Jumaat, 10 Februari 2012

13 di bukit besi - Google Blog Search

13 di bukit besi - Google Blog Search


CeBiSaN KiSaH DuNiAKu...Ck: Jejak Sejarah - <b>Bukit Besi</b>

Posted: 27 Dec 2011 02:15 PM PST

Bismillahirrahmanirrahim...
"Terletak kira-kira 33km daripada Bandar Dungun dan 77km daripada Kuala Terengganu di dalam Daerah Dungun. Bukit Besi pernah menjadi salah satu tempat yang menjadi sebutan ramai ketika dahulu yang mana ianya merupakan pusat pengeluaran bijih besi yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara sekitar tahun 1916 sebelum ditutup sekitar tahun 1970. Bermula dengan penemuan bijih besi oleh seorang ahli kajibumi Jepun bernama Kuhara kini Bukit Besi hanya meninggalkan sisa-sisa sejarah untuk generasi sekarang."

Sumber atau cerita penuh di laman Visit Terengganu.
Sebelum ini, saya pernah mendengar cerita seorang sepupu tentang sebuah kawasan rekreasi yang terletak di Bukit Besi. Lalu saya menyimpan hasrat untuk ke sana dan Alhamdulillah berjaya merealisasikan hasrat tersebut semasa pulang ke kampung untuk cuti Krismas. Lebih tepat lagi kami bertolak ke sana selepas bersarapan di Hotel UiTM Dungun.

Perjalanan kami ke sana hanya memakan masa kira-kira 45 minit sahaja daripada Teratak Bakarians. Ternyata tidak ramai yang mengetahui tentang tempat ini kerana hanya kelihatan beberapa buah kenderaan sahaja yang berada di situ pada cuti umum. Mujur juga ada gerai yang menjual keropok goreng dan pisang goreng untuk 'diborong' oleh kami. Lebih menarik tempat ini sebenarnya terletak bersebelahan dengan Kelab Golf Bukit Besi yang tidak pernah saya ketahui kewujudannya dan UiTM Bukit Besi yang ditangguhkan pembinaannya. Sungguh, terbit sedikit rasa malu kerana banyak yang masih saya kurang arif tentang negeri sendiri. Maka antara azam pada masa hadapan adalah untuk meneroka negeri sendiri dengan lebih kerap.

Mulanya, saya sangka tiada yang menarik tentang tempat tersebut namun apabila ditanya kepada peniaga di situ, ternyata ada kawasan air terjun yang sangat indah dan menarik untuk dinikmati. Tanpa berlengah, anak-anak kecil bertukar pakaian untuk mandi-manda. Saya sendiri pun teringin untuk mandi tetapi apabila mengenangkan yang pakaian ganti tidak dibawa, hasrat itu terpaksa saya pendamkan sahaja. Apa tidaknya, perancangan awal adalah untuk menjenguk tempat itu sahaja kerana teringatkan cerita sepupu saya dan tidak mempunyai perancangan untuk mandi. Namun saya sudah mempunyai perancangan pada masa akan datang untuk datang lagi ke situ bersama keluarga dengan aktiviti yang pelbagai.

Kemudahan rekreasi aktiviti air juga turut disediakan di situ iaitu kayak, paddle boat dan bot laju tetapi malangnya ia tidak diuruskan dengan sebaik mungkin. Pertama, tiada kemudahan kaunter disediakan di situ menyebabkan kami tidak tahu ke mana hendak dirujuk untuk menggunakan kemudahan tersebut.

Kedua, petugas yang ditempatkan di situ tidak memainkan peranan sewajarnya apabila hanya melihat kami terkial-kial mencari petugas di situ sehingga terpaksa membuat panggilan sendiri kepada nombor telefon yang tertera di situ. Kami dimaklumkan sepatutnya ada petugas di situ tetapi sebaliknya berlaku.

Ketiga, kemudahan jaket keselamatan tidak disediakan secukupnya malah lebih tepat lagi, hanya 4 unit jaket yang sudah lusuh tergantung di satu sudut jeti. Petugas di situ pula tidak mengutamakan pemakaiannya apabila membenarkan ahli keluarga saya menaiki paddle boat tanpa memakai jaket keselamatan walhal peraturan tertera di papan notis mewajibkan pemakaiannya pada setiap masa sewaktu menggunakan kemudahan rekreasi air.

Seterusnya, kadar yang dikenakan kepada kami juga berbeza dan jauh lebih tinggi daripada kadar yang dipaparkan iaitu RM4 untuk kayak dan RM5 untuk paddle boat sedangkan harga yang dipaparkan adalah RM3 untuk kayak dan RM4.50 untuk paddle boat. Malas untuk bertekak, kami terus menjelaskan kadar yang dinyatakan oleh petugas tersebut walaupun jauh di sudut hati, amat tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diterima.

Di samping itu juga, keadaan jeti seolah-olah berada dalam keadaan yang tidak terurus dan bakal mengundang bahaya kepada pengunjung jika terus dibiarkan dalam keadaan begitu. Saya turut merakamkan gambar-gambar berkaitan tetapi ia masih ada dalam simpanan adik saya. InsyaAllah akan saya kongsikan sebaik menerimanya daripada adik saya.

Kami tinggalkan tempat itu sekitar jam 2 petang dan kali ini melalui jalan pulang yang berbeza. Dalam perjalanan, kami singgah sebentar di Masjid Sultan Mahmud yang terletak di bandar Al-Muktafi Billah Shah. Hati saya tergerak untuk singgah apabila melihat keindahan masjid yang tersergam indah daripada jauh di samping memenuhi kebiasaan saya untuk meninggalkan 'jejak' di masjid yang pertama kali dijejaki.

Yang pasti, tempat itu akan saya kunjungi lagi selepas ini bersama keluarga dan senarai aktiviti yang sudah ligat bermain serta tersenarai di dalam kepala saya, insyaAllah :) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads