Rabu, 22 Mei 2013

13 di kuala berang - Google Blog Search

13 di kuala berang - Google Blog Search


HANNA RAZ: Hari-hari <b>di Kuala Berang</b> 10

Posted: 26 Apr 2013 12:33 AM PDT

Khamis, 12 April 2012 (hari terakhir praktikum) : Bangun tidur, solat dan balik rumah sewa. Mandi-manda, bertolak ke sekolah.

Hati terkinja-kinja mahu segera pulang ke Batu Rakit. Tapi .. jasad terkira-kira mahu menanti. Malam ini, kami diminta menyertai majlis solat hajat, sesi "rawatan" dan sesi "membasuh rumah berkembar tercinta" itu.

"Tunggu la dulu, pelepas dulu semua benda, baru balik." Kata-kata Kak Wa terngiang-ngiang semula di cuping telinga. Padahal ayat itu aku dengar malam tadi, masa mereka tengah bincang pasal majlis tu.

"Haa .. pelepas dulu. Nanti kang ada yang mengikut awak balik sana, kan susah." Seperti biasa, lidah tak bertulang Kak Yus berjaya membuatkan mulut aku mencebik. Kepakaran yang mungkin dia sendiri tidak sedari!

Suka tak suka, aku hantarkan juga pesanan pada Suraya. Maklumkan situasi tersepit diri ini pada dia, sebab aku akan kembali ke Batu Rakit bersamanya.

Pagi esok ada program memancing..

Oh, elok sangatlah! Kawan-kawanku yang 'bermastautin' di SK Cheting akan menutup kenangan di Kuala Berang ini dengan suatu aktiviti yang sangat tak biasa dilakukan. Bermakna! Dan aku?! Terlebih sangat bermakna 'aktiviti' yang bakal berlangsung malam nanti!

Geng lelaki turut dijemput. Hanya beberapa orang yang bakal menunjukkan muka nanti.

Maghrib sudah melabuhkan tirainya. Aku dan Pah di sini tika ini .. tertunggu-tunggu saat kemuncak .. bersama Da dan buah hatinya, Along, dan Angah serta Ebi (ke Along je yang ada ek? Lupa suda..). Kami dikunci di rumah Kak Wa ini. Secara tak langsung turut membawa makna, "JAGA, AWASI DAN TANGANI DA!!"

Fuhh ..! Mata terasa perit, seperit hati yang tidak sudah-sudah disakiti. Peristiwa yang sama sentiasa berulang-ulang, tapi kenapa sakit itu tetap menyengat??

Lihatlah .. kami ditinggalkan. Diamanatkan menjaga pesakit. Bukankah mereka semua tahu bahawa kami juga sedang 'sakit'??

Da meragam. Kami membatu. Tidak ada sebarang mood mahupun modal untuk menghidupkan suasana bungkam. Setiap dentingan terasa bagai menyamai satu pusingan penuh sebuah jam. Tak suka menunggu macam ni, tau. Rasa macam tunggu giliran untuk masuk interview aje.

Dua buah kereta berhenti berderet di depan rumah. Mata tertoleh ke luar. Encik polis dengan suami Kak Wa. Masanya dah tiba!

Aku bangkit daripada bersandar di lantai dinding. Kaki dihayun ke muka pintu. Sedang jantung berdetak memukul dada. Aku disuruh meloloskan diri ke dalam kereta encik polis. Da dan yang lain-lain dalam kereta suami Kak Wa. Diskriminasi? Aku kira itu demokrasi .. terpimpin barangkali! Entah la ..

Da dan yang lain-lain terus masuk ke rumah sebelah. Untuk sesi "rawatan", kalau tak silap. Aku mengajak Pah ke rumah sewa kami.

"Makan dulu." Selamba aku menuturkan.

Pah teragak-agak. Elok pulak masa tu suara memekik sudah memecah keheningan malam yang sudah merangkak ke jam 10.

"Makanlah dulu. Nanti kalau masuk sana, lambat pulak sudahnya." Masih tak berputus asa menghasut. Atau dalam erti kata lain, elakkan diri, dan .. isi perut yang dari tadi turut terpekik minta diisi.

Aku kira hasutanku berjaya sebab Pah turut mengambil pinggan. Kami mula mencedok nasi. Beberapa pasang mata jemaah yang bercacak memerhati dari depan rumah sebelah tidak aku hiraukan. Korang mesti tak tahu betapa terderanya kami, kan?? Jadi, tengok dan diam saja!

Suapanku tak putus-putus, konon berselera sangat. Padahal deria rasa dan deria bau seakan tak berfungsi kala ini. Tengok saja kuantiti nasi yang aku ambil. Teramatlah menyalahi kebiasaan, tau!

Selesai makan, cepat-cepat basuh tangan dan teguk air. Dah siap semua sekali barulah kami melangkah ke rumah sebelah. Dan orang-orang yang berbaju Melayu serta berbaju kurung yang memenuhi ruang membukakan kami jalan. Waahh .. terasa macam diraikan pulak! Siap semua mata menyoroti langkah kami lagi. Kuikuikui ..

Kaki baru memijak lantai rumah, semua mata memandang kami.

"Haa .. baguslah! Mari, cikgu pulak!" Ustaz Wulan menyapa dengan sepotong ayat yang buat aku membulatkan mata dengan rengkung memanjang.

Langkah kaki terbata-bata. Malas melawan, lagi-lagi dengan semua mata memerhati, aku akur saja. Duduk depan ustaz. Sesi rawatan bermula.

"Ada rasa apa-apa?" Dia bertanya.

"Sakit." Balasku sepatah.

"Sakit sebab kena kuku." Sambungku selamba.

Seluruh isi rumah tergelak. Laa .. dah memang betul pun!

Ustaz pun berlepas tangan tiup-meniup aku.

Pah pula disuruh duduk depannya. Langkah yang dilakukan masa merawat aku diulang. Aku tengok dari tepi. Terasa lucu bila ingat kena tiup macam tu. Tapi, kalau terpaksa nak buat macam mana.

"Malam ni tidur dengan akak." Jiran Kak Wa berbisik di telingaku.

Aku senyum aje. Main-main, ye kak?

Perhatianku teralih daripada wanita berjubah yang bermata kuyu itu. Ustaz Wulan dan seorang kawannya memulakan sesi "membasuh" serta "memagar". Bahan yang digunakan ialah air dan lada hitam. Setiap ruang dinding tak terlepas daripada percikan air dan bahan tersebut. Dan di luar rumah .. aku dapat tahu bahawa Ustaz Wulan memanjat dinding pemisah antara kedua-dua buah rumah ini kerana mahu habiskan sesi "memagar" sehingga kembali ke titik permulaan. Waah ..! Macam mana tu? Dengan kain pelikat, tu ..

Di luar .. seorang lelaki bertongkat menarik perhatianku. Ada dua tiga orang sedang bercakap-cakap dengannya. Aku tertarik untuk menyertai.

"Kayu ni tak ada kuasa. Tapi .. TUHAN Yang Maha Berkuasa menggerakkan ia untuk menunjuk ke mana 'benda' itu pergi."

Keningku terangkat. Persembahan percuma ..

Demonstrasi dimulakan. Mulutnya terkumat-kamit membaca. Kayu kejap di tangan kanan.

"Ke mana dia pegi?"

Tangan kanannya menaik. Lurus menunjuk ke hadapan. Arah rumah-rumah kosong yang gelap gelita di hujung jalan.

"Berapa banyak?"

"Tiga." Dia menjawab sendiri.

"Jauh dah dia pergi?"

Kayu naik tinggi sikit daripada tadi. Mungkin isyarat jauh la kot.

No komen! Tengok bolehlah. Percaya? Hurm .. baik kukuhkan kepercayaan pada benda yang memang wajib dipercayai.

Majlis selesai sekitar 12.30 malam. Beberapa orang mengusik aku dan Pah supaya bermalam di rumah itu.

"Apa kata awak yang tidur sana?" Soalku dengan muka senyum pada si pengusik.

Haah ..! Kan dah berubah muka tu.

Aku tetap kena naik kereta encik polis. Tak kisahlah. Asalkan sampai rumah Kak Wa, dan .. tido.

Sesampai aje, mereka semua turut masuk ke dalam rumah. Berborak-borak. Aku bersandar di dinding. Nak baring, tempat tido memang kat ruang tamu ni. Tak ke malu? Nak join borak .. sorry! Otak dah beku.

Pukul 2 pagi! Hai lah! Encik polis, Kak Yus .. tak nak balik ke??

Di pintu yang memang terbuka luas, terjengul muka jiran Kak Wa yang berbisik dalam majlis tadi.

"Nak pinjam sorang ke, dua-dua ke .. takut duk sorang-sorang."

Lorh ..! Ingatkan main-main je tadi.

Pah tak berapa sihat. Aku biarkan Pah temankan akak tu.

Tapi .. tido sorang sebelah dia?? Erk ..!

Kak Wa masih nak menahan. Aku diminta temankan adik dia. Geramnya hati. Dah awak tu, tak boleh ke temankan adik sendiri?! Mau aje bermulut lancang.

Hati membentak.

"Biarlah dua-dua. Mana boleh berpisah diorang ni." Suami Kak Wa mencelah.

Terima kasih, terima kasih!! Terima kasih sebab memahami!

Kak Wa nak membantah.

"Tak apalah. Awak boleh, kan .. temankan Da?" Hah! Amik kau.

Aku laju kemaskan barang. Seronoknya! Wuhuu..

Masuk rumah akak ni buat mulut aku hampir terlopong. Ruangnya tak adalah luas mana, tapi hiasannya tampak ekslusif. Rasa sayang pulak nak kalih pandangan. Huhu..

Akhirnya .. dapat jugak escape sekejap. Maaf, Kak Wa. Saya tak cukup kuat nak penuhi kehendak Kak Wa. Saya tak sekuat yang Kak Wa harapkan. Dan saya tak mampu menipu diri sendiri demi menggembirakan hati Kak Wa.. Selamat malam ..

Aku jumpa keluarga itu esoknya. Da terpacak di depan tingkap luar rumah, betul-betul di hujung kakiku. Terperanjat besar masa bukak mata.

Akak si pemilik rumah sudah keluar. Ada game rasanya.

Hati berbolak-balik. Pintu dibuka. Da melangkah masuk. Sekejapan, Angah datang memanggil. Angah memerhati mak sedaranya itu dari luar. Aku pulak hanya mampu tersengih. Jantung? Korang bayangkan sendiri bagaimana rasanya berhadapan, hanya berdua .. dengan dia yang kau kenal semasa alam luar sedar. Aku? Rasa macam .. nak cabut lari!

Jahat! Tersangat jahat! Padahal dia datang mengajak aku keluar bersarapan bersama mereka sekeluarga. Penutup kepada pertemuan dan perkenalan yang sebulan ini.

Berdosakah aku?!

Entah .. remain .. undefined!

Suasana di meja makan .. beku tanpa bicara. Hanya anak-anak Kak Wa berbalas kata dengan orang tua mereka. Itupun tentang menu.

Ketara sangat pada pandanganku – kesedihan. Mata Da suram. Kak Wa juga. Sudah merasai bahang perpisahan yang bakal terjadi, barangkali.

Usai makan, kami singgah ke kedai cenderahati. Mereka sekeluarga memilih. Aku pula hanya menoleh, melihat jam di tangan, bersilih ganti dengan orang-orang yang keluar masuk kedai ini. Perlu didefinisikan lagi ertinya? Tak usah! Kerana hati sedang bergolak, tak selari dengan realiti.

Selepas Zohor, kami akan bertolak ke Batu Rakit.

Tanpa disangka-sangka, Kak Wa sekeluarga memutuskan untuk bergerak dahulu. Kalau dah begitu, apa hendak dikata. Hak mereka..

Tangisan mengiringi detik perpisahan. Kolam mata Da pecah. Kak Wa juga. Sendu berlagu, mengalunkan irama kesayuan dalam tutur kata dan biasan pandangan. Hati kecil turut terkesan. TUHAN .. sesungguhnya benar janjiMU, pertemuan pastinya disusuli perpisahan ..

Aku berteleku. Mengimbas kisah yang terlakar di sini.

Ya RABB .. KAU hantarkan ku ke sini .. demi mengajar erti kehidupan yang sebenar. Terima kasih, ya TUHAN. Kini aku mengerti .. hidup yang sebenar, ialah hidup keranaMU, untukMU, dan kepadaMU ..

Setitis air mata kukesat perlahan. Bagaimana pula perjalanan kisahku nanti? Nafas disedut dalam. Hari esok .. masihkah ada?

Hari-hari di Kuala Berang 10. Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads