Ratu
WAJAH bersinar bak bulan purnama.
Putih kulit bak kapas dipusar.
Rambut ikal mayang mengurai. Hidung mancung bak seludang. Pipi licin bak pauh dilayangPinggang ramping bak kerengga. Bibir cantik bak delima merkah.
Mulut mungil bak seulas limau.
Betis berisi bagaikan bunting padi.
Lenggang menawan bak itik pulang petang.BEGITULAH ideal dan sempurnanya kecantikan seorang wanita yang sering digambarkan dalam tradisi masyarakat Melayu zaman dulu. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, semuanya ingin tampak cantik dan sempurna.
Bagi wanita pula, naluri untuk kelihatan cantik sememangnya tidak pernah luput dalam diri, bahkan ada berkata bukan wanita namanya jika enggan kelihatan sentiasa cantik, muda atau bergaya. Sekalipun bukan untuk tatapan orang lain, sekurang-kurangnya untuk kepuasan diri sendiri.
Namun, dalam memenuhi dan merealisasikan keinginan serta kepuasan diri, yang mana satukah menjadi pilihan wanita untuk menyerlahkan kecantikan dimilikinya - kecantikan semula jadi atau pun melalui suntikan dan pembedahan kosmetik?
Ada berpendapat, kecantikan diri tidak akan lengkap dengan hanya mewarisi penggunaan jamu, mandi lulur atau perubatan tradisional selain mengamalkan beberapa amalan petua kecantikan.
Justeru, tidak hairanlah dengan kepesatan teknologi selain memiliki kemampuan untuk berbelanja demi memastikan penampilan diri menawan dan anggun, ada yang sanggup melaburkan wang beribu-ribu ringgit kepada doktor pakar bedah estetik dan kosmetik.
Jika suatu ketika dulu pembedahan plastik dan suntikan kosmetik cuma laris di dunia Barat, kini ia sudah pun menembusi seluruh rantau dunia, termasuk negara Teluk dan Asia, termasuklah di Malaysia. Malah, di sesetengah negara, pembedahan kosmetik menjadi satu industri gah yang mampu menarik kunjungan ramai wanita dari seluruh dunia.
Hakikatnya, ada wanita sanggup melakukan apa saja, termasuk mengetepikan rasa takut atau sakit semata-mata untuk memiliki wajah menawan. Ini termasuklah melakukan pembedahan kosmetik mengubah bentuk dan struktur wajah serta hidung, memasukkan silikon bagi membesarkan payu dara; membuat penegangan pada wajah melalui suntikan kolagen dan vitamin C atau pun menyuntik Botulinum Toxin (botox) bagi membuang kedutan selain sebagai jalan singkat dan cepat untuk kelihatan muda, menawan, menarik.
Keinginan melakukan pembedahan kosmetik bukan saja ada pada wanita dewasa tetapi juga remaja. Di Itali misalnya, pembedahan membesarkan payudara terbukti menjadi pilihan utama sebagai hadiah kepada gadis yang lulus dan tamat pengajian peringkat sekolah menengah.
Begitu juga di Amerika Syarikat, semakin ramai remaja perempuan yang lebih senang hati memilih membuat implan payudara sebagai hadiah hari jadi berbanding pemberian hadiah mewah yang lain.
Bagaimanapun, mereka yang ingin membuat suntikan dan pembedahan kosmetik perlu berhati-hati dan memikirkan semasak-masaknya sebelum berbuat demikian. Ini kerana setiap pembedahan yang dilakukan tidak kira untuk tujuan apa, kesan sampingan tetap ada.
Kesan sampingan akibat pembedahan plastik juga dikatakan tinggi kerana setiap pembedahan plastik yang dilakukan belum 100 peratus akan berjaya seperti mana yang diimpikan. Lebih menakutkan, ia juga boleh mengakibatkan maut akibat kompilasi yang dihadapi ketika pembedahan. Misalnya, pesakit boleh mendapat maut ketika pembedahan berlaku akibat pendarahan yang tidak berhenti.
Selain itu, pembedahan plastik juga boleh mengakibatkan kecacatan pada bahagian yang dibedah. Misalnya, doktor melakukan kecuaian ketika pembedahan dilakukan. Hal ini sering terjadi jika doktor yang melakukan pembedahan itu kurang mahir untuk membuat pembedahan plastik pada bahagian yang bukan dalam
kepakarannya.
Pembedahan plastik juga boleh menimbulkan kesan sampingan jangka panjang akibat penggunaan ubat semasa dan selepas pembedahan.
Banyak kisah tragis kegagalan pembedahan plastik sudah dilaporkan. Satu kes paling terkenal membabitkan Hang Mioku, seorang wanita dari Korea Selatan.
Hang Mioku dikatakan begitu kecanduan melakukan pembedahan plastik di beberapa bahagian wajahnya selepas pertama kali melakukannya ketika berusia 28 tahun. Pembedahan demi pembedahan dilakukan dan bentuk wajahnya semakin membesar sehinggakan doktor bedah nekad tidak lagi mahu melakukan pembedahan plastik di wajahnya sebaliknya menyarankan Hang Mioku menemui pakar jiwa.
Wajah Mioku berubah keseluruhannya hingga ibu bapanya sendiri tidak mengenalinya. Menyedari wajah anak mereka semakin membengkak, ibu bapa Mioku menghantarnya berjumpa doktor untuk memperbaiki wajah Mioku. Namun, paling teruk wanita itu sanggup menyuntik sendiri dengan minyak masak apabila kehabisan silikon yang mengakibatkan wajahnya semakin membengkak.
Di Florida pula, gara-gara mengidamkan punggung seperti dimiliki penyanyi dan pelakon berdarah latin, Jennifer Lopez, dua wanita terpaksa berjuang untuk hidup selepas suntikan kosmetik mencantikkan punggung mereka, tidak bertindak seperti diharapkan.
Andrea Lee, 30, mengalami kegagalan buah pinggang selepas `diracun' dengan apa yang dipercayai silikon industri manakala rakannya, Zakiya Teagle, 33, juga kritikal selepas organ dalamannya berhenti berfungsi.
Selepas disiasat, prosedur kosmetik dijalani kedua-dua wanita berkenaan dilakukan oleh doktor palsu, yang tiada lesen perubatan atau pengalaman melakukan pembedahan kosmetik.
Di Shanghai, seorang wanita China yang tidak sabar menunjukkan hasil pembedahan menegangkan wajah di Korea Selatan kepada anggota keluarga terpaksa menunggu lebih lama selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong kerana kelihatan berbeza daripada gambar pasportnya. Wanita berkenaan terpaksa menjelaskan dia membuat pembedahan kosmetik di Korea selepas polis menegaskan dia membawa pasport orang lain.
Begitu juga di Malaysia, hasrat seorang isteri ahli politik mahu kelihatan lebih cantik tidak kesampaian apabila meninggal dunia selepas 10 bulan koma akibat dikatakan membuat pembedahan kosmetik membuang lingkaran gelap di bawah mata, mengempiskan perut dan menyedut lemak.
Namun, kisah sebegitu tidak mampu melenyapkan keinginan wanita tampil lebih menawan menerusi pembedahan kosmetik. Memang tidak dinafikan, ada pembedahan dan suntikan kosmetik membuahkan hasil lumayan, malah ada ketikanya, lebih baik daripada apa yang diimpikan sehingga mengagumkan banyak mata yang memandang.
Bagaimana pula dengan pandangan sinis ramai? Kalau taksub untuk sentiasa tampil muda, cantik, menawan, ada pula kemampuan menghabiskan duit yang banyak untuk rawatan sedemikian, pandangan orang bukanlah sesuatu yang mereka takutkan. Tepuk dada tanya selera!
Belanja RM20,000 untuk cantik
"DI mana ada kekurangan, saya akan membuatnya. Sejak dulu, saya memang sukakan kecantikan, gemar melaram dan ingin sentiasa kelihatan cantik. Bagi saya kecantikan dapat memberikan keyakinan," cerita Hana Hussin, 45.
Tanpa menyembunyikan apa yang sudah dilakukan pada wajahnya, Hani Hussin berkata, tidak perlu menipu kerana sebelum ini sudah ramai tahu, bagaimana rupa wajahnya sebenar. Malah, ibu kepada empat anak ini berkali-kali menyatakan tidak begitu berpuas hati dengan rupa parasnya sebelum ini terutama bahagian hidung yang nampak pesek.
Katanya, disebabkan memiliki hidung pesek sejak kecil, ramai suka memperli dan mengejek sehingga ada yang mengumpamakan hidungnya seperti 'terpatuk' serta dilanggar 'stim roll'.
Sehinggalah suatu hari dengan keizinan suami, Hana mengambil keputusan nekad untuk membuat suntikan silikon bagi menaikkan batang hidungnya. Hasilnya, memang cukup mengujakan.
"Saya buat suntikan silikon pada hidung pada 1997. Melalui kawan, saya diperkenalkan kepada doktor dari Indonesia, yang melakukan rawatan itu di bilik hotel di ibu negara. Memang sakit tetapi tidak berpanjangan dan saya puas hati dengan hasilnya. Sekali suntikan RM300 ke atas dan ia bertahan sehingga enam bulan. Selepas itu, perlu suntik lagi supaya tidak 'jatuh'.
"Tetapi akhirnya saya penat untuk pergi suntik lagi dan kebetulan pada 2000, saya menemani kawan membuat pembedahan kosmetik di Thailand. Tertarik dengan hasilnya dan selepas pasti ia selamat, saya pun membuat keputusan membuat pembedahan plastik pada hidung. Prosedurnya hanya mengambil masa setengah jam dan tidak memerlukan suntikan pelali dengan kos RM1,200. Sejak itu saya tidak perlu risau lagi mengenai hidung saya kerana hingga hari ini ia kekal dan jelas nampak mancung," katanya.
Selain hidung, akui Hana, beliau juga mengubah pipi dan dagu. Beliau turut menyuntik kolagen supaya kelihatan muda dan vitamin C untuk mendapatkan kulit wajah lebih cerah. Tidak cukup dengan itu, beliau melakukan suntikan botox di dahi bagi menghilangkan garis halus dan kedutan.
Untuk rawatan suntikan penegangan wajah bagi menampakkan bentuk wajah runcing, katanya, tiga fasa rawatan perlu dilalui. Suntikan jarum bagi rawatan itu seperti pergerakan jarum pada mesin jahit tetapi langsung tidak meninggalkan kesan atau tanda.
"Boleh dikatakan semua rawatan ada kesan sakit dan paling sakit ialah melakukan pembedahan. Sehingga kini, saya sudah habiskan lebih RM20,000 untuk melakukan rawatan kecantikan tetapi saya tidak kisah, sebaliknya berasa amat puas hati.
"Kini saya cuma mengamalkan rutin penjagaan kulit dan menggunakan produk tambahan seperti pengambilan kolagen dan vitamin. Untuk tubuh setakat ini saya tidak pernah buat apa-apa kerana puas hati dan tidak pernah ada masalah," katanya mengakui ada yang memandang sinis dan tidak bersetuju dengan caranya untuk tampil cantik.
Puas hati dengan kecantikan semula jadi
"HIDUNG ini bukan palsu tapi 'ori' (asli) tau. Saya tidak pernah pun melakukan pembedahan kosmetik dan tidak pernah pun terfikir untuk berbuat demikian kerana rasa-rasanya sudah cukup cantik serta sempurna dengan apa yang saya ada," katanya.
Rosmaniza Abdul Rahman, 31, pereka dan pengaturcara komputer serta peragawati sambilan sejak tiga tahun lalu ternyata berpuas hati dengan aset raut wajah dan bentuk tubuhnya.
Memiliki hidung mancung dan bentuk tubuh yang langsing, sememangnya tidak memerlukan Rosmaniza untuk melakukan sesuatu pada penampilan diri. Malah, mungkin ada cemburu melihat kesempurnaan kecantikan semula jadi yang ada padanya.
"Hidung ini mancung mungkin genetik kerana keluarga sebelah bapa saya berasal dari Pulau Pinang. Lagipun, kebanyakan Anak Mami memang mempunyai hidung mancung. Untuk penampilan yang lain pula terutama pada wajah, saya tidak pernah 'membetulkan' atau mengubah apa-apa, semuanya semula jadi.
"Cuma, saya amalkan penggunaan penjagaan wajah setiap hari. Ini penting bagi saya kerana sebagai peragawati saya perlu sentiasa jaga penampilan," katanya.
Rosmaniza yang pernah merangkul gelaran sampingan Lensa Terbaik Wanita Pilihan Berita Harian bagi pertandingan Wanita Pilihan Berita Harian 2010, berkata selain menggunakan produk kecantikan, dia juga bersenam untuk mendapatkan bentuk tubuh menarik, memastikan pengambilan diet yang sihat dan tidur secukupnya.
Baginya, tampil cantik, anggun dan bergaya sememangnya fitrah semula jadi seorang wanita. Pelbagai fesyen pakaian, produk kecantikan dan kaedah perubatan wujud bagi memenuhi keperluan wanita.
"Saban tahun, ribuan ringgit sanggup dilaburkan oleh wanita kini semata-mata untuk sentiasa tampil cantik dan anggun. Aliran Brat yang lebih memberi tumpuan kepada aspek kecantikan fizikal kadangkala menjadikan wanita semakin keliru dalam meneliti neraca kecantikan sebenar," ujarnya.
Mengenai kesanggupan wanita menderita kesakitan dan menghabiskan wang beribu-ribu ringgit melakukan pembedahan plastik dan suntikan kosmetik, Rosmaniza berpendapat, mereka mungkin mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian.
"Mungkin ada yang tidak puas hati dengan apa dimiliki sehingga hilang keyakinan diri dan mungkin juga ada yang mahu orang lain melihat dirinya sentiasa cantik. Ada juga yang melakukannya demi kerjaya, khususnya bagi yang sentiasa berdepan pelanggan dan memerlukan penampilan diri sentiasa terserlah.
"Walau apa pun kita buat, kita mesti berhati-hati kerana bimbang kesan buruknya. Jika saya ditawarkan melakukan pembedahan kosmetik, saya tidaklah terus menolaknya mentah-mentah, sebaliknya akan menelitinya terlebih dulu dan paling penting akan berbincang dengan suami terlebih dulu," katanya.
INFO
Selebriti dan pembedahan plastik
Di Lubnan, selebriti popular yang menjadi pilihan wanita sebagai contoh pembedahan plastik ialah bintang pop, Haifa Wahbi dan menyebabkan ramai wanita muda meninggalkan hospital dengan rupa seiras simbol seks Lubnan yang berambut hitam dan menggiurkan itu. Di Indonesia, sejak pengakuan secara terbuka penyanyi Titi DJ membuang lemak pada 2004 hingga 2005, ia mengundang kepada peningkatan minat wanita untuk sama-sama bertemu doktor yang boleh membantu mereka kekal jelita. Pengakuan Titi kepada media turut menyebabkan industri pembedahan plastik di Indonesia meningkat secara mendadak.Aktres terkenal, Demi Moore dilaporkan menghabiskan lebih USD400 juta (lebih RM1 bilion) untuk pembedahan plastik. Hasilnya, beliau nampak jauh lebih muda daripada usia sebenar dan berjaya memiliki Ashton Kutcher yang jauh lebih muda!Selebriti sering menjadi rujukan dan contoh untuk membuat pembedahan plastik. Misalnya, payu dara pilihan jelas ialah Pamela Anderson, diikuti oleh wanita cantik, Brazil Gisele Bundche dan penyanyi pop terkenal Amerika Britney Spears.Untuk bibir, pelakon, Angelina Jolie dan Julia Robert sering dijadikan rujukan; hidung, Nicole Kidman dan bahagian lain, Jennifer Lopez, Halle Berry dan Sandra Bullock.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan