13 di setiu - Google Blog Search |
Gemersik Bayu Pantai: Besut, <b>Setiu</b> ibarat Sabah, Sarawak? Posted: 26 May 2013 03:27 AM PDT Oleh: Mat Zain Mat Isa Harakah 17 Mei lalu memetik kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, YB Ustaz Satiful Bahari Mamat bahawa pihaknya akan memberi tumpuan lebih serta mensasarkan kawasan Besut dan Setiu untuk dimenangi pada PRU-14 nanti. Menurut Adun Paka itu, tumpuan lebih bagi kedua-dua kawasan berkenaan kini dijadikan keutamaan bagi PAS Terengganu sebagai persiapan mengambil alih negeri pada pilihan raya akan datang. Dua kawasan parlimen paling utara negeri itu kini menjadi bahan bualan dan sindiran paling laris di kalangan pengulas dan penganalisis politik. Boleh dikatakan hampir semua medan sembang politik, rasmi atau tidak rasmi, seakan tidak melepaskan peluang untuk mempersoalkan, "kenapa Besut dan Setiu langsung tidak menyumbang sebarang kerusi (untuk PAS Terengganu)?" Selalunya juga pertanyaan itu akan disusuli dengan andaian penuh harapan, "kalau lah setiap kawasan tu sumbang satu kerusi pun, kita (PAS) dah boleh memerintah (Terengganu)." Mereka merujuk kepada kejayaan PAS nyaris merampas Terengganu pada PRU lalu. Parti itu menang di 15 daripada 32 kerusi dan memerlukan hanya dua kerusi lagi untuk mendapat majoriti mudah. Itulah gambaran penyesalan di forum-forum sembang, terutama di kedai kopi, anjung surau mahu pun di tempat kerja. Sedangkan pada asalnya (sebelum tiba pilihan raya) harapan sebegitu tinggi terhadap sumbangan kerusi dari dua kawsan itu (khususnya Besut) tidak pun menjadi bahan utama bual bicara umum. Sebab itu penulis melihat persoalan ini wajar diperhalusi semula. Sekurang-kurangnya para pemimpin dan pendukung PAS Terengganu sendiri, juga penganalisis dan pemerhati politik yang ghairah mengulas keputusan PRU-13 di negeri itu boleh sedikit berlaku adil dan realistik dengan faktor-faktornya. Untuk itu, di sini penulis lontarkan beberapa pemerhatian yang bagi penulis menjadi antara faktor mendorong terhasilnya keputusan pilihan raya itu seadanya. Pertama, maaf cakap, kesungguhan PAS Terengganu sendiri untuk merampas kerajaan tidaklah begitu meyakinkan. Penulis teringat dalam satu perbincangan tertutup, seorang pemimpin kanan PAS negeri menyatakan pihaknya tidak berhasrat untuk memerintah Terengganu tanpa menawan Putrajaya. Meminjam perkataannya, "tak leh buat apa jugak kalau tak perintah Pusat!". Pendirian itu rupanya bukan bersifat peribadi. Ia diulang pemimpin lebih atas daripadanya (di peringkat negeri) dalam satu majlis di Besut. Lebih kurang katanya, "kita (PAS) akan hadapi banyak kesukaran kalau pun kita menang Terengganu, banyak benda tak leh nak buat, kalau kita menang negeri saja, tak menang Pusat." Ertinya, kepimpinan tertinggi PAS Terengganu seakan seia-sekata meletakkan harapan menawan Terengganu secara bersyarat, yakni mestilah juga di masa sama menawan kerajaan Pusat. Itu bukanlah pendirian atau penegasan yang baik, lebih-lebih lagi apabila ia diucapkan secara terbuka. Bagi penulis, ia tidak membantu melonjakkan semangat gerakerja jentera bawahan. Kedua, dalam setahun-dua terawal selepas PRU 2008 lalu, senarai kerusi-kerusi sasar tidak begitu jelas melibatkan mana-mana kerusi di kawasan Besut. Hal itu mungkin mengambilkira majoriti kekalahan pada pilihan raya tersebut, di mana Dun terbaik di Besut, iaitu Hulu Besut (dengan majoriti kekalahan lebih 2,500), hanya berada di tangga ke-21. Sedangkan untuk memerintah Terengganu, jumlah kerusi yang disasarkan hanyalah 17. Ertinya, Besut tidak diletakkan harapan tinggi untuk menyumbang kerusi membantu kemenangan Terengganu. Jangan dikatakan untuk sasaran 17 kerusi, untuk senarai lebih panjang melibatkan 20 kerusi pun masih belum termasuk mana-mana kerusi dari Besut. Kes ini berbeza dengan Setiu, di mana dua kerusi dari kawasan berkenaan, iaitu Jabi dan Batu Rakit memang tersenarai sebagai kerusi sasaran "mesti menang" sedari awal lagi. Namun, menurut kata beberapa pihak, senarai itu kemudiannya berubah. Kononnya, ada dua kerusi di Besut, iaitu Jertih dan Kota Putera dimasukkan ke dalam senarai sasar. Kita tidak pasti sejauh mana dakwaan itu benar. Apa yang pasti, tidak ada pula kedengaran cakap-cakap mengiyakan dakwaan sedemikian, khususnya di kalangan pendukung PAS di Besut sendiri. Lebih-lebih lagi dalam konteks Dun Kota Putera, agak tidak munasabah jika dikatakan ia turut termasuk dalam Dun sasar PAS negeri, memandangkan ia pada sepanjang masa diletakkan sebagai Dun paling tidak berpotensi untuk dimenangi. Dun itu malah sentiasa dijadikan keutamaan untuk difaraidkan kepada parti rakan, Keadilan. Hanya di saat-saat akhir menjelang PRU lalu barulah 'angin' sokongan dari pihak atasan, termasuk PAS Kawasan Besut sendiri terhadap tuntutan pendukung PAS di Dun berkenaan terzahir. Sebab itu 'perebutan' hak ke atas kerusi itu terseret hingga ke tahap pertarungan tiga penjuru. Ketegasan pimpinan parti mempertahankan hak PAS bertanding di situ tidak terserlah sedari awal. Sebab itu bagi penulis agak tidak logik bila ada pihak mengatakan kononnya PAS negeri juga menyenaraikan Kota Putera sebagai Dun sasar untuk dimenangi. Ketiga, apabila PAS gagal di mana-mana kerusi, kena tengok juga kekuatan parti lawan di situ. Pernah disebut orang dan diakui banyak pihak bahawa di antara Umno paling ganas dan paling jahat di seluruh negara ialah Umno Terengganu. Sedangkan pendukung Umno Terengganu paling "kepala pengat" ialah dari Besut. Sedarilah hakikat bahawa Ketua Umno Bahagian Besut adalah Pengarah Strategik Umno Malaysia. Beliau adalah kepala perancang segala macam strategi BN mengalahkan PAS/PR di seluruh negara. Maka mana mungkin dia membiarkan partinya sebegitu mudah dikalahkan oleh PAS di daerahnya sendiri? Kini, orang galak bercakap bahawa Besut dan Setiu paling payah menerima angin perubahan. Dua kawasan Parlimen ini dianggap 'deposit tetap' BN Terengganu. Lalu ada yang secara berseloroh (sinis... sebenarnya!) mengumpamakan dua daerah itu ibarat Sabah dan Sarawak buat BN dalam konteks nasional (deposit tetap kemenangan BN). Namun bagi kita, tidak ada yang mustahil dalam politik. Insya Allah tanggapan itu bakal berubah dalam siri pilihan raya akan datang. Bahkan, Sabah dan Sarawak sendiri pun sudah menunjukkan perubahan ke arah lebih positif buat pakatan pembangkang. Maka tidak mustahil Besut dan Setiu juga mampu mengorak langkah lebih bagus buat PAS. Paling tidak pun kita patut ucapkan tahniah kepada PAS Kawasan Besut. Mereka telah menunjukkan pencapaian sangat positif di Jertih dan Kota Putera baru-baru ini. Di kedua-dua kerusi itu PAS berjaya mengurangkan majoriti kemenangan BN sekitar 2,000 undi. Bayangkan, andaikata "lonjakan" serupa berlaku di Dun Kuala Berang, Batu Rakit dan Jabi (tiga Dun yang difahamkan termasuk senarai "perlu menang"), maka pada adatnya sudah tentu Terengganu menjadi milik PAS dan Pakatan Rakyat. Di kala itu, barangkali orang pun tidak akan segalak kini mempersoalkan kenapa Besut tidak menyumbang walau pun satu kerusi. Betul tak? (Artikel ini adalah versi asal (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah, Bil:1847 17-20 Rejab 1434/27-30 Mei 2013 di ruangan F8 KOLUMNIS dengan tajuk sama) |
You are subscribed to email updates from di setiu - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan