Ahad, 11 November 2012

13 di rantau abang - Google Blog Search

13 di rantau abang - Google Blog Search


pusat santuari penyu <b>rantau abang</b>,terengganu

Posted: 11 Nov 2012 05:54 AM PST


Pusat Santuari Penyu ini terletak di Rantau Abang, Dungun. Di Pusat Santuari Penyu, pelancong boleh melihat dan mempelajari lebih lanjut mengenai haiwan ini dan mengetahui tempat terbaik untuk melihat penyu bertelur. Majlis Penasihat Santuari Penyu Negeri Terengganu bertanggungjawab bagi segala bentuk perlindungan, pemuliharaan dan pengurusan penyu di Negeri Terengganu Darul Iman.


Mengikut statistik, Pusat Penerangan Penyu telah dikunjungi seramai 8,116 orang pada tahun 2008. Manakala pada tahun lepas seramai 9,979 pelancong melawat pusat penerangan itu iaitu 8,959 pelawat tempatan dan 1,020 pelawat luar negara.


Menurut Jabatan Perikanan Malaysia, jumlah pendaratan Penyu Belimbing di Pantai Rantau Abang semakin menurun dari tahun ke tahun di mana pada tahun 2003, sebanyak 14 pendaratan dilakukan manakala pada 2004 (5), 2005 (1), 2006 (5) dan tiada pendaratan pada 2007.

Namun sehingga Jun 2008, terdapat dua pendaratan dilakukan Penyu Belimbing di pantai tersebut. Manakala bagi Penyu Agar pula, jumlah pendaratan pada 2003 adalah 1,479, 2004 (2,118), 2005 (1,037), 2006 (2,371) dan 2007 (2,047).

Jumlah pendaratan Penyu Karah juga semakin berkurangan iaitu 2003 (6), 2004 (9), 2005 (8), 2006 (4) dan 2007 (18), manakala tiada langsung pendaratan Penyu Lipas dari tahun 2003 hingga 2007. Melihat kepada rekod jabatan itu mengenai jumlah pendaratan penyu di negeri itu sahaja sudah mampu mencetuskan perasaan resah bahawa haiwan itu sedang mengalami ancaman kepupusan yang kritikal.


Bagaimana Untuk Ke Rantau Abang....

Sekiranya anda ingin ke Rantau Abang dari Kuala Terengganu, anda boleh menaiki bas ke Dungun dari Hentian Bas MBKT. Perjalanan akan mengambil masa lebih kurang 1 jam 15 minit dari Bandar Kuala Terengganu. Sekiranya anda dari Bandar Dungun, anda boleh menaiki bas ke Kuala Terengganu dari Hentian Bas di Dungun. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 15 minit dari Bandar Dungun.

Anda juga boleh datang ke Rantau Abang dengan teksi. Sila rujuk senarai Perhentian Teksi di Kuala Terengganu. Jarak perjalanan dari Kuala Terengganu ke Rantau Abang ialah 62km.

Dari Kuala Lumpur, anda boleh menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan. Cari arah perjalanan ke Kuala Terengganu atau Kemaman. Selepas tiba di Kemaman, cari arah papan tanda untuk ke Dungun. Jarak perjalanan di antara Kuala Lumpur dan Rantau Abang ialah lebih kurang 420 km.

Sekiranya anda dari Pulau Pinang, anda boleh menggunakan Lebuhraya Timur-Barat menghala ke Kota Bharu. Dari Kota Bharu, anda perlu mencari arah perjalanan ke Besut dan seterusnya ke Kuala Terengganu. Jarak perjalanan dari Pulau Pinang ke Rantau Abang ialah lebih kurang 892km.

Dari Johor, anda boleh menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dan keluar di Plaza Tol Yong Peng. Dari Yong Peng, ambil lebuh raya ke Labis dan Segamat. Dari Segamat, anda boleh menuju ke Kuantan, Kemaman dan seterusnya Dungun.


Info Penyu

Pengenalan

Penyu telah wujud sejak lebih 100 juta tahun yang lalu yang dipercayai sezaman dengan zaman dinasour. Ianya adalah haiwan vertebrata dalam kelas reptilia di bawah Order Chelonia yang tergolong bersama dengan ular, cicak, kura-kura, labi-labi dan tuntung. Penyu juga mempunyai kulit yang bersisik, bernafas melalui paru-paru, suhu badan yang sama dengan suhu persekitaran, bertelur dan adalah haiwan marin.

Walaupun ia boleh menyelam dan berada dalam air untuk sekian lama, tetapi ia mestilah timbul kepermukaan air untuk bernafas. Penyu merupakan spesies yang hidup lama dan mengambil masa di antara 20 hingga 50 tahun untuk matang mengikut spesies. Kini ke empat-empat spesies penyu ini sedang terancam dan besar kemungkinan akan mengalami kepupusan.


Kitaran Hidup

Penyu pada amnya mempunyai satu kitaran hayat yang sama. Penyu Betina akan mengawan dengan Penyu Jantan di laut sebelum naik bertelur ke pantai. Penyu Betina akan mendarat di pantai pada waktu malam untuk bertelur. Tempoh masa bertelur adalah berbeza mengikut jenis penyu, kebiasaanya adalah 1–3 jam. Selepas musim bertelur, penyu itu akan berhijrah ke kawasan makan asalnya yang jauh. Seekor Penyu Betina boleh bertelur di antara 4-6 kali di sepanjang musim bertelur. Biasanya selang masa di antara satu masa peneluran dengan yang lain ialah 8–15 hari bergantung kepada jenis penyu. Kemudian selepas 2-8 tahun, penyu-penyu tadi akan berhijrah semula untuk bertelur di pantai yang sama tempat ia bertelur. Kebanyakan Penyu Betina tidak bertelur dua tahun berturut-turut. Telur yang dihasil akan ditinggalkan dan tidak dijaga.


Tempoh pengeraman dan jantina anak-anak penyu adalah dipengaruhi oleh suhu pasir di mana suhu yang panas (30°C ke atas) akan menghasilkan anak Penyu Betina dan suhu sejuk (26–278°C) menghasilkan anak Penyu Jantan. Telur penyu akan menetas dalam tempoh 2 bulan dan bergantung kepada jenis penyu dan suhu pengeraman. Anak-anak penyu yang menetas akan keluar dari sarang pada waktu malam dan terus menuju ke laut mengikut cahaya bulan. Pada peringkat ini, anak-anak penyu dikatakan mengalami proses "imprinting" yang membolehkan anak penyu tersebut kembali semula ke pantai tempat kelahirannya apabila dewasa kelak.


Ada ahli saintis meramalkan sebanyak 1,000 hingga 10,000 telur diperlukan untuk mendapatkan seekor Penyu Betina atau seekor Penyu Jantan dewasa yang berjaya mencapai ke peringkat dewasa dalam masa 20 hingga 50 tahun.

Jenis-Jenis Penyu

Penyu Belimbing

Penyu Belimbing ialah spesies penyu yang terbesar di antara jenis-jenis penyu yang terdapat di dunia. Kini spesies penyu ini semakin pupus. Inilah satu-satunya jenis penyu yang tidak bertempurung keras, di mana karapasnya (cengkerang) adalah lembut dengan mempunyai tujuh jaluran panjang yang memanjang dari bahagian kepala hingga ke ekor. Ia boleh membesar sepanjang 2 meter dan mencapai berat sehingga 600 kg. Penyu ini menghabiskan hampir keseluruhan hayatnya di dalam laut lepas dan berkebolehan untuk menyelam sedalam 400 m hingga 1,200 m.


Penyu ini mudah dikenali kerana cengkerangnya yang menyerupai seperti buah belimbing. Warna badannya adalah kehitaman dan bertompok-tompok putih. Bahagian atas mulutnya yang melengkung adalah untuk memudahkannya menangkap obor-obor yang merupakan makanan utamanya. Ianya menghasilkan telur antara 60–120 biji pada suatu masa. Musim bertelurnya adalah Mac hingga Ogos. Di Malaysia, tempat utama penyu ini naik ke pantai untuk bertelur adalah di Rantau Abang, Terengganu dan terdapat juga di Paka dan di Pahang. Telurnya berwarna putih dan berkulit lembut dengan ukuran garis pusat 5–6.5 sm.

Penyu Agar

Penyu Agar juga dikenali sebagai "penyu hijau" mengikut warna lemak dalam badannya yang berwarna hijau. Warna penyu ini adalah coklat buah zaitun atau coklat tua atau kehitaman. Penyu ini boleh membesar sehingga lebih 1 meter dengan berat badannya di antara 135–270 kg. Makanan utamanya adalah rumpai laut dan rumpair. Musim bertelurnya adalah di antara April–September dan menghasilkan 100–140 biji setiap kali bertelur. Penyu ini terdapat di Negeri Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Telurnya adalah berwarna putih dan berkulit lembut dengan ukuran garis pusat lebih kurang 5.0 sm.

Penyu Karah / Sisik

Penyu ini juga dikenali sebagai Penyu Sisik. Ianya mempunyai karapas yang keras dan nampak seperti sisik-sisik yang bertindih. Warna badannya adalah coklat, bersaiz sederhana dan boleh membesar sehingga 70–90 sm dengan berat badannya di antara 35–75 kg. Bentuk paruh mulutnya yang menyerupai paruh helang. Makanan utamanya adalah span dan karangan lembut yang terdapat di kawasan Terumbu Karang.

Spesies penyu ini kebanyakannnya terdapat di kawasan Terumbu Karang. Musim bertelurnya adalah Mac–Jun dengan purata bertelur sehingga 130 biji. Penyu ini terdapat di negeri Terengganu, Pahang, Melaka , Johor, Sabah dan Sarawak. Telurnya adalah berwarna putih dengan kulit yang lembut dan berukuran garis pusat lebih kurang 5.0 sm.

Penyu Lipas

Penyu Lipas adalah penyu yang terkecil di antara empat jenis penyu yang terdapat di Malaysia. Ianya boleh membesar sehingga 6.0–6.5 sm dengan berat yang biasanya di antara 35–50 kg. Warna badannya adalah gelap atau coklat buah zaitun dan bahagian bawahnya berwarna putih. Makanan utamanya adalah udang, obor-obor, ketam dan siput. Musim bertelurnya adalah dari Mac–Jun dan menghasilkan purata telur 100 biji setiap kali bertelur. Telurnya adalah berwarna putih, berkulit lembut dan bergaris pusat lebih kurang 4.0 sm. Penyu ini terdapat di Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu. Kini bilangan spesies penyu ini yang mendarat untuk bertelur di pantai-pantai Malaysia adalah semakin berkurangan dan diancam kepupusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads