Perjalanan merawat hati laraPerjalanan merawat hati lara
KOTA Venice juga ideal buat mereka yang datang bersendirian.
USAH peduli tentang kesedihan lalu. Menangis dalam hiba akibat kehilangan seseorang, rasa menyesal yang tidak berkesudahan atau menyalahkan diri sendiri kerana kegagalan dalam sesebuah perhubungan hanya akan membiakkan 'virus' negatif dalam diri.
Meskipun begitu, perjalanan hidup perlu diteruskan dan antara penawar terbaik buat mereka yang dirundung kedukaan adalah dengan mengembara. Istilah soul-searching atau mencari jiwa memerlukan seseorang berada di tempat yang mampu membangkitkan kekuatan dalaman, seterusnya mengobarkan semula rasional minda, emosi dan tindakannya.
Begitupun, destinasi yang disyorkan ini bukanlah senarai muktamad. Cadangan ini dipilih berdasarkan beberapa faktor penting untuk merawat lara hati.
Ciri perjalanan ideal untuk tujuan tersebut perlu menggabungkan beberapa ciri ini - kesempatan dan ruang untuk bersendiri, kekayaan elemen setempat untuk dihayati, cabaran fizikal serta faktor insan yang membuatkan seseorang itu kembali yakin pada hubungan sesama manusia. Bersedialah dan siapkan bagasi anda!
Menuju puncak
Ketepikan dahulu bayangan bersantai di bawah redup palma di pulau-pulau peranginan di seluruh negara. Meskipun Pangkor Laut, misalnya, pernah menarik minat mendiang Elizabeth Taylor untuk menenangkan jiwa daripada tekanan dunia Hollywood, anda cubalah pula lokasi beraltitud tinggi.
Di Malaysia, kalau Gunung Tahan di Pahang belum cukup memerah tenaga dan memberi kepuasan, dakilah ke puncak yang lebih mengujakan - Gunung Kinabalu, Sabah.
Bak kata seorang teman saya yang pernah sampai ke ketinggian melebihi 4,000 meter itu untuk melupakan kisah cintanya: "Kinabalu mengajar banyak perkara. Semasa dalam kilometer terakhir sebelum tiba di puncak, ia betul-betul menuntut fokus dan azam individu kerana ketika itu seseorang pendaki tidak lagi bergerak dalam kumpulan."
Menurutnya, puncak itu amat mencabar upaya mental dan fizikal. Ditambah pula dengan permukaan yang semakin curam dan berhalangan. Saat menyusun langkah dengan sisa kudrat terakhir, dia merasakan dunianya jauh lebih luas daripada terus terbelenggu dengan memori mantan kekasih.
Apabila berada di puncak tertinggi di Borneo itu, menjeritlah sekuat hati tanda kemenangan. Mungkin dari mercu tersebut, anda dapat mengintai ilham ke destinasi seterusnya.
Mistikal Jawa
HAYATI panorama perubahan musim tatkala menjelajah dengan kereta api Trans-Siberia.
Sekiranya Bali di Indonesia terlalu komersial, sesak dan overrated, alihkan haluan anda ke Yogyakarta dan Solo. Di situ, anda juga boleh mengadaptasi kehidupan dalam masyarakat relaks, santun dan berseni.
Selain menawarkan pelbagai lokasi candi mistikal yang mengajak anda mengimbau kisah pertembungan peradaban Hindu dan kedatangan Islam ke kepulauan Nusantara, Yogyakarta sebenarnya mempunyai daya penarik faktor-X yang hanya dirasai mereka yang cuba menyelami susur kebudayaan Jawa.
Daripada gemalai tarian keraton, penghayatan seni di sepanjang Jalan Malioboro, menyaksikan keteguhan Candi Borobudur di Solo hinggalah kepada hipnotisme pantai luas di sebelah selatan yang mengangkat mitos Nyi Roro Kidul, anda akan 'disedut' ke dalam dimensi pelancongan yang istimewa.
Naluri juga bakal disaji dengan kisah kebangkitan semula masyarakatnya selepas tragedi letusan Gunung Merapi dan gempa bumi. Selain itu, hadiahkan juga diri anda dengan seleksi gastronomi yang menyelerakan, dari lesehan hinggalah ke restoran mewah.
Landskap indah Nepal
Tidak banyak tempat lain yang boleh memenuhkan semula dos keterujaan dalam seperti Nepal. Anda boleh menyertai banyak aktiviti fizikal yang tidak memerlukan kos tinggi di bumi pergunungan itu. Treking di lereng gunung bersalji, berkayak di Sungai Trusuli atau menaiki belon udara panas adalah antara pilihan aktiviti yang memerlukan anda tampil bersemangat.
Kalau dada Everest bukan gelanggang anda, cubalah bermain hukum graviti dengan mencuba terjunan Nepal Bungee setinggi 160 meter. Ketika tali merentap dan melonjakkan semula anda ke atas, anggaplah itu suatu falsafah bahawa sedalam manapun hati anda telah jatuh dan retak, ia masih boleh dilambung semula dalam teriakan kegembiraan!
Menikmati keindahan landskap hijau di Nagarkot juga suatu pilihan berbaloi, selain bersiar-siar di jalanan Kathmandu untuk menyerap kepelbagaian budaya seterusnya menyertai 'kegilaan' terapi runcit.
Keinsanan India
MENGHARGAI keindahan Air Terjun Niagara bermakna mendekatkan diri pada kebesaran Penciptanya.
Hidupkan fantasi Bollywood dan selami tradisi ribuan warna kehidupan di bumi Mahatma Gandhi yang penuh pengajaran. Pilihan negeri seperti Maharashtra, Rajasthan dan Uttar Pradesh bakal membawa seseorang pengembara merentasi 1,001 lokasi budaya dan sejarah yang popular.
Antara tarikan yang paling diuar-uarkan adalah keunikan Kota Merah Jambu di Jaipur, Kota Putih di Udaipur, syurga backpacker di Kerala dan Goa, bazar-bazar tekstil, metropolis Mumbai serta kota paling sucinya, Varanasi Ghats dekat Sungai Gangga.
Jika mahu menghayati keindahan memorial cinta Taj Mahal di Agra pula, pastikan anda tidak terbawa-bawa kisah sedih diri sendiri. Sebaliknya, anda harus tabah memasang harapan bahawa insan yang bakal menyanjung hati anda akan muncul juga dalam situasi yang tidak disangka.
Seperkara yang boleh membuatkan diri anda berasa bertuah adalah dengan menilai sendiri kehidupan masyarakat rendahan India. Biarpun dihenyak realiti hierarki sosial dan daif dalam kepadatan populasi, mereka tetap memiliki tahap survival yang tinggi.
Sensasi Syria
Antara menghayati pertembungan tamadun dengan melayan kecelaruan emosi, anda seharusnya mudah membuat pilihan yang tepat. Kalau bukan kerana senario pergolakan politik yang sedang berlaku sekarang ini, pasti sudah ramai yang mahu terus 'terbang' ke Damsyik.
Di bumi yang rata-rata masyarakatnya memandang tinggi warga Malaysia, anda bakal terpukau dengan seni bina tradisional yang teguh berdiri seiring diversiti budaya yang diwarisi sejak berkurun-kurun lamanya. Itu terjadi sejak peralihan kuasa tamadun dan agama seperti Empayar Rom, Semitik, Kristian, Islam Umayyah dan Uthmaniyyah.
Syria menyambut tetamunya dengan keluk gerbang dan tiang Roman yang terjalin bersama binaan masjid ikonik dan citadel bersaiz mega. Terdapat juga rangkaian souq yang masih berfungsi sejak zaman dahulu kala. Setiap langkah akan diiringi aroma rempah, minyak wangi, asap shisha dan hasil agrikultur bersatu menusuk deria hidu lantas menyegarkan pancaindera yang lainnya.
Syria juga bangga meraikan tinggalan sejarah peradabannya di beberapa kota utama lain seperti Aleppo, Palmyra dan Lattakia.
Rel Trans-Siberia
Cadangan ini adalah bonus bagi yang mahu merentas pelbagai negara dalam satu perjalanan yang panjang. Laluan kereta api Trans-Siberia adalah jaringan pengangkutan rel yang menghubungkan Moscow, Rusia ke terminal Pasifik Vladivostok berdekatan Laut Jepun.
Ia juga menghubungkan Moscow ke Beijing, China melalui Ulaanbaatar, Mongolia (laluan Trans-Mongolia), sementara cabang perjalanan ketiga adalah penjelajahan Siberia dan Manchuria ke Beijing (Trans-Manchuria).
KETENANGAN hakiki bagi umat Islam dapat dirasai di Masjidil Haram.
Untuk mengikuti perjalanan ini, perancangannya lebih mencabar dan anda perlu teliti menyediakan item wajib seperti visa, bekalan makanan, barangan dan aksesori kembara lasak. Perjalanan ini pastinya menguji semangat berdikari dan jati diri anda.
Dari jendela koc di sepanjang ekspedisi ribuan kilometer itu, anda dapat menyaksikan peralihan panorama landskap empat musim. Merah kuning musim luruh bertukar salji putih dan dataran tandus bertukar aneka warna musim bunga. Bukankah itu juga fasa perubahan diri yang perlu anda lalui?
Romantika Itali
Mungkin ada rasionalnya penulis novel Eat Pray Love, Elizabeth Gilbert memilih Itali untuk mencari penawar jiwanya. Tidak dinafikan, dalam naskhah yang diangkat menjadi filem lakonan Julia Roberts itu, visual penonton telah digula-gulakan dengan lokasi cantik, penduduk tempatan dengan perwatakan menarik dan seleksi kulinari yang amat menyelerakan di kota tersebut.
Di Itali, sesiapa pun bakal terlupa tentang orang di sekeliling kalau sudah terlihat kelazatan pasta, piza, risoto dan sos likat berherba. Deria hidu dan tunas rasa lidah yang terpukau itu ditambah pula dengan suasana pemandangan seumpama poskad. Resapilah falsafah seni bina warisan Rom yang terpampang di depan mata untuk menyuntik inspirasi artistik dalam diri.
Mungkin juga di Venice, perasaan cinta bakal berputik. Ia terjadi saat terpandang wajah-wajah molek tatkala mencari jalan keluar dalam jaringan lorong antara bangunan restorasi dan monumen, ataupun ketika dibuai celoteh serta nyanyian si pendayung gondola.
Khazanah Kanada
Jangan terlalu taksub pada pemasaran pelancongan Amerika Syarikat kalau Kanada juga tidak kurang hebatnya. Keindahan Air Terjun Niagara misalnya, umpama sebuah persembahan alam yang spektakular. Destinasi itu mengungguli senarai tarikan dalam bandar utamanya yang lain seperti Ottawa, Calgary, Toronto dan Montreal.
Khazanah alam semula jadi di Kanada pasti membuka perspektif baru buat pengembara yang mencintai kejadian glasier, tasik, gunung-ganang dan lembah. Keseronokan ke Sulphur Mountain, bersiar dengan bot di Tasik Minnewanka ataupun bermain ski di Onto Whistler mampu melenyapkan sebarang perasaan tidak bermaya dalam diri.
Rahmat Mekah-Madinah
SYRIA amat kaya dengan elemen pertembungan tamadun.
Destinasi ini bukan sembarangan. Bersihkan dahulu niat untuk menjadi tetamu di buminya lantaran tujuan kunjungan bukanlah untuk bersuka-suka.
Terlalu agung pengertian dan pengisian perjalanan ke tempat ini bagi umat Islam. Maka, akan sia-sia jadinya kalau kedatangan itu tidak diiringi cetusan keinsafan, keluhuran hati dan penyerahan jiwa secara total kepada Yang Maha Esa.
Kalau mencari matlamat diri dan kehidupan, Mekah adalah tempatnya. Kaabah di Masjidil Haram adalah subjek kemuncak dan tumpuan bagi seseorang untuk menilai perjalanan hayatnya. Suara azan, takbir dan bacaan ayat-ayat suci yang bergema merentangi lembah makmur itu adalah ubat yang meresap ke sudut hati paling dalam.
Ziarah ibadah dan inspirasi di Tanah Haram itu juga boleh dicapai dengan melawat Jabal Rahmah iaitu tempat Nabi Adam bertemu semula dengan Hawa di dunia selepas sekian lama terpisah. Begitu juga dengan Gua Hira' di Jabal Nur yang mengimbau cerita pesembunyian Rasulullah SAW dan kesetiaan isteri baginda, Saidatina Khadijah.
Di Madinah pula, tiada agenda yang lebih utama selain mengunjungi Masjid Nabawi yang di dalamnya terdapat ruang Raudhah yang menjadi tempat paling makbul untuk memanjatkan doa.
Di situlah juga makam Rasulullah SAW ditempatkan. Berdoalah untuk baginda dan bayangkan juga jerih payah perjuangan menegak syiar Islam. Tentunya detik tersebut memberi keinsafan yang melampaui segala beban fikiran yang lain-lainnya.
Antara lokasi lain yang patut dikunjungi di Madinah ialah Makam Baqi iaitu tempat keluarga dan saudara-mara Rasulullah dikuburkan, Jabal Uhud iaitu bukit yang menyaksikan sejarah kekalahan Islam dalam Perang Uhud dan Masjid Qiblatain yang mempunyai cerita penerimaan wahyu berkenaan dua kiblat.
Walau ke mana pun haluan destinasi anda untuk merawat lara hati, sertakan perjalanan itu dengan etika, tujuan dan juga harapan untuk menjadi manusia yang lebih baik saat pulang nanti. Mengembaralah, kerana setiap destinasi itu bakal memberi tenaga baharu buat diri anda!
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan