Jumaat, 22 Jun 2012

13 di kuala besut - Google Blog Search

13 di kuala besut - Google Blog Search


Destinasi Melancong: Tok Bali, Kelantan

Posted: 13 Jun 2012 05:00 AM PDT

Tok Bali di Pasir Puteh satu-satunya kawasan landskap pinggir laut di Kelantan mempunyai kuala sungai yang unik berbentuk huruf 'S'.

Di kuala sungai itu juga terbentang jambatan lengkung kira-kira 300 meter panjang dengan ketinggian lebih 100 meter bagi membolehkan bot perikanan laut dalam melaluinya selain mempunyai persisir pantai sesuai untuk lokasi perkelahan seisi keluarga.

Terletak di laluan antara Kelantan dan Terengganu melalui jalan pantai dari Bachok-Tok Bali-Kuala Besut di Terengganu, pengunjung hanya mengambil masa kira-kira 40 minit dari pusat bandar Kota Bharu dan 20 minit dari bandar Jertih, Terengganu.

Dua replika bot nelayan sebagai mercu tanda dibina berhampiran jambatan iaitu sebuah di tapak lokasi di tengah-tengah jalan simpang dari arah Kota Bharu-Pasir Puteh dan sebuah lagi di kepala jambatan di tepi kanan jalan dari arah Terengganu.

Tok Bali, Kelantan

Keunikan Tok Bali bukan saja destinasi pelancongan terindah di Kelantan dan tempat transit pelancong ke Pulau Perhentian dan Redang di Terengganu, tetapi terkenal sebagai pelabuhan perikanan 'ikan segar murah' di pantai timur.

Kewujudan rumah kampung di celah-celah pepohon kelapa dan deretan rumah teres di Tok Bali dengan sebahagian nelayan masih menggunakan bot kecil menunjukkan ia kekal perkampungan tradisional selain bercirikan kemodenan.

Tok Bali, Kelantan

Pengunjung pasti teruja ketika di tepian pantai dengan pasir yang putih bersih sambil melihat nelayan pantai memunggah pelbagai spesies ikan dari bot kecil mereka.

Panorama itu juga boleh dilihat di jeti pelabuhan Tok Bali dengan kesibukan bot yang keluar masuk selain tawar- menawar ikan segar.

Kawasan sekitar yang luas dan saujana mata memandang membolehkan pengunjung berehat di tepian pantai atau benteng tebing sungai melihat panorama indah ciptaan Tuhan.

Deretan pondok atau lebih popular disebut wakaf banyak dibina di sepanjang tebing menghala ke arah sungai selain beberapa pondok tinggi untuk memudahkan pengunjung melihat pemandangan lebih jauh di situ.

Sekiranya mahu menginap atau tinggal lebih lama, pengunjung boleh membuat pilihan sama ada mahu menyewa chalet atau homestay.

Bagi kaki pancing, inilah peluang mengail pelbagai spesies ikan kerana Tok Bali dianggap sebagai lubuk ikan.

Tok Bali juga dilengkapi dua pasar mini yang menjual pelbagai keperluan untuk orang ramai.

Tidak lengkap rasanya kunjungan ke Tok Bali jika tidak menikmati makanan berasaskan ikan terutama satar atau keropok lekor.

Jika datang pada masanya, anda boleh menikmati tembikai madu, kampung dan timun betik yang dijual murah di sepanjang jalan.

Oleh D J Dolasoh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads