SHAH ALAM - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali percaya Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan kekal bertanding di kerusi yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sementara perbincangan mengenainya masih belum dibuat.
"Saya rasa beliau tetap (tanding) di Marang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Mustafa Ali Mustafa diminta mengulas laporan Sinar Harian semalam yang memetik kenyataan Abdul Hadi pada Majlis Pelancaran Dana PRU13 Dewan Muslimat Pas Negeri Terengganu semalam.
"Setakat ini kita tidak ada bincang. Mungkin dia cuma tunjuk kesediaan beliau yang patuh kepada keputusan parti," kata Mustafa.
"Mesej di situ ialah semua orang termasuk dia terpaksa patuh kepada parti," tambah beliau.
Abdul Hadi, bekas Menteri Besar Terengganu, menyandang kerusi Parlimen Marang dan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang.
Beliau menang kedua-dua kerusi itu sejak 1990.

Abdul Hadi semalam menyatakan kesediaan beliau untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan pada PRU13 jika parti memberikannya laluan itu.
Kerusi Parlimen Pekan merupakan kubu kuat Umno-Barisan Nasional yang disandang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak 1976.
Najib, anak jati Kuala Lipis Pahang, ditentang oleh calon PKR, Khairul Anuar Ahmad Zainudin pada 2008.
Baru-baru ini, Pas Pahang dikatakan sedang mempertimbangkan untuk mengambil semula kerusi yang "dipinjamkan" kepada PKR sekiranya mempunyai calon yang baik untuk menentang Najib.