KUALA TERENGGANU: Merajuk kerana si bapa tidak membenarkannya menggunakan motosikal, seorang pelajar tingkatan dua tergamak berpakat dengan rakan sebayanya kononnya diculik sebelum meminta wang tebusan RM8,000 daripada bapanya untuk membeli motosikal.
Penipuan remaja berusia 14 tahun itu bersama rakannya terbongkar apabila bapanya berusia 42 tahun dan bekerja sebagai tukang besi terserempak dengan anaknya berjalan di depan sebuah pasar raya di Kuala Ibai, di sini, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, remaja itu meninggalkan rumah mereka menaiki basikal di Kampung Machang Lada, Paya Resak, Bukit Payong, Marang selepas merajuk dengan bapanya yang tidak membenarkan dia menggunakan motosikal, jam 3 petang Selasa lalu.
Menurutnya, bapa mangsa menyangka anaknya akan pulang sebelum menerima satu panggilan seorang menggunakan dialek Terengganu pada keesokan harinya mendakwa anaknya di Bukit Diman, Marang dan meminta wang RM8,000.
"Bapa mangsa membuat laporan pada hari sama jam 11.20 malam dan sekali lagi menerima panggilan jam 7.50 malam pada Khamis lalu yang mengarahkannya meletakkan duit tebusan itu di belakang sebuah kedai 24 jam di Kuala Ibai, di sini.
"Kerana tidak menerima panggilan seterusnya, si bapa yang bimbang keadaan anaknya cuba mencari sebelum ternampak remaja itu berjalan dengan seorang rakan di depan sebuah pasar raya di Kuala Ibai, di sini, jam 5 pagi kelmarin, lalu memaklumkan kejadian itu kepada polis.
"Hasil soal siasat, remaja itu mengaku merancang penculikan bersama rakannya yang tidak lagi bersekolah dan meminta wang tebusan itu untuk membeli motosikal sebelum mereka ditahan di rumah masing-masing di Kampung Machang Lada, Paya Resak, Bukit Payong, Marang dan Taman Perpindahan Tok Adis, Kuala Ibai pada hari sama, jam 1 tengah hari.
"Sepanjang kejadian itu, remaja itu memaklumkan tinggal di rumah rakannya di Taman Perpindahan Tok Adis, Kuala Ibai, di sini.
"Kedua-dua remaja kini direman sehingga Selasa depan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kepada seseorang ketakutan bencana dengan tujuan melakukan pemerasan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Dalam kejadian berasingan, Manoharan berkata, rahsia seorang wanita berusia 22 tahun yang baru melahirkan seorang bayi lelaki di biliknya di Kampung Lubuk Pandan, Wakaf Tapai, Marang, kelmarin, terbongkar selepas adik lelakinya melihat darah mengalir melalui lantai di rumah mereka.
Menurutnya, sebaik dimaklumkan kejadian itu oleh anak bongsunya, pengadu yang juga ibu mangsa berusia 49 tahun segera melihat keadaan anaknya dan membuat laporan polis, jam 2 petang untuk tindakan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan