Isnin, 6 Februari 2012

13 di pulau perhentian - Google Blog Search

13 di pulau perhentian - Google Blog Search


Negara kaya pantai cantik | n9kini.net

Posted: 31 Jan 2012 02:17 AM PST

MEMPESONA…warna air lautnya yang biru kehijauan membuatkan Pulau Perhentian cukup terkenal.

MENIKMATI keenakan air kelapa muda saat bersantai di tepian pantai dengan angin sepoi-sepoi bahasa cukup menyenangkan.

Ditambah dengan panorama indah air laut yang biru kehijauan dan pasir pantai yang memutih cukup mengasyikkan.

Ia sekali gus bagaikan terapi minda yang penuh dengan pelbagai permasalahan dan juga kekangan kerja yang tidak pernah habis walaupun tahun 2012 baru saja bermula.

Dengan pelbagai masalah, kerja dan keserabutan kepala dalam apa juga hal sepanjang tahun lalu, memulakan tahun baru dengan percutian yang mengasyikkan dan santai adalah langkah yang bijak.

Justeru, percutian di pulau yang indah adalah destinasi yang menepati tujuan untuk bersantai.

Negara kita cukup terkenal dengan pulau yang cukup indah dan eksotik. Sebut saja apa yang diinginkan saat bercuti.

Pantai yang putih bersih, air laut biru kehijauan yang tenang, keindahan dasar laut yang memukau serta pemandangan yang mempesona, semuanya ada di pulau di negara kita.

Pulau Sipadan

Pulau Sipadan terkenal dengan keindahan lautnya yang menjadi faktor penarik melambai ramai pelancong ke sini.

Pulau Sipadan adalah sebuah pulau lautan berhampiran Semporna, sebuah bandar di pantai timur Sabah. Ia satu-satunya pulau di Malaysia daripada batu kapur dengan ketinggian 600 meter dari paras air.

Ia dilabelkan antara lima lokasi menyelam terbaik di dunia yang menjanjikan keunikan dasar laut memukau dan sukar digambarkan dengan kata-kata.

Sipadan tidak hanya dikenali destinasi menyelam tetapi diiktiraf kawasan santuari burung seawal 1933.

Aktiviti selam skuba nadi kawasan perairan ini dan Sipadan adalah syurga hidupan laut.

Pemandangan dasar laut Sipadan yang penuh dengan kehidupan marin seperti barracuda, penyu, ikan serta birai, batu rungkupan, gua besar dan cerombong yang menegak di bawah air yang dibentuk pelbagai karang menanti untuk disaksikan penyelam yang ingin menikmati tempat selam yang menyeronokkan dan tercantik di dunia.

Pulau Kapas

Terletak di daerah Marang iaitu lebih kurang 18 kilometer dari Kuala Terengganu dan enam kilometer dari Jeti Marang, Pulau Kapas antara pulau peranginan paling dekat dengan tanah besar Terengganu.

Namanya berasal daripada pokok kapas. Pulau Kapas menjadi antara pilihan 'backpackers' dari Eropah dan pelancong tempatan.

Dipenuhi pasir pantai putih dan air laut yang jernih, Pulau Kapas masih mengekalkan keindahan samudera dengan hidupan laut yang cantik dan mempesona.

Suasana pulau ini pula sangat santai, sekali gus memberikan keselesaan kepada pelawat untuk berehat.

Kedudukannya yang agak terpencil, jauh dari kesibukan tanah besar juga menjadikannya pilihan mereka yang inginkan suasana tenang.

Tidak ketinggalan bagi peminat hidupan laut, Pulau Kapas adalah tempat yang boleh diterokai dasar lautnya dengan melakukan aktiviti seperti selam skuba.

Pelbagai jenis batu karang, ikan, penyu dan hidupan laut lain yang menarik menjadikannya destinasi wajib bagi penyelam skuba.

Pulau Redang, Terengganu

Berbekalkan keindahan lautan dan kedamaian yang dirasai, Pulau Redang sememangnya lokasi percutian pantai yang mempesonakan.

Pulau Redang antara sembilan pulau yang membentuk Taman Laut Pulau Redang di Terengganu.

Pulau Redang menjadi pilihan kerana kecantikan airnya yang berwarna biru kehijauan serta pasirnya yang putih bersih terutama di kawasan Pantai Panjang (Long Beach).

Selain itu, ia juga antara pulau di Terengganu yang menjadi penempatan baling banyak penyu mendarat.

Perairan dekat pantainya menjadi kawasan kedua diwartakan sebagai Taman Laut selepas Pulau Payar di Kedah.

Pulau ini juga antara tapak selam paling popular terutama di kawasan karamnya kapal Perang Dunia Kedua. Di sini anda sudah boleh melihat dengan jelas bermacam-macam jenis ikan dan batu karang.

Selain sebagai pusat percutian yang menawarkan pelbagai keunikan dan menyenangkan minda serta fikiran, Pulau Redang juga adalah pusat pembelajaran yang terbaik terutama kanak-kanak yang cukup meminati hidupan dasar laut.

Di sini, terumbu karang yang menjadi habitat kepada lebih 55 spesies karangan laut dan lebih 100 spesies ikan dapat dilihat dengan jelas.

Pulau Perhentian

Pulau Perhentian antara pulau yang popular di kalangan pelancong tempatan dan luar negara. Terletak 21 kilometer dari pinggir pantai Terengganu, pulau ini terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil.

Perairan di sekitar pulau ini ditaburi terumbu karang serta menawarkan pemandangan bawah laut yang hebat dan menyeronokkan. Pulau ini juga sering menjadi tumpuan penyu hijau dan Hawksbill untuk bertelur.

Selain melihat keindahan dasar laut Pulau Perhentian yang cantik itu, pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lain antaranya meluncur papan air, belayar, berkenu, memancing air laut dalam, snorkel atau mungkin hanya bersantai di tepi pantai saat matahari terbenam.

Apa yang menariknya, dengan perkampungan yang kecil dan resort yang lebih berkonsep ringkas, anda pasti akan berasa lebih tenang dan selamat.

Bagaimanapun, pulau perhentian hanya boleh dikunjungi selama enam bulan setahun manakala bulan lain ditutup ketika Monsun Timur Laut.

Pulau Pangkor

Berkeluasan 2,200 hektar dengan jumlah penduduknya kira-kira 25,000 orang, Pulau Pangkor juga antara daya penarik pelancong dari dalam dan luar negara.
Berbeza dengan pulau lain, Pulau Pangkor bukan saja menjanjikan keindahan dan keunikan dasar laut yang sememangnya tidak dapat dinafikan lagi tetapi ia juga kaya dengan budaya serta aktiviti masyarakatnya.

Di sini, aktiviti yang boleh dilakukan termasuk jet ski, kayak, bola tampar, snorkel dan banyak lagi. Bagi yang sukakan cabaran, berbasikal mengeliling pulau juga mungkin salah satu aktiviti yang menyeronokkan.

Menarik mengenai Pulau Pangkor, selain menawarkan pelbagai aktiviti laut, pengunjung juga boleh mengembara di seluruh pulau kerana Pulau Pangkor juga adalah pulau yang mempunyai banyak perkampungan.

Salah satu perkampungan yang pasti membuatkan anda teruja ialah Perkampungan Nelayan Acheh. Anda dapat melihat nelayan menurunkan hasil tangkapan sekitar jam 11 pagi.

Selain itu, pengunjung juga dapat melihat proses penghasilan makanan laut segar yang diusahakan secara komersial di Kampung Sungai Pinang Kecil, Kampung Teluk Gedung dan Teluk Dalam.

Pelbagai hasil laut bermutu tinggi boleh diperoleh di situ, antaranya ikan bilis, sotong kering, udang, ikan dan makanan ringan yang turut diproses daripada hasil laut dengan harga berpatutan.

Pulau lain yang boleh dikunjungi

  • Pulau Tioman, Pahang
  • Pulau Mataking, Sabah
  • Pulau Kapalai, Sabah
  • Pulau Langkawi
  • Pulau Sibu, Johor
  • Pulau Rawa, Johor
  • Pulau Pemanggil, Johor

Sumber: myMetro

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads