih besi yang lebih bermutu, di samping mengaut keuntungan yang berlipat ganda.

Kemuncak pengeluaran ialah antara 1960-1964 di mana jumlah pengeluaran melebihi 2,000,000 tan setahun. Pada 1 Oktober 1970, Lembaga Pengarah EMMCO telah membuat keputusan muktamad untuk menutup lombong Bukit Besi. Terdapat berbagai faktor yang menyebabkan penutupan lombong tersebut walaupun kandungan bijih besi dipercayai masih banyak lagi. Penutupan lombong bijih besi ini telah mempengaruhi ekonomi dan kehidupan penduduk-penduduk Bukit Besi dan Dungun. Ramai daripada mereka telah berhijrah ke tempat-tempat lain untuk mendapatkan pekerjaan baru.

Rujukan Anda:


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads