Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) memperkenal MRQ 76 tahun ini selepas mengambil masa lebih 10 tahun untuk membuat kajian bagi menghasilkan varieti itu setelah varieti MRQ 50 dan MRQ 74 diperkenalkan, masing-masing pada 1999 dan 2005.
Beras wangi varieti baharu itu menghasilkan kualiti nasi yang wangi seperti pandan, lembut, sedikit melekit dan enak dimakan iaitu ciri-ciri mirip kepada varieti padi wangi yang diimport dari Thailand.
Malah penghasilan varieti baharu itu selaras saranan kerajaan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Projek Permulaan Ekonomi (EPP)9 untuk memajukan lagi pembangunan dan pengeluaran padi wangi di luar jelapang padi.
Asha'ari berkata sebelum ini kerajaan negeri telahpun memberikan tumpuan kepada projek padi berjelapang di daerah Setiu namun kawasan tersebut membuat penanaman padi biasa.
Sehubungan itu, beliau berkata, sebuah syarikat tempatan menunjukkan minat untuk mengusahakan tanaman padi wangi secara besar-besaran.
"Sebagai percubaan, tanaman padi wangi ini telahpun dibuat di kawasan Besut bagi menentukan kesesuaiannya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Asha'ari berkata kebanyakan pelabur asing yang datang ke negeri ini rata-rata berminat untuk melabur dalam sektor perikanan, khususnya ternakan udang putih.
Dalam hal ini, beliau berkata kerajaan negeri meluluskan sebuah kawasan seluas lebih 1,000 hektar di Mercang, Marang kepada sebuah syarikat usahasama Ocean Aquatic Marine (M) Sdn Bhd dari Malaysia dan Zhanjiang Guolian Aquatic Products Co Ltd dari China dengan pelaburan hampir RM2 bilion untuk tujuan tersebut. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan