13 di seberang takir - Google Blog Search |
Nipah cruise <b>di Seberang Takir</b> | Darul Iman Posted: 20 Apr 2011 08:32 PM PDT Oleh FAUZI MOHD – utusanterengganu@utusan.com.myPembinaan jeti memudahkan pengunjung menyusuri sungai di Seberang Takir. – utusan/AZLAN BAHRUM KUALA TERENGGANU 20 April – Seberang Takir lebih dikenali sebagai kawasan penempatan nelayan, keropok lekor dan juga tanah kelahiran penyair ternama Terengganu, Allahyarham J.M Aziz. Ia dipisahkan dengan pusat bandar raya oleh Sungai Terengganu namun, penduduknya dihubungkan dengan jambatan dan juga bot penambang. Rimbunan pohon-pohon nipah meliar melatari tebing, mencorakkan alam semula jadinya dan tumbuhan itu lazimnya mampu menyumbang ke arah kegiatan sosio ekonomi tradisional. Tumbuhan itu boleh digunakan untuk menghasilkan atap nipah, tikar, nira dan rokok daun dan ia menjadi habitat semula jadi pelbagai spesies hidupan lain seperti ikan, ketam, biawak, tuntung dan kera. Tentunya, Seberang Takir boleh dieksploit sebagai salah satu daya tarikan pelancong dan sehubungan itu, bagi memangkin potensinya dan menarik penglibatan masyarakat setempat, usaha yang lebih meyakinkan diambil. Sebuah taman rekreasi dan jeti Tebing Tinggi diwujudkan untuk kemudahan dan keselesaan yang sudah siap dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kos RM290,000. Perasmian kedua-dua kemudahan itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman, kelmarin. Ahmad Razif berkata, beliau mengambil inisiatif untuk membangunkan satu produk pelancongan yang dilihat 'mundur' tetapi sebenarnya cukup berpotensi termasuk bagi kegiatan menyusuri kawasan hutan nipah dengan bot pengusaha setempat. "Langkah memperkenalkan keunikan hutan nipah serta pendedahan terhadap kepentingannya bertujuan memperkenalkan pilihan destinasi berbeza bagi mereka yang suka aktiviti rekreasi dan lasak. "Dengan memasukkan aktiviti 'nipah cruise', ia mampu memberi pulangan kepada masyarakat setempat melalui perjalanan sejauh lebih satu kilometer," katanya. Taman dan jeti yang dibangunkan telah menukarkan kawasan yang dahulunya dikatakan tempat terpencil kepada lokasi pelancongan dan riadah. Taman di pinggir jeti itu turut dilengkapi dengan jeti, parkir, gerai dan kawasan lapang yang sesuai untuk pelbagai aktiviti masyarakat setempat. Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri mempelawa agensi pelancongan, pengusaha penginapan dan inap desa menjadikan lokasi itu sebagai produk baru untuk dikunjungi. Katanya, pelbagai produk pelancongan boleh diterokai di sepanjang laluan teduhan nipah itu seperti demonstrasi dan penjualan produk berasaskan nipah di samping makanan hasil laut. Ia bagi memberi peluang kepada pengunjung melihat aktiviti harian masyarakat terdahulu seperti menganyam atap daun nipah, membuat manisan dari air nira serta memproses daun rokok. Tambah Ahmad Razif, kerajaan negeri turut menambah peruntukan sebanyak RM700,000 lagi bagi membina dua buah restoren terapung berhampiran taman berkenaan sedikit masa lagi. Apabila siap kelak katanya, pengunjung diberi pilihan untuk menikmati makanan laut seperti sotong, udang dan ikan bakar di atas bot sambil menyusuri sungai itu. Di samping itu, pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran negeri turut memperuntukkan RM100,000 bagi membina laluan pejalan kaki yang lebih selesa dan selamat untuk kanak-kanak. "Masyarakat setempat perlu menghargai keindahan alam semula jadi yang masih belum tercemar dan inilah cara terbaik untuk kita lakukan agar ia mampu menjadi tatapan generasi akan datang. "Begitu juga dengan aktiviti ternakan ketam nipah turut boleh dikomersialkan menjadi tarikan pelancongan serta pakej memancing, berkayak dan mendayung sampan tradisional," ujarnya. Advertisement |
You are subscribed to email updates from di seberang takir - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan