Rabu, 13 Mac 2013

di negeri terengganu - Google Blog Search

di negeri terengganu - Google Blog Search


AR RISALAH الــرســالـة: Skandal pembalakan <b>di Terengganu</b>

Posted: 07 Mar 2013 05:01 AM PST

Oleh Dr.Syed Azman Syed Ahmad 

Sejak beberapa minggu lepas, media perdana Umno/BN telah menumpukan sepenuh serangan terhadap kerajaan-kerajaan dibawah pentadbiran negeri Pakatan Rakyat terutamanya di Kelantan dan Kedah.

Pelbagai tuduhan tentang kelemahan pengurusan balak yang dikatakan berlaku telah didedahkan melalui media arus perdana hampir setiap hari.

Pada minggu lepas juga saya telah menerima  2 dokumen mengenai urusan pembalakan Skim Kilang Papan (SKP) yang di kendalikan oleh kerajaan Terengganu di bawah pentadbiran Menteri Besar Terengganu, YAB Datuk Seri Ahmad Said. Dua dokumen tersebut adalah;

1) Salinan surat kelulusan membalak SKP yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu kepada syarikat- syarikat membalak.

2) Salinan Penama dan syarikat yang terbabit di dalam urusniaga pembelian saham (Share Sale Agreement) yang dikendalikan melalui sebuah syarikat guaman yang beralamat di Shah Alam, Selangor.

Menurut dokumen tersebut, pada pertengahan 2012, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu telah mengeluarkan surat kelulusan membalak kepada 12 syarikat pembalakan di negeri Terengganu. Keputusan itu diluluskan oleh Mesyuarat Lembaga Mengambil Hasil Hutan negeri Terengganu.

Syarikat-syarikat tersebut telah ditawarkan perjanjian SKP untuk tempuh 5 tahun dan kawasan pembalakan seluas 405 hektar (1,000 ekar) setiap syarikat dengan pembayaran premium pembalakan RM3,700 sehektar kepada kerajaan Terengganu yang mana  jumlah sebenarnya adalah mengikut sukatan sebenar di atas tanah.

Selain, membayar secara rasmi premium kepada kerajaan negeri Terengganu, syarikat-syarikat pembalak tersebut juga dikehendaki membayar sejumlah RM2.5 juta setiap syarikat melalui pembelian saham dengan menggunakan khidmat sebuah syarikat guaman yang tidak ada sebarang kaitan dengan kerajaan Terengganu.

Setelah meneliti kedua-dua dokumen, modus operandi bagaimana pengurusan balak SKP di Terengganu di jalankan adalah seperti berikut;

Syarikat-syarikat yang ditawarkan kawasan pembalakan dikehendaki memeterai satu perjanjian pembelian saham (Share Sale Agreement) dengan seorang penama/proksi untuk membeli saham sebuah syarikat yan telah disediakan.

Syarikat yang dipunyai penama/proksi yang dijual ini selalunya hanyalah berharga RM2 sahaja.

Syarikat ini dijual pada harga yang cukup tinggi dan tidak berpadanan dengan aset dan kedudukan syarikat tersebut yang tidak mempunyai sebarang aktiviti perniagaan.

Secara kebetulan, syarikat-syarikat yang terpaksa membeli saham syarikat dormant pada harga yang tinggi ini dianugerahkan hak membalak di kawasan-kawasan yang ditentukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Wang dari jualan tersebut disyaki disalurkan kembali kepada orang-orang tertentu yang mempunyai pengaruh untuk menentukan hak membalak.

Namun kini timbul tanda-tanya banyak pihak apabila syarikat-syarikat terbabit di dalam urusniaga pembelian saham (Share Sale Agreement) seperti mana di atas bukan sahaja dikehendaki membayar 'premium resmi kerajaan Terengganu', tetapi mereka juga  terpaksa membayar RM2.5 juta untuk membeli syarikat dormant, yang sebahagiannya hanya mempunyai saham berbayar RM2 sahaja.

Persoalannya, apakah pembayaran RM2.5 juta setiap syarikat ini juga mempunyai kaitan dengan 'premium pembalakan' kepada kerajaan negeri Terengganu?

Atau apakah ini merupakan 'premium pembalakan kedua' yang terpaksa dibayar oleh syarikat-syarikat pembalakan kepada individu-individu tertentu bagi mendapat kelulusan kawasan pembalakan SKP ini?

Bayangkanlah, apabila sejumlah RM2.5 juta wang 'under-table' di kutip dari setiap syarikat oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Dalam skim SPK ini sahaja, hasil khazanah kekayaan negeri Terengganu sejumlah RM30 juta boleh 'hilang' begitu sahaja di tangan mereka-mereka yang rasuah dan tidak beramanah.

Kenapakah ini boleh berlaku dalam pentadbiran Menteri Besar Terengganu yang berslogankan 'Merakyatkan Pentadbiran'?

Inilah nasib malang negeri Terengganu 'Darul Iman' ini. Negerinya amat kaya dan makmur. Akibat salah-urus dan penyelewengan ini, rakyatnya terpaksa menanggung segala bebanan.

Rata-rata rakyat bawahan terpaksa hidup 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' dan masih terus terperangkap dalam kemelut kemiskinan yang amat menyanyatkan hati.

Namun inilah realiti negeri Terengganu di bawah pentadbiran Menteri Besar Dato Seri Ahmad Said.

Walaupun telah berbelanja lebih RM 10 bilion sepanjang 4 tahun pentadbirannya, hampir setiap bulan akan ada sahaja isu-isu yang mengejutkan banyak pihak; dari kerugian ratusan juta stadiumnya runtuh, kepada kegagalan ratusan juta 'Taman Ilmu' di Besut sehingga membawa kepada persoalan tidak beramanah dalam memguruskan hasil dan khazanah negeri.

Ya, siapakah yang akan menjadi pembela kepada  rakyat Terengganu yang amat mengharapkan pembelaan dan keadilan ini? Mungkinkah 'kuasa rakyat' akan menjadi penentu dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang ini?

Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS Pusat. Beliau boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk Twitter: syedazman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads