Persalinan putih puteri dirajaPersalinan putih puteri diraja
Susunan IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my
SELEPAS pewaris takhta kedua Britain, Putera William mengumumkan pertunangannya dengan Kate Middleton, 29, pada bulan November tahun lalu, tiada siapa pun yang berjaya menghidu siapa pereka gaun pengantin pilihan Kate.
Baik keluarga Kate mahupun William, 28, masing-masing mengunci mulut meskipun pelbagai spekulasi tentang gaun itu bertebaran.
Keengganan mendedahkan rahsia berkenaan adalah bagi menghormati permintaan Istana Buckingham yang hanya ingin mempamerkan gaun itu tatkala Kate mengatur langkah memasuki Gereja Westminster pada hari perkahwinan berlangsung.
Ia bagaikan simbolik kepada transformasi diri Kate daripada orang kebanyakan menjadi seorang puteri diraja pada 29 April lalu.
Sehari sebelum majlis perkahwinan itu, di sepanjang jalan dari Gereja Westminster ke Istana Buckingham, orang ramai penuh sesak bagi mendapatkan sudut padangan terbaik demi melihat pasangan William-Kate dari dekat.
Pada masa yang sama, mereka enggan melepaskan peluang menyaksikan pesona Kate dalam persalinan gaun pengantin yang dirahsiakan selama ini.
"Saya terpukau dengan kejelitaan Kate sebaik saja dia keluar dari kereta. Rekaan dan potongan gaun pengantinnya sangat mengagumkan dan sempurna.
"Ia umpama penghormatan terbaik buat mendiang Alexander McQueen," luah pengarang majalah Vouge, Hamish Bowles mengenai gaun pengantin Kate yang dihasilkan oleh pereka terkenal, Sarah Burton dari gedung fesyen Alexander McQueen.
KAIN renda buatan tangan yang menampilkan motif empat jenis flora yang menjadi lambang kebanggaan rakyat Britain.
Sementara itu, Vera Wang yang cukup sinonim dalam mereka koleksi gaun pengantin memberitahu CNN, rekaan Burton membuatkan Kate kelihatan elegan dan berseri.
Tambah Wang: "Gaun pengantin Burton menonjolkan personaliti Kate yang feminin dan lemah lembut.
"Teknik jahitan dan perincian tidak terlalu sarat. Paling penting penampilan Kate kelihatan sangat cantik dalam foto."
Ternyata kombinasi idea Kate dan Burton tidak sia-sia. Kate yang kerap bertemu Burton secara rahsia di studio Hampton Court Palace bagi membincangkan rekaan gaun pengantinnya menyifatkan Burton seorang pereka yang paling ideal.
Pemilihan Burton bukan sekadar dinilai pada tahap kreativiti malah Burton dianggap individu yang boleh dipercayai dan mampu menyimpan rahsia terutamanya daripada pengetahuan pihak media.
Sememangnya kebanyakan mata tertumpu pada gaun pengantin rona putih gading yang turut menampilkan konsep kembang di bahagian bawah.
Gaun tersebut memiliki keseimbangan gaya moden dan tradisional, apatah lagi potongan pada bahagian atas mengikut bentuk badan Kate yang langsing.
Kejelitaan anak kepada pasangan Carole dan Michael Middleton itu masih terserlah meskipun pakaian pengantin rekaan Burton yang pernah bekerja dengan McQueen selama 14 tahun itu boleh dianggap sopan tetapi anggun.
SECARA purata, sejam diperlukan bagi menyiapkan seinci jahitan.
Gaun yang mempunyai leretan sepanjang 2.7 meter dan berbentuk V di bahagian kolar itu diperbuat daripada fabrik gazar yang membantu mengindahkan teknik lipatan pada bahagian pinggang. Ia disertai korset yang direka mengikut stail tradisional era Victoria.
Kaki gaun pula menggunakan material berkualiti seperti kain net yang digabung bersama renda kluni iaitu sejenis renda biku kasar yang diperbuat daripada benang linen atau benang kapas tebal berwarna putih gading.
Renda sulaman
Selain kain satin, Burton turut mengaplikasi penggunaan kain renda Inggeris dan renda Perancis Chantilly di bahagian atas.
Ia merupakan pilihan utama Kate bagi menyuntik elemen moden dan tradisional.
Bersesuaian dengan status Kate yang bergelar isteri kepada Putera William, maka kain renda eksklusif buatan tangan para pekerja di Sekolah Diraja Needlework menjadi pilihan.
Kain renda yang dihasilkan oleh pekerja separuh masa dan pelajar dari Britain, Jepun, China, Amerika Syarikat (AS), Thailand serta Jerman itu dihiasi empat jenis motif flora yang menjadi lambang kebanggaan rakyat Britain.
Motif flora yang terdiri daripada ros, tisel, dafodil dan syamrock itu diperbuat menggunakan teknik pembuatan kain renda Carrickmacross yang telah dipraktikkan sejak tahun 1820 di Ireland.
Proses menjahit kain renda berkenaan cukup rumit dan mengambil masa yang lama.
Secara purata, sejam diperlukan bagi menyiapkan seinci jahitan walaupun proses itu dilakukan oleh tukang jahit profesional.
Selain itu, semua petugas yang berusia antara 19 hingga 70 tahun diwajibkan membasuh tangan setiap 30 minit bagi memastikan kain renda warna putih itu tidak tercemar manakala setiap tiga jam tukang sulam harus menukar jarum yang lebih tajam agar kehalusan pembuatannya dikekalkan.
Salah seorang tukang sulam yang terlibat, Anne Butcher, 44, melahirkan rasa gembira kerana diberi kepercayaan menghasilkan kain renda untuk gaun pengantin puteri diraja itu.
"Ia merupakan pengalaman manis yang berlaku sekali seumur hidup.
"Kami bekerja dalam satu pasukan bagi memastikan kain renda yang dihasilkan berkualiti dan terbaik," jelas Butcher dari Sandhurst, Berkshire, England.
Dia turut memberitahu bahawa Kate terlibat sama pada fasa awal pembuatan dalam aspek pemilihan motif dan corak.
Sementara itu, Charlotte Macfarlane dari Tunbridge Wells, Kent, pula menyatakan cabaran utama yang dihadapi adalah menyimpan rahsia bahawa dia dan ibunya ialah antara individu yang terlibat dalam proses menjahit sulaman untuk Kate.
|
BUSANA pengantin Grace Kelly (kiri) memberi inspirasi kepada rekaan gaun Kate.
|
"Sepanjang menyiapkan kain berkenaan, kami duduk di rumah saja kerana tidak mahu meninggalkan kain itu di rumah," ujar Macfarlane.
Inspirasi Grace Kelly
Cita rasa Kate telah meletakkan standard perkahwinan diraja Britain ke tahap yang membanggakan apabila dia menginginkan sepasang gaun yang ringkas berbanding mahal dan glamor.
Semasa memikirkan rekaan gaun yang sesuai, Kate yang kini dianugerahkan Duchess Cambridge daripada Ratu Elizabeth II, sentiasa membayangkan keindahan gaun pengantin Grace Kelly ketika berkahwin dengan Putera Rainier dari Monaco pada tahun 1956.
Ini terbukti apabila gaun pengantin Kate turut menggabungkan fabrik kain renda di bahagian atas dan satin di bawah. Cuma yang membezakannya, kolar gaun Kate berbentuk V sementara Grace memilih konsep tertutup.
Situasi ini jelas menunjukkan Kate yang anggun memakai tiara Cartier milik Ratu Elizabeth tidak berniat untuk meniru gaun pengantin Grace.
Sebaliknya, dia menjadikan Grace inspirasi terbaik untuk menyerlahkan keanggunannya pada hari perkahwinannya.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan