Rabu, 24 Ogos 2011

13 di jabor - Google Blog Search

13 di jabor - Google Blog Search


Makde: MAKDE - 1

Posted: 24 Aug 2011 02:00 AM PDT

HARI INI...genap setahun Hijrah, Makde meninggalkan kami buat selama-lamanya. Makde menghembuskan nafasnya yang terakhir lebih kurang jam 3.00 pagi 25 Ramadhan 1431H di rumahku, Lot 1409, Kg. Kolam Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Ku bahasakan panggilan Makde kerana ibuku memang lebih terkenal dengan panggilan 'Makde Pe'ah'.
Bersama-sama mengiringi pemergiannya ialah aku selaku anak lelaki tunggalnya yang memilih posisi di bahagian kepalanya untuk membaca doa dan membimbingnya mengucap dua kalimah syahadah. Isteriku selaku menantu perempuan tunggal berada di kiri. Kakakku selaku anak perempuan tunggal berada di sebelah kanan. Di hujung kaki Makde ialah dua orang cucu perempuannya, Supa, Mitiyah dan ibu mertuaku Wan Simik.
Berbaring di atas katil di dalam bilik yang sama ketika itu ialah satu-satunya menantu lelaki Makde, Tok Imam Abd Rahman. Jarak antara Makde dan katil tersebut pula cuma tak lebih dari 4 kaki sahaja. 
Menantunya ialah Imam kanan Masjid Jabor, Perasing merangkap jurunikah terkenal di Mukim Jabor, Kemaman, Terengganu. Namun, agak memeranjatkan aku apabila Menantu ini tidak mengangkat kepalanya dari bantal walau sesaatpun, apatah lagi bangkit dari pembaringannya sewaktu Makde menghadapi saat-saat akhir hayatnya. Bahkan dia terus kekal di pembaringannya sehingga Makde menghembuskan nafasnya yang akhir.
Terkilan, kecewa dan sedih di hati apabila mengenangkan sikap Abang ipar aku ni. Sepanjang ingatanku, dia tidak pernah duduk membaca doa atau ayat Qur'an sepanjang tempoh Makde sakit atau semasa tenat. Bahkan, semasa Makde nazak pun dia masih berbaring di atas katil sambil mengarahkan kami membaca ayat itu dan ini dan mengajar itu dan ini.
Paling menjengkelkan, dia tergamak menyuruh kami mencari batu besar atau benda berat untuk diletakkan ke atas dada Makde bagi mengempiskan perut, sedangkan pada masa itu Makde sedang bergelut dengan Sakratul Mautnya.
Turut tidak mengiringi pemergian Makde ialah Najihah, cucu perempuan keduanya berserta suami yang berada di dalam bilik tidur bersebelahan dan cucu lelaki bongsunya Nukman, anak kakakku. Mereka dibuai mimpi ketika nenek mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mereka tidak dikejutkan dari tidur oleh ibu bapa mereka untuk bersama dengan nenek mereka yang sedang nazak. Alangkah peliknya sikap sebegini.
Anak-anakku Khairul, Iwan dan Adik yang berada di perantauan merayu kepadaku untuk dibenarkan pulang bagi melihat nenek mereka. Tapi, aku tidak benarkan mereka pulang kerana mereka sedang menghadapi peperiksaan ketika itu.
Tapi, aku lebih hairan di atas sikap abang iparku yang masih tidur ketika Makde menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia tidak lihat bagaimana damai, tenang dan halusnya pemergian Makde.
Tidak pernah di dalam hayatku berjumpa dengan pak imam sebegini. Rata-rata orang alim yang datang menziarahi Makde membackan doa dan ayat suci al Qur'an sebagai sedekah kepadanya. Tetapi menantu lelaki tunggal ini tidak kelihatan membaca sesuatu sebagai sedekah kepada ibu mertuanya.
Memang tidak wajar untuk kita memaksa seseorang untuk mendoakan orang lain. Tetapi, jika orang itu adalah mertua kita sendiri, apakah kita masih merasa malas, lokek atau rimas untuk bersedekah dengan sekadar membaca al Fatihah atau al Ikhlas untuknya?

Namun, dia adalah orang alim. Dia mesti lebih alim dan arif dari aku. Mungkin doanya dari jauh dan secara tersembunyi. Mungkin doanya lebih makbul dari doaku yang jahil dan ini.
Perginya ibuku Makde telah memberikan kesan yang agak mendalam ke atas diriku. Makde tinggal bersamaku sejak tahun 2006 apabila beliau diserang angin ahmar kali kedua. Akibatnya, beliau tidak boleh berdiri dan lemah sebelah kanan badan dari kaki sehingga tangan. Namun, Makde masih boleh bangun dari pembaringan dengan sendiri untuk duduk bersila dan bergerak secara mengisut perlahan-lahan. 
Kali pertama Makde diserang angin ahmar adalah pada tahun 2005 sekitar jam 3.30 pagi di rumahnya sendiri. Pada masa itu Makde tinggal bersama cucu perempuan sulungnya, Supa. Bahkan Supa ini tinggal bersama dengannya sejak lahir sehingga dewasa. Sejak kecil sehingga dewasa juga Supa tidur sekatil, setilam dan sekelambu dengan neneknya Makde.
Mengikut cerita Supa, Makde cuba bangun untuk rutin sembahyang Tahajjudnya setiap malam. Namun pada hari kejadian, dia gagal bangun dan mulutnya berbuih berserta tarikan dan hembusan nafas yang kuat. Mulutnya juga mengherot ke sebelah kanan.
Ketika aku sampai ke rumahnya jam 4.00 pagi, Makde sudah tidak sedarkan diri lagi. Aku juga melihat jiran-jiran yang terdiri dari sepupu sepapanya sudah hadir menziarah.
Dengan bantuan anak-anak sepupunya, Makde dapat dipindahkan dari atas katil ke ruang terbuka di tengah rumah. Di situ, Makde dibaringkan secara terlentang di atas tilam kekabu. Terlupa untuk diberitahu, Makde ialah seorang yang gemuk dengan ketinggian 5 kaki 2 inci semasa sihatnya. Berat badannya mencecah 90 kg dan mempunyai sejarah masalah tekanan darah tinggi sejak zaman mudanya lagi. Beliau pernah dimasukkan ke wad hospital besar di Kuala Terengganu untuk menerima rawatan tekanan darah tinggi selama berminggu-minggu ketika usiaku 9 tahun.

Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads