Jumaat, 10 Mei 2013

13 di kuala berang - Google Blog Search

13 di kuala berang - Google Blog Search


ULAS.BUKU: Sebongkah Batu <b>di Kuala Berang</b> (2011), Faisal Tehrani

Posted: 19 Mar 2013 09:25 PM PDT


ISBN-13: 978-967-5783-55-5 
Penerbit: PTS Litera Sdn Bhd

Novel ini, Sebongkah Batu di Kuala Berang (SBdKB) dibeli ketika kemeriahan pengharamannya sewaktu dulu. Walaupun berstatus 'haram', SBdKB tetap boleh dibeli dengan mudah, di sana sini. Lagi diharamkan, lagi membuka minat orang untuk bertanya dan mendapatkannya. Beli di sini.
Kenapa diharamkan? Ada yang berkata kerana unsur Syiah yang diselit secara halus, dikaburkan pada mazhab Jafari. Beberapa istilah Arab juga dimasukkan dan kita yang tiada kajian mendalam tentang bahagian  itu kuranglah faham, mana satu Syiah dan mana satu bukan. Perbincangan mengenai hal-hal ini bolehlah dibaca, antara lain, di sini, di sini.
Sesuai pula dengan rumah penerbitan PTS yang terkenal dalam mempelopori teknik surah Yusuf, FT menjadikan dialog mempunyai peranan yang sangat besar dalam menggerakkan plot novel ini. FT berjaya menghasilkan wacana berguna melalui perbualan watak-wataknya, sesi temuramah, ucapan pembukaan majlis, atau ulasan filem (bab kedua terakhir). Paling menarik, FT tidak seperti penulis lain yang cenderung berkhutbah melalui karya mereka, menyampaikan ideanya secara santai dan tidak memaksa. Bayangkan sejarah ringkas Wali Songo disampaikan ketika dua wataknya Sofea dan Syarifah sedang berbual dalam perjalanan pulang ke asrama mereka!
Jika dulu ada orang memperkenalkan Islam hadhari, maka di sini FT memperkenalkan istilah Islam tsaqafi kepada masyarakat umum. Islam tsaqafi menurut FT dalam novel ini adalah pendekatan yang digunakan oleh Wali Songo dalam usaha mereka menyampaikan dakwah di Nusantara, khususnya di daerah-daerah yang kini berada dalam negara Indonesia. Masyarakat di sana pada waktu itu meminati hiburan dan kebudayaan, dan dengan itu, Wali Songo mengubah pendekatan mereka dengan cara menyelitkan dakwah mereka melalui hiburan, seperti permainan wayang kulit.
Kini, selepas ratusan tahun hiburan wayang kulit digantikan dengan cereka bergambar atau filem. Filem menjadi senjata utama rekaan Barat dalam menyampaikan dakyah dan kebudayaan mereka. Untuk mengisi kekosongan nilai nurani Islamik yang tiada dalam filem Barat, Muslim mesti mengenengahkan filem mereka sendiri yang sarat dengan pengetahuan, dakwah Islamik yang bertujuan untuk membimbing penonton ke jalan yang benar.
Untuk buku cuma setebal 180 ms, FT memang bercita-cita tinggi untuk memandaikan masyarakatnya yang kian alpa dalam hiburan filem ciptaan Barat, menerima asakan budaya kuning hingga lupa jati diri dan lupa bagaimana Islam itu adalah cara hidup yang syumul. Beberapa bacaan yang digunakan FT disenaraikan di sini. Benar, buku ini boleh mencambahkan minat kita untuk mengkaji persoalan yang ditimbulkan dalam novel ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads